Thursday, July 2, 2015

2015: Semakin tinggi gelombang, semakin berdurinya jalanan.

"Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."

Tahun ini adalah tahun-tahun yang semakin mencabar dengan fitnah kehidupan duniawi yang mencengkam. Amanah membesarkan tiga cahyamata juga menambahkan lagi asam garam dan pahit maung cabaran sebuah kehidupan. Namun apakan daya sebagai seorang hamba inilah jalan yang perlu ditempuhi sebelum sampai ke destinasi abadi.

Era milenia ini adalah ruang masa yang dikhabarkan sebagai 'dunia akhir zaman' dengan pelbagai permainan, senda-gurau dan ujian yang amat berat bagi mereka yang berfikir. Mahu atau tidak, perjalanan ini harus bertapak sama ada berjalan atau berlari kita tidak sunyi dengan kesan-kesan sampingan yang penuh emosi dengan pilihan takdir dari naluri serta nasib rezeki dari Ilahi.

Sudah terasa masa semakin ligat berputar walaupun ia masih lagi dikira 24 jam penggiliran malam dan siang oleh kerana aktiviti-aktiviti dan kesibukan dunia yang mengalpakan. Bahtera rumahtangga yang berlayar juga perlu dikemudi agar tidak karam walaupun kekadangnya terpesong atau tersasar laluan yang sepatutnya. Apakan daya segala usaha dan pengharapan hanyalah kepada tuhan yang menunjukkan jalan agar tidak terikut-ikut dengan arus kesesatan dan kebatilan.

Gelombang kehidupan yang ganas menerpa, memercik dan membasahi setiap langkah terus dirasa kerana jika berhenti atau tewas kecewa akan tenggelam sia-sia. Syukurlah kerana masih lagi sedar status sebagai seorang hamba menyebakan kebergantungan kita kepada Sang Pencipta Raja segala Raja terus dipasak kukuh sebagai 'senjata' dan 'dayung' bahtera selagi diberi usia.