Tuesday, October 27, 2009

Dilema berjiran

Hidup bermasyarakat memang menyeronokkan dan tidak ramai manusia biasa memilih untuk hidup bersendirian di hutan atau di dalam gua. Namun bila hidup dengan dikelilingi manusia yang bermacam perangai juga boleh memeningkan kepala. Namun kesabaran yang besar perlu dipupuk tambahan pula berjiran dengan berlainan bangsa dan budaya.

Suasana hidup dikota memang begitu sebenarnya, jiran tetangga ialah yang paling jauh walaupun hanya bersempadankan pagar dan tembok sahaja. Jika keramaian, lebih diutamakan kawan dan saudara dari jiran yang sering dilupa. Berjiran dengan mereka yang seagamapun sukar untuk mewujudkan sifat mesra kerana masing-masing punya masa yang berbeza-beza dan memang jarang bertegur sapa.

Toleransilah perkataan yang paling sesuai untuk mengelakkan sebarang konflik kerana selalunya jika jarang bertegur sapa ia akan lebih didominasi dengan sikap mengandai-andai atau berburuk sangka. Dalam meneruskan hidup kejiranan ini apa yang penting janganlah saling sakit menyakiti atau provokasi sesama sendiri. Ambillah contoh yang diamalkan oleh rasulullah sendiri yang mana sikap terhadap jiran-jirannya yang harus diikuti. 

Sunday, October 25, 2009

Tengok wayang..kekadang memeningkan kepala

Dulu masa bujang pergi tengok wayang sorang-sorang dan jarang-jarang dan berpasang kalau ada kawan-kawan wanita yang ada ruang. Tetapi kebanyakannya baik tengok dalam bilik sendiri kalau cerita melayu selalunya aku beli yang ORI dan cerita hollywood gerentilah beli yang dirompak curi.

Sekarang masa dah berdua memang keraplah aku ke wayang minima dua kali sebulan atau setiap rabu kerana paling murah hanya RM6 sahaja. Aku kira inilah masanya nak enjoy dengan isteri aku kat luar sebab inilah aktiviti yang paling senang dan bagi aku tidak terlalu sosial sangat. Zaman sosial dah berlalu namun bila dah jadi suami orang dah ada teman sosial yang halalan toyyiba untuk ke sana ke mari.

Selalunya aku menonton di GSC IOI Mall Puchong atau di GSC Summit USJ kerana tak sampai 10KM dari rumah. Baru-baru ni aku bawa isteri ke TGV KLCC yang memangnya kelas sikit dan berkos tinggi. Kalau nak ikutkan aku lebih selesa di IOI Mall sebab boleh parkir kereta di atas dan hanya turun ke bawah untuk pergi menonton bebrbanding Summit USJ yang kena berjalan jauh.

Sejak menjadi kaki wayang era ni banyak la perkara-perkara yang aku tak puas hati dengan sikap rakyat kita yang masih bermentaliti kelas ketiga. Membawa anak-anak kecil dan dibiarkan berlari ke sana kemari tanpa si ayah sedikitpun tidak melarang. Masih ramai yang tidak menyenyapkan telefon bimbit masing-masing dan tanpa segan silu bercakap menngunakannya. 

Syarikat pawagam juga masih tidak memberi kepuasan atau kualiti perkhidmatan yang sebaik mungkin kerana masih ada sikap operatornya yang sambil lewa seperti lambat menutup lampu, projektor yang bergoyang-goyang juga nombor dikerusi yang tidak jelas. Semua ni memeningkan kepala dan seakan-akan boleh membunuh mood aku untuk menjadi penonton wayang. Aduhai Malaysiaku....   

Wednesday, October 21, 2009

Membersihkan hati...takwa kepada ilahi

Segala puji bagi tuhan yang menjadikan apa yang ada di langit dan bumi juga yang diantara kedua-duanya. Sesungguhnya dialah yang maha pengasih, pengampun dan penyayang. Mahasuci ALLAH yang memberikan dunia sebagai pentas ujiannya, segala puji untuknya dengan segala nikmat pemberian yang diperolehi sejak diciptakan olehnya dan Mahabesarnya yang tiada apa pun yang boleh setara dengannya.

Ramadhan kali ini betul-betul dilalui dengan penuh nikmat dan berkat maghfirah keampunan darinya. Luluh hancur hati ini bila mengenangkan segala pemberiaannya dan amat rendah rasa diri ini jika sedetik melupakannya. Istiqamah yang dirasai amat menyentuh dan membersih hati, hari demi hari yang ku lalui sentiasa dirasai nikmat yang diberi. Bukan kesenangan duniawi tetapi bekalan untuk akhirat yang perlu digali dengan duniawilah insan menukarnya dengan syurgawi.

Membersihkan hati bukan satu perkara yang mudah jika tidak berhati-hati. Syaitan sentiasa memerhati dengan mengharapkan ada ruang saki baki agar sesat dan kembali mengotorkan hati. Segala puji baginya atas rasa yakin yang mendalam hanya kepadanya aku berserah dan kembali.

Thursday, October 15, 2009

Rumah terbuka, dosa atau pahala?

Bila tiba hari raya semua orang rasa gembira dengan pakaian yang berseri-seri dan wajah yang menyenangkan hati. Setelah 30 hari menahan nafsu, lapar dan dahaga demi keampunan dan mengharap rahmat dari ilahi.

Namun pada pagi aidilfitri, kembali kepada fitrah memang tepat sekali bila perangai lama mula kembali tambahan pula kawan lama (Syaitan) dah kembali. Menjamu selera sesuka hati hingga lupa batasan yang diberi.

Bila syawal masih berbaki, ramai pula yang bermurah hati menjemput sahabat handai menjamu selera. Baikknya bila dapat kenal mengenal sesama kita merapatkan hunbungan sesama keluarga. Namun ada juga yang ingin menunjuk-nunjuk apa yang ada tidak kuran juga membazir kerana syaitanpun suka. Sahabat handai dan saudara yang jauh dijemput hingga lupa jiran sebelah sendiri merungut.

Apa saja yang diadakan acara biarlah dengan niat yang mulia untuk menambah pahala bukan untuk menambah dosa sediakala. Sedihnya bila pahala dan keampunan yang diraih ditimpa dengan dosa yang lebih kerana masih tidak takut dengan neraka dengan air yang mendidih.

Monday, October 12, 2009

Menemui jalan mati...

Puas aku berjalan...
Melangkah dengan perasaan...
Berlari  mengejar impian yang sering dihasut syaitan...
Bergurau keasyikan sampai lupa kawan dan tuhan...

Menari kekadang meninggalkan iman...
Tidur bermimpi dengan mainan syaitan...
Membaca kurang dengan kalimat tuhan...
Berfikir terlalu inginkan kebebasan...
Bercakap sampai terpengaruh dengan angan-angan...


Puas aku berjalan...
Banyak juga ku jumpa persimpangan...
Banyak lorong dengan seribu satu godaan...
Banyak susur yang penuh dengan ujian...
Banyak lubang-lubang yang lazimnya beri kerosakan...
Ada aral yang melintang memberikan kemalangan dan pedoman...


Puas aku berjalan...
Berhenti bila kepenatan...
Bersandar di pohon ketenangan...
Bermimpi dengan drama ujian...
Berkenalan dengan berbagai makhluk tuhan...
Bermacam perangai,godaan dan hasutan...
Bersyukur aku masih mengenal tuhan...
Berserah kepadanya sebenarnya satu jalan...

Kembali menulis...

Sebuah pondok coretan peribadi yang telah lama kutinggalkan
Bukan disebabkan kecewa atau bosan
Bukan sebab penyakit malas atau segan
Bukan juga disebabkan tekanan oleh mana-mana insan

Sebuah hati yang telah kembali
Keinginan untuk menulis bertaut lagi
Setelah fasa pemulihan dan terapi aku hadapi
Kini aku benar-benar pasti
Aku mahu puji tanpa henti
Kepada TUHANKU ALLAH yang amat menyayangi
Memberikan ku kekuatan untuk menulis lagi