Sunday, August 15, 2010

Oh...masyarakatku.

Masyarakat adalah komuniti disekeliling yang sedikit sebanyak mampu mempengaruhi corak dan budaya kehidupan atau dalam ilmu falsafah dikelaskan sebagai Sosiologi. Selagi kita punya kehidupan dengan bertemankan etika kekeluargaan, kejiranan seterusnya kenegaraan maka kita masih lagi dalam kelompok kemasyarakatan.

Dunia tanpa sempadan hari ini telah memberikan meluaskan maksud kemasyarakatan pabila kita menyertai komuniti siber yang tiada kesudahan. Mentaliti adalah satu asas tercetusnya pengaruh dan gejala sesuatu keadaan sesebuah kemasyarakatan. Dewasa ini kita sering dikejutkan dengan pelbagai anasir baru atau kejadian aneh yang berlaku diluar kebiasaan sosiologi kemasyarakatan. Tabiat itu wujud akibat kelemahan berfikir sebelum bertindak atau hanya mementingkan perasaan dengan menurut emosi secara melulu mengakibatkan sistem kehidupan itu menganggu keadaan dan jauh dari keterbiasaan.
Semua masyarakat di dunia sekarang ini mengejar kemajuan yang lebih kepada keduniaan akibat kejayaan hasil pengaruh ideologi yang agak kebaratan pendokong satu nilai sekularisme yang selalu menyalahi sesuatu perkara yang mengaitkan beberapa prinsip dengan nilai keagamaan. Namun itu adalah sesuatu yang umum jika diletakkan kepada masyarakat dunia. Bagi masyarakat Malaysia, nilai kehidupannya juga sering mengalami perubahan terutamanya sejak memperolehi kemerdekaan dari penjajahan dan kesannya bercampur dengan beberapa idealisme pemerintahan kerajaan. Secara umumnya, kita selalu dimomokkan dengan perbezaan keturunan atau lebih dikenali sebagai semangat perkauman. Ia sesuatu yang mudah bagi setiap penjajah meninggalkan suatu masalah yang akan memberikan kesan kepada pemikiran seterusnya corak pemerintahan sehingga mempengaruhi pemikiran dan sistem sosiologi kemasyarakatan.

Semua rakyat yang dilahirkankan, terus dipecahkan mengikut keturunan agar mereka punya impian atau perasaan cintakan kaumnya melebihi segala prinsip kemanusiaan. Pemecahan budaya dan mentaliti pemikiran menyebakan apa sahaja isu akan diputarkan mengikut bunga dan pohon perbezaan dari segi keturunan. Mengapa masyarakat kita masih berdiri dengan semangat perkauman yang ekstrim sehingga wujudnya tindakan yang melampaui? tidakkah kita lihat bahawa tanpa perkauman kita masih lagi boleh bersatu dibawah satu pemerintahan yang lebih berorientasikan satu kefahaman atau ideologi yang membawa kepada keadilan yang membawa kemakmuran? Sebenarnya masyarakat kita hanya menjadi mangsa permainan suatu golongan yang punya kepentingan dalam mendapat kuasa dan sedikit keuntungan yang diwarisi oleh sekelompok keturunan zaman berzaman.
Kita masih tidak sedar mentaliti marhain berjaya dicipta agar setiap kepala tidak punyai wawasan kearah keadilan tetapi sentiasa menjadi budak suruhan kepada sekelompok golongan yang sebenarnya hanya memerah keringat dan mengambil manfaat dan mereka adalah budak jahat yang sentiasa berselindung disebalik kuasa pilihan rakyat.