Thursday, May 31, 2018

Kerajaan Baharu, Harapan Baharu

Kini Kerajaan Pakatan Harapan telah berusia 22 hari dalam mentadbir negara ini setelah berjaya mendapat majoriti mudah dalam pilihanraya yang lalu. Mereka telah membuktikan bahawa anggapan Kerajaan Barisan Nasional tidak dapat ditumbangkan adalah salah dan Rakyat Malaysia sendiri membuat keputusan yang berani dalam menumbangkan kerajaan lalu yang memerintah selama 31 tahun sejak negara ini merdeka.

Maka bermulalah pelbagai polemik dalam menelusuri setiap hari perkembangan dan segala tindak tanduknya. Persoalan terus terpacul daripada ramai pihak adalah kemampuan kerajaan baharu ini memastikan manifesto 10 janji utamanya dalam masa 100 hari. Pelbagai pihak mula mengira dan mencabar akan janji-janji tersebut dengan pelbagai komen dan ulasan sama ada dengan nada yang positif atau negatif.

Bagi pihak yang masih menjadi pembangkang atau baharu menjadi pembangkang mereka mempunyai tugas penting dan mencabar dalam membentuk sebuah pasukan yang benar-benar berfungsi sebagai semak-imbang. Lanskap baharu dengan gagasan yang berlainan dalam mencorak pentadbiran negara mengikut idealisma Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan baharu.

Masih terlalu awal untuk kita membuat komen atau sebarang cemuhan kerana setiap langkahnya adalah menjadi permulaan yang mempunyai laluan yang jauh dan panjang untuk diperhatikan serta meraih kejayaan. Rakyat Malaysia yang telah membuat keputusan dalam memberi harapan kepada penukaran kerajaan ini akan mula menjadi penonton dan penyokong dalam setiap dasar atau pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan baharu ini.