Tuesday, April 21, 2020

BUDAYA LEPAS TENGKUK APABILA DITIMPA BENCANA

Bencana dan bahana akibat serangan Virus Corona 19 ini telah menyebabkan negara ini dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melepasi tempoh 30 hari dan mungkin akan melebihi tempoh 60 hari. Kerajaan khusunya Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera dan Pihak Berkuasa Tempatan terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengawal penularannya.

Kerajaan juga mengalami cabaran yang paling mencabar dalam sejarah apabila sosio-ekonomi dan sosio-budaya terjejas teruk akibat penularan virus tersebut yang mengancam segenap lapisan masyarakat. Justeru itu banyak inisiatif-inisiatif baharu dirangka bagi mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat. Mereka yang paling terjejas ialah para pekerja yang terpaksa diberhentikan, bercuti tanpa gaji serta mereka yang bergantung pendapatan secara harian.

Walaubagaimanapun, peristiwa yang sedang berlaku ini menjadi pengajaran kepada semua kerana muncul banyak perkara-perkara yang negatif akibat dari sikap mementingkan diri-sendiri. Apabila kesempitan menerjah jiwa manusia maka bermulalah munculnya perangai atau 'true colour' bagi sesetengah individu. Masyarakat secara amnya terpaksa menjalani kehidupan seharian diluar kebiasaan kerana perlu sentiasa berada dirumah setiap masa kecuali keluar seketika untuk mencari barangan keperluan.

Bermula dengan segelintir rakyat yang masih ingkar untuk patuh kepada PKP ini dengan pelbagai alasan yang mengarut seterusnya dikenakan tindakan sehingga mencecah angka ribuan yang akan didakwa di mahkamah. Ada pula pihak yang mengambil kesempatan dengan menaikan harga barangan serta servis penghantaran yang agak membebankan mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan. Terdapat pula pembelian panik sehingga menjejaskan bekalan makanan harian dan menyusahkan orang lain bagi mendapatkan barangan yang sama. Budaya mementingkan diri sendiri jugalah yang menyebabkan virus ini menular dengan cepat kerana sikap acuh tak avuh dan sambil lewa terhadap kebersihan serta keselamatan orang lain walaupun terhadap keluarga sendiri.

Budaya negatif dengan mengambil kesempatan juga berlaku dikalangan mereka yang terlibat dengan perkhidmatan penghantaran dengan menghantar barangan yang terlarang sehingga menyebabkan para penghantar makanan lain terpaksa juga diperiksa oleh pihak berkuasa. Mereka yang cuba menangguk dia air keruh juga muncul seperti cendawan selepas hujan apabila menjual penutup hidung dan mulut dengan harga berlipat kali ganda. Sikap orang politik yang sering bertelagah dan menuding jari sesama sendiri sehinggakan bantuan kepada rakyat yang memerlukan menjadi tergendala. Budaya tergopoh gapah dan sering mendesak juga berlaku menyebabkan kepentingan sesama manusia tidak dititik beratkan. Manusia akan mudah hilang pertimbangan apabila mereka ditimpa bala bencana dengan tidak mempedulikan orang lain serta masyarakat sekeliling serta sukar berdisiplin mengundang bencana menyebabkan rantaian penyakit ini sukar diputuskan dengan cepat.

Walaupun begitu, semua perkara negatif berkenaan hanya berlaku dalam kadar yang boleh dikatakan segelintir sahaja namun jika dibiarkan ia akan menjadi besar dan serius. Tidak kurang juga ada yang mula mengalami tekanan perasaan akibat terkurung dan terbatas dalam menjalankan aktiviti sosial di luar. Manusia mempunyai naluri semulajadi yang ingin bebas kesana kesini telah dibataskan pergerakan menyebabkan tekanan akibat hidup seharian diluar kebiasaan.