Monday, June 28, 2021

CORONA BUAT SEMUA MERANA

 Telah melewati dua tahun wabak ini melanda dunia dengan jumlah korban melebihi jutaan manusia disebabkan oleh komplikasi teruk terutamanya mereka yang mempunyai sakit kronik akibat kegagalan organ berfungsi.

Ia pada awalnya hanyalah selsema biasa namun kesan buruk dan kadar kebolehjangkitannya amat tinggi mengerikan ramai pihak tambahan pula Virus ini berupaya berubah (mutasi) dengan lebih cepat terhadap keadaan perumahnya.

Seluruh dunia lumpuh seketika akibat beberpa tindakan oleh kerajaan masing-masing yang membekukan aktiviti ekonomi dan sosial terhadap rakyatnya bagi mengekang wabak ini terus menular.

Manusia apabila terkurung akan memberikan seribu satu perasaan seperti murung dan tekanan perasaan yang hebat apatah lagi mereka yang terjejas pendapatannya.

Segenap lapisan masyarakat amat terkesan terutamanya mereka yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan serta para anggota penguatkuasaan dan keselamatan dalam mengawal keadaan berpandukan arahan demi arahan daripada kerajaan.

Kerajaan yang memerintah juga tidak kurang dihimpit dengan kesibukan dimana ianya perlu menguruskan situasi, memikirkan pelan perancangan dalam mengawal keadaan supaya menjadi terkawal dan tidak memburukkan keadaan serta bantuan yang diperlukan oleh rakyat yang terjejas.

Ianya bukan sahaja menjejaskan nyawa, tahap kesihatan malah sumber ekonomi dan kewangan ramai pihak secara langsung dan kedudukan ekonomi sesebuah negara juga terkesan akibat penutupan beberapa sektor perindustrian serta perkhidmatan.

Malangnya apabila situasi masih sama rakyat mula merasa bosan dengan tindakan kerajaan yang menjadikan perintah kawalan pergerakan yang mengikat semua aktiviti manusia kecuali beberapa pihak berkepentigan dan pemain industri yang dirasakan penting bagi negara tetapi dimata rakyat mereka juga harus dikekang juga.

Kesannya telah mula terasa apabila rakyat mula membenci dan mencemuh kerajaan, pekerja barisan hadapan mula hilang motivasi dan kewarasan dengan pelbagai tuntutan begitu juga petugas-petugas lain yang mula menunjukkan tanda-tanda kebosanan.

Tekanan dapat dirasa apabila sesetengah kejiranan mula menunjukkan tindakan luar biasa seperti tekanan perasaan, hilang kawalan kemarahan juga berlaku kecurian serta paling malang sekali kes bunuh diri turut meningkat saban hari.

Setiap kerajaan akan cuba mengawal wabak ini dari membawa kemusnahan lebih besar serta mengurangkan kesengsaraan rakyatnya dengan pelbagai pakej bantuan dalam membendung perkara-perkara diluar batasan daripada terjadi kerana manusia akan cenderung melakukannya apabila mental dan akal fikiran yang waras menjadi hilang pertimbangan.

Zaman teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan banyak memberi kesan kepada keadaan yang melanda seperti memudahkan manusia berurusniaga secara dalam talian, menggunakan media sosial bagi saling kekal berhubungan juga semua orang tidak pernah menyangka untuk bekerja dari rumah sepenuh masa.

Manusia yang cekal dan tabah sahaja boleh menongkah arus deras kehidupan dalam suasana pandemik ini yang sentiasa cuba bangkit mencari solusi dalam meneruskan kehidupan melainkan mereka yang gagal untuk berubah dan lemas dalam pusaran emosi yang membungkam diri dengan hasutan iblis dan psikologi agar berputus asa melupakan Ilahi.

Begitulah manusia pada zaman moden ini diuji oleh satu wabak yang masih lagi diperdebatkan asal-usulnya juga pihak yang menyebarkannya secara sengaja atau tidak sengaja yang cukup untuk membuatkan semua manusia di kebanyakan negara merana dengan virus yang dikenali dengan nama Corona (Covid19) yang datang tak disangka-sangka membawa malapetaka buat semua.