Sunday, January 15, 2012

MENINGKAT lagi SETAHUN usia

Tanggal 21 Muharram (tahun hijriah) dan 18 November (tahun masihi) yang lalu genap 3 dekad diberi nafas oleh Yang Maha Kuasa untuk mengharungi lautan kehidupan dunia yang mencabar ini. Di lambung ombak, dihempas badai namun ada juga riak tenang yang menjadi guru kehidupan dibawah rahmatnya.

Menjelma sebagai makhluk yang tidak punya apa-apa menumpang kasih sayang kedua orang tua membesarkan dan memberi pendidikan yang seadanya. Ya ALLAH tuhanku Yang Maha Pemurah kau kurniakanlah limpahan rahmatmu keatas kedua orang tuaku yang banyak berjasa dalam menggalas amanahMU. Buat semua adik beradikku, saudara mara  semua sememangnya kehidupan bersama kalian adalah anugerah TUHAN yang amat baik telah diberikan. Segala hubungan baik yang dilalui akan mendapat kerdhaan ILAHI dan pahala yang meliputi. Sekalung ingatan kepada rakan taulan dan maulan yang sama-sama mengharungi sejak di alam permainan, persekolahan serta pekerjaan amat dihargai.

Lama telah kulalui kadangkalanya berlari, meniti dan berjalan kesana-kemari menghabiskan usia menambah catatan diari kehidupan dunia namun kadang terlupa kita akan menuju kehidupan yang abadi. Alangkah indahnya kehidupan yang penuh ranjau dugaan kadang tersepit dan selalunya bernasib baik menjadi pelajaran dan pengalaman manis dan pahit yang tak perlu diungkit. Rezeki yang dikurnia setelah bergelar seorang suami dan bapa amat disyukuri dan diinsafi semoga berkat dari ilahi mampu menambahkan kebahagiaan yang berseri. 

Tanggungjawab sebagai seorang pekerja semakin bertambah dengan dugaan dan cabaran bersilih ganti dalam memenuhi hala tuju organisasi. Setiap amanah yang dipikul adalah kepuasan dari penat lelah keletihan dari kerahan pihak atasan namun itu semua adalah satu tanggungjawab yang perlu dibereskan dengan niat beribadat asalkan kerana tuhan. Kesihatan yang baik walaupun ada ketikanya sakit sebagai penghapus dosa atas kelakuan yang agak tidak baik ditambah dengan usaha nekad menjauhi tabiat menyedut nikotin sejak menjelmanya 1 Ramadhan yang lalu.

Kisah sedih menutup tahun lepas dengan pemergian ibunda tercinta yang dikasihi setelah hampir dua bulan bertarung dengan ujian diabetes dari Allah sebagai asbab menuju ke hadrat Maha Pencipta pada 17 Muharram/13 Disember baru-baru ini. Emak yang disayangi memang telah banyak berjasa melahirkan, menyusui serta mengasuh anaknya yang kelima ini dengan susah payah namun penuh tabah dalam membentuh sahsiah dan sifat-sifat mahmudah kepada kami sekeluarga di usia 64 tahun.

Dengan doa dan harapan semoga masa-masa mendatang lebih membahagiakan dengan kesihatan yang lebih baik dalam menjalani kehidupan sebagai seorang hamba tuhan yang dekat dalam kerahmatan .