Showing posts with label corona. Show all posts
Showing posts with label corona. Show all posts

Monday, June 28, 2021

CORONA BUAT SEMUA MERANA

 Telah melewati dua tahun wabak ini melanda dunia dengan jumlah korban melebihi jutaan manusia disebabkan oleh komplikasi teruk terutamanya mereka yang mempunyai sakit kronik akibat kegagalan organ berfungsi.

Ia pada awalnya hanyalah selsema biasa namun kesan buruk dan kadar kebolehjangkitannya amat tinggi mengerikan ramai pihak tambahan pula Virus ini berupaya berubah (mutasi) dengan lebih cepat terhadap keadaan perumahnya.

Seluruh dunia lumpuh seketika akibat beberpa tindakan oleh kerajaan masing-masing yang membekukan aktiviti ekonomi dan sosial terhadap rakyatnya bagi mengekang wabak ini terus menular.

Manusia apabila terkurung akan memberikan seribu satu perasaan seperti murung dan tekanan perasaan yang hebat apatah lagi mereka yang terjejas pendapatannya.

Segenap lapisan masyarakat amat terkesan terutamanya mereka yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan serta para anggota penguatkuasaan dan keselamatan dalam mengawal keadaan berpandukan arahan demi arahan daripada kerajaan.

Kerajaan yang memerintah juga tidak kurang dihimpit dengan kesibukan dimana ianya perlu menguruskan situasi, memikirkan pelan perancangan dalam mengawal keadaan supaya menjadi terkawal dan tidak memburukkan keadaan serta bantuan yang diperlukan oleh rakyat yang terjejas.

Ianya bukan sahaja menjejaskan nyawa, tahap kesihatan malah sumber ekonomi dan kewangan ramai pihak secara langsung dan kedudukan ekonomi sesebuah negara juga terkesan akibat penutupan beberapa sektor perindustrian serta perkhidmatan.

Malangnya apabila situasi masih sama rakyat mula merasa bosan dengan tindakan kerajaan yang menjadikan perintah kawalan pergerakan yang mengikat semua aktiviti manusia kecuali beberapa pihak berkepentigan dan pemain industri yang dirasakan penting bagi negara tetapi dimata rakyat mereka juga harus dikekang juga.

Kesannya telah mula terasa apabila rakyat mula membenci dan mencemuh kerajaan, pekerja barisan hadapan mula hilang motivasi dan kewarasan dengan pelbagai tuntutan begitu juga petugas-petugas lain yang mula menunjukkan tanda-tanda kebosanan.

Tekanan dapat dirasa apabila sesetengah kejiranan mula menunjukkan tindakan luar biasa seperti tekanan perasaan, hilang kawalan kemarahan juga berlaku kecurian serta paling malang sekali kes bunuh diri turut meningkat saban hari.

Setiap kerajaan akan cuba mengawal wabak ini dari membawa kemusnahan lebih besar serta mengurangkan kesengsaraan rakyatnya dengan pelbagai pakej bantuan dalam membendung perkara-perkara diluar batasan daripada terjadi kerana manusia akan cenderung melakukannya apabila mental dan akal fikiran yang waras menjadi hilang pertimbangan.

Zaman teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan banyak memberi kesan kepada keadaan yang melanda seperti memudahkan manusia berurusniaga secara dalam talian, menggunakan media sosial bagi saling kekal berhubungan juga semua orang tidak pernah menyangka untuk bekerja dari rumah sepenuh masa.

Manusia yang cekal dan tabah sahaja boleh menongkah arus deras kehidupan dalam suasana pandemik ini yang sentiasa cuba bangkit mencari solusi dalam meneruskan kehidupan melainkan mereka yang gagal untuk berubah dan lemas dalam pusaran emosi yang membungkam diri dengan hasutan iblis dan psikologi agar berputus asa melupakan Ilahi.

Begitulah manusia pada zaman moden ini diuji oleh satu wabak yang masih lagi diperdebatkan asal-usulnya juga pihak yang menyebarkannya secara sengaja atau tidak sengaja yang cukup untuk membuatkan semua manusia di kebanyakan negara merana dengan virus yang dikenali dengan nama Corona (Covid19) yang datang tak disangka-sangka membawa malapetaka buat semua. 

Friday, January 22, 2021

2021 Tahun Bencana Manusia Merana Bila Tidak Besedia

Masa terlalu cepat berlalu walaupun detik jam itu seperti selalu bergerak berpusing sepertimana bulan mengelilingi bumi, bumi mengelilingi matahari dan sistem suria ini bergerak seperti mana galaksinya bima sakti. Ianya bergerak tanpa kita rasai kelajuannya sama ada terlalu perlahan atau laju dan jika kita berminat dengan astronomi kita akan tahu melalui turun naik buruj-buruj yang dikenalpasti manusia terdahulu yang berada di kubah langit.

Seperti tahun lalu, hampir seluruh dunia dilanda wabak Corona 19 yang banyak mengubah normal kehidupan manusia sejagat. Kehidupan sosial menjadi lebih dikawal dengan cara berpakaian, pergaulan serta kehidupan seharian yang tidak sebebas seperti dahulu. Manusia hari ini jika masih mahu hidup seperti orang terdahulu akan berasa terpenjara jika tidak mengubah norma baharu dalam menjalani kehidupan seharian.

Manusia sebenarnya makhluk yang paling cepat boleh membuat perubahan kerana akal yang diberi Tuhan membantu mereka berfikir untuk memilih dalam menyesuaikan dalam apa jua keadaan bagi meneruskan kelangsungan kehidupan. Setiap arahan atau perintah kawalan daripada Kerajaan akan mudah diikuti selagi nafsu dan keinginannya tidak melangkaui akalnya sendiri.

Kehidupan sosial dan ekonomi yang menjadi nadi kesejahteraan kehidupan merupakan asas penting dalam menentukan dalam keadaan bahagia atau merana. Mereka yang telah bersedia sejak awal tahun lalu akan kesulitan yang dihadapi akan berjaya kerana telah bersedia dan berjaya mengubah cara hidup seharian. Mereka yang merana adalah mereka yang gagal mengubah cara hidup dan akan merasakan kesempitan atas kesan kehidupan yang dikawal dari kehidupan seperti biasa dipanggil 'new normal'.

Kehilangan pendapatan adalah kesukaran yang utama kerana dunia hari ini berasaskan ekonomi jual beli bukan sara diri menjadikan wang adalah segalanya. Mereka yang gagal untuk mendapatkan wang akan menjadi sukar untuk meneruskan kehidupan kerana segalanya memerlukan nota bernilai itu. Mereka yang mempunyai pendapatan secara bulanan akan selesa kerana pendapatan mereka tidak terjejas berbanding dengan mereka yang mencari pendapatan sendiri atau telah dibuang kerja akibat syarikat menjalankan dasar penjimatan atau mengalami kerugian.

Sistem ekonomi yang menjalankan aktiviti perdagangan secara tradisional akan mengalami kesan yang bessar jika tidak berubah kerana sistem komunikasi dunia hari ini telah bergantung kepada teknologi internet tanpa sempadan. Mereka yang ketinggalan dengan teknologi ini akan cepat terkesan apabila berada di bandar berbanding di luar bandar yang masih lagi menjalankan ekonomi secara konvensional.

Persediaan adalah jalan terbaik bagi manusia dalam mengharungi tempoh yang mencabar ini kerana sedar atau tidak peperangan dunia ketiga telahpun bermula walaupun tanpa senjata biasa tetapi senjata biologi telah menyerang manusia. Hampir semua negara terjejas dengan virus buatan manusia ini dan ia sememangnya senjata biologi yang telah meledak. Semua pihak sekarang ini sedang menunggu kesan vaksin yang mula digunakan dan sejauh mana keberkesanannya masih lagi menjadi tanda tanya. Mahu atau tidak manusia harus berubah dan bersedia kerana tempoh yang sukar ini mungkin akan memakan masa beratus hari lagi pada tahun ini.

Tuesday, April 21, 2020

BUDAYA LEPAS TENGKUK APABILA DITIMPA BENCANA

Bencana dan bahana akibat serangan Virus Corona 19 ini telah menyebabkan negara ini dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melepasi tempoh 30 hari dan mungkin akan melebihi tempoh 60 hari. Kerajaan khusunya Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera dan Pihak Berkuasa Tempatan terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengawal penularannya.

Kerajaan juga mengalami cabaran yang paling mencabar dalam sejarah apabila sosio-ekonomi dan sosio-budaya terjejas teruk akibat penularan virus tersebut yang mengancam segenap lapisan masyarakat. Justeru itu banyak inisiatif-inisiatif baharu dirangka bagi mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat. Mereka yang paling terjejas ialah para pekerja yang terpaksa diberhentikan, bercuti tanpa gaji serta mereka yang bergantung pendapatan secara harian.

Walaubagaimanapun, peristiwa yang sedang berlaku ini menjadi pengajaran kepada semua kerana muncul banyak perkara-perkara yang negatif akibat dari sikap mementingkan diri-sendiri. Apabila kesempitan menerjah jiwa manusia maka bermulalah munculnya perangai atau 'true colour' bagi sesetengah individu. Masyarakat secara amnya terpaksa menjalani kehidupan seharian diluar kebiasaan kerana perlu sentiasa berada dirumah setiap masa kecuali keluar seketika untuk mencari barangan keperluan.

Bermula dengan segelintir rakyat yang masih ingkar untuk patuh kepada PKP ini dengan pelbagai alasan yang mengarut seterusnya dikenakan tindakan sehingga mencecah angka ribuan yang akan didakwa di mahkamah. Ada pula pihak yang mengambil kesempatan dengan menaikan harga barangan serta servis penghantaran yang agak membebankan mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan. Terdapat pula pembelian panik sehingga menjejaskan bekalan makanan harian dan menyusahkan orang lain bagi mendapatkan barangan yang sama. Budaya mementingkan diri sendiri jugalah yang menyebabkan virus ini menular dengan cepat kerana sikap acuh tak avuh dan sambil lewa terhadap kebersihan serta keselamatan orang lain walaupun terhadap keluarga sendiri.

Budaya negatif dengan mengambil kesempatan juga berlaku dikalangan mereka yang terlibat dengan perkhidmatan penghantaran dengan menghantar barangan yang terlarang sehingga menyebabkan para penghantar makanan lain terpaksa juga diperiksa oleh pihak berkuasa. Mereka yang cuba menangguk dia air keruh juga muncul seperti cendawan selepas hujan apabila menjual penutup hidung dan mulut dengan harga berlipat kali ganda. Sikap orang politik yang sering bertelagah dan menuding jari sesama sendiri sehinggakan bantuan kepada rakyat yang memerlukan menjadi tergendala. Budaya tergopoh gapah dan sering mendesak juga berlaku menyebabkan kepentingan sesama manusia tidak dititik beratkan. Manusia akan mudah hilang pertimbangan apabila mereka ditimpa bala bencana dengan tidak mempedulikan orang lain serta masyarakat sekeliling serta sukar berdisiplin mengundang bencana menyebabkan rantaian penyakit ini sukar diputuskan dengan cepat.

Walaupun begitu, semua perkara negatif berkenaan hanya berlaku dalam kadar yang boleh dikatakan segelintir sahaja namun jika dibiarkan ia akan menjadi besar dan serius. Tidak kurang juga ada yang mula mengalami tekanan perasaan akibat terkurung dan terbatas dalam menjalankan aktiviti sosial di luar. Manusia mempunyai naluri semulajadi yang ingin bebas kesana kesini telah dibataskan pergerakan menyebabkan tekanan akibat hidup seharian diluar kebiasaan.