Thursday, July 1, 2021

RELAKLA (RELAX) KAWAN

Ini bukan cerita atau seloka,
Bukan juga cereka, penglipurlara, gurindam jiwa atau drama,
Ini kisah benar coretan rasa jiwa tentang layanan manusia yang kadangkala mengecewakan dan membuatkan hubungan itu semakin berjauhan atau mungkin akan dilupakan,
Kita selalu bersabar pujuk hati jangan berdebar kerana dahulu kita sentiasa berkobar-kobar melayani masa dan ruang waktu untuk rakan taulan,
Mulanya malas untuk jari-jemari ini menzahirkan bait-bait untuk dipahat di ruang media maya ini,

Ceritanya hanyalah berlegar sesama manusia bukan hantu jembalang punya angkara,
Kisahnya ini ditulis untuk manusia dari manusia yang belajar di universiti bermottokan ‘Kerana Tuhan Untuk Manusia,

Bukan kecewa dengan alam semulajadi flora dan fauna ciptaan tuhan,
Karenah manusia sentiasa ingin sengketa dengan nafsu-nafsi perangainya,
Manusia ada hati dan perasaan yang keras dan lembut seperti batu atau laut ditimpa hujan,
Ramai berani diam kerana mereka geram tetapi api amarahnya sedang membakar sekam kesabaran,

Sejarah lalu menjadi buku, sejarah silam yang semalam terus kelam hanyut tenggelam,
Cabaran demi dugaan semakin gusar dan tersasar,
Suasana hingar-bingar oleh manusia tak berhenti diam atau mulut diam jari jemari menekan papan kekunci,
Kurang ajar yang berulang bukanlah gurauan manja tetapi ia benih kebencian sesama manusia,

Sikap tidak menyantun hanyalah sesuai di dunia kartun diwarisi generasi ke generasi,
Mereka akan biadap bukan tidak belajar adab tapi kerana sikap suka menjadi senohong dan siakap kemudiannya gelama serta ikan duri,
Manusia penglipur lara hanya tahu berdrama hingga terlupa babak-babak semalam telah dikitar semula,

Halwa telinga boleh melayan namun menitis ke hati geram membara kerana kehancingan,
Kecewa, kemarahan dan kesedihan buat hati luluh bak hilang penyuluh buat syaitan dalam hati seronok selingkuh,

Maruah musnah jika hariannya penuh dengan nista dan dusta si pembuat karenah,
Kita punya ramai teman, kawan dan taulan semua itu adalah pilihan walaupun bukan menu hidangan,

Persahabatan dan persaudaraan boleh jadi permusuhan bila rasa benci menjadi baja bunga amarah dendam kesumat,
Kita punya kuasa untuk memilih dia, mereka atau bukan,
Kisah silam menjadi sejarah pedoman dan teladan di masa depan,
Terima kasih atas segala keseronokan dan kebahagiaan menjadi nostalgia lalu,
Tuhan mesti tahu dan membalasnya untukmu setiap inci dan penjuru,
Syarat amal adalah ikhlas jika tidak pahala beribu menjadi debu,

Kehidupan semakin bercelaru jika manusia masih seperti dahulu,
Manusia tak pernah berlajar dari kesilapan walaupun sentiasa diingatkan tuhan,
Mereka tak pernah insaf walaupun angin hitam(al-ahmar) telah menyumbat saraf nya,
Mereka tuli telinga, hati mati akibat jauhkan diri untuk sujud taubat pembersihnya hati,
Manusia bikin onar tunjuk nafsu kawan baik dibuat seteru dengan akal penipu,
Mereka malas membasah lidah mengingat akan Allah SWT yang banyak kata-kata pujian atasnya juga 99 al-asma' ul husnaNYA,

Manusia suka menjadi raja bila ada wang serta kuasa terus lupa dan sombong dunia,
Ego manusia serta sikap penakut boleh hilang wang berpuluh juta ini kisah didepan mata,
Manusia punya naluri mengawal dan memerintah walaupun usianya muda pengalaman hidup masih mentah,

Manusia sebagai khalifah kerana suka tanggung amanah yang gunung pun takut dan rebah,
Manusia bila sentiasa menipu buat muka mereka tebal tidak malu,
Mereka menukar yang ikhlas menjadi culas dan menjadi semakin malas untuk membelas,
Kini takdir adalah suratan yang jadi pilihan buat kita pilih dimana jalan atau jurang,
Sukar menjaga hubungan dengan tuhan jika gagal menjaga hubungan sesama makhluk yang DIA ciptakan,

Adakah semua itu nikmat-nikmat Tuhanmu yang selalu kamu dustakan?
Aku adalah manusia lemah dan paling bersalah, paling berdosa serta paling bodoh yang menumpang di sudut kecil dunia,
Kita hanyalah manusia yang terlalu lemah atas usaha dan sering berserah tawakal agar diberi kehidupan yang penuh hikmah,
Cukuplah Allah SWT. yang menjadi pelindung dan penolongku.

01072021M, 20 Zulqaedah 1442H - 10:00
Medan Batu Caves, Selangor DE.