Sunday, January 24, 2010

Salam tahun baru 2010

Syukur ke hadrat ilahi kerana masih lagi diberi kesempatan untuk terus hidup di tahun yang baru menandakan usia telah ditambah lagi. Walaupun ulangtahun kelahiranku jatuh pada 18 November tahun masihi dan 21 Muharram tahun Hijriah (bersamaan 7 Januari pada tahun ini).

Tiga perkara telah ditetapkan untuk kita dalam kitab induk di Lauh Mahfuz semenjak kita dilahirkan ke dunia iaitu umur, rezeki dan juga ajal. Takdir yang lain juga telah ditentukan tetapi dengan cara yang penuh hikmah dengan sifat-sifat yang layak bagi ALLAH swt. Jika difikirkan tentang takdir, ia memang penuh hikmah dan termampu untuk dihadapi oleh kita.

Di tahun ini banyaklah harapan dan impian yang diharapkan oleh setiap orang agar lebih merasakan bahagia di dunia dan sepatutnya juga difikirkan untuk mendapat rahmat di akhirat nanti. Setiap manusia jika ditanya sentiasa inginkan yang terbaik bagi diri mereka dan dalam kisah kehidupan seharian. Walaubagaimanapun setiap kehidupan adalah asam garam dan pahit manis yang harus ditempuhi. Terpulang kepada kita sebenarnya untuk memilih dan merasainya yang pasti mempunyai akibatnya yang tersendiri. Bagi yang telah maklum bahawa dunia ini adalah pentas ujian yang dijadikan untuk setiap hambanya sebelum diadili pada suatu hari nanti untuk destinasi syurga atau neraka. Bila umur telah bertambah maka bertambahlah masa yang dikira amalan kita sehinggalah terhentinya degupan jantung bagi menamatkan nyawa.