Thursday, October 1, 2020

Orang Tipu Orang

Seringkali kedengaran pelbagai cara dan usaha setiap orang yang mencari pendapatan lebih dengan tujuan dapat digunakan demi kebahagian hidup. 

Setiap manusia pasti inginkan kesenangan dan kekayaan walaupun keperluan hidup serba cukup dan tidak terlalu mewah sekadar sederhana sahaja. 

Namun begitu, manusia sememangnya dicipta dengan sifat tergesa-gesa selain lupa dan haloba inilah kelemahannya yang mudah kecewa mudah diperdaya. 

Ada seseorang yang bila tamak menguasainya dia akan mudah memperdaya manusia lain bagi mendapat apa yang dihajatinya kendatipun kawan sendiri. 

Menjadi mangsa selalunya manusia yang baik mudah mempercayai dan mengasihani teman dan saudara yang cuba memperdaya dengan maksud mencari modal untuk berniaga. 

Ada juga mereka yang sememangnya tamak dan takut peluang hilang didepan mata juga angannya yang merasakan nasib menyebelahinya. 

Apabila keinginan melebihi keperluan dan impiannya mula menggunung mereka akan cuba membuat dan mencari peluang mendapatkan pendapatan yang lebih. 

Mereka selalunya tidak menyangka diperdaya dan tidak menyedari diperguna bagi memperdayakan teman sendiri atau ahli keluarga lain dalam skim cepat kaya. 

Nafsunya selalu meronta inginkan timbunan harta hingga akal fikirannya menjadi buta untuk bezakan antara kaca dan permata. 

Malangnya mereka menjadi mangsa disebabkan keinginan yang menjulang mempercayai petualang dengan memberikan wang kepada para penipu. 

Akhirnya hubungan yang terjalin menjadi cairan lilin yang membakar diri menerangi orang lain dengan formula perniagaan yang menipu si miskin agar yakin akan mendapat komisyen. 

Penyesalan tiada gunanya kerana kehidupannya kembali merana disebabkan akalnya dibutakan nafsu menjadi penipu kerana tertipu kerana sifat melulu mahukan wang beribu.
 
Inilah fatamorgana yang disangka air di padang pasir akibat kehausan melampaui warasnya mengakibatkan terkandas berputih mata rakan dan keluarga menjauhi serta mengejinya.