Tuesday, February 15, 2022

RIDE MENCARI RAHSIA DISEBALIK RAHSIA (HARI KETIGA)

Perjalanan Hari ketiga, 30 Januari 2022 / 27 Jamadil Akhir 1443H

Kami bertujuh telah bersiap-siap bagi meneruskan perjalanan seawal 6.30 pagi kerana ketua ekspedisi (Izuwan) telah memberitahu akan bergerak ke destinasi seterusnya pada jam 7.30 pagi. Alhamdulillah dapat tidur yang nyenyak walaupun keadaan hotel penginapan yang agak tidak memuaskan namun seringkali diingatkan oleh tokwan untuk kami sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Malam tersebut agak lewat tidur kerana rakan sebilik ajak berbual pelbagai topik kerana maklumlah kami kenal dah lama namun agak jarang berjumpa. Tinta takdir Allah swt. amat mengharukan perasaan kerana suratan dan kebetulan yang dilalui mempunyai 1001 hikmah dan ujian yang termampu oleh kita. Masing-masing telah membingitkan awal pagi di perkarangan hotel dengan deruan bunyi enjin motorsikal kami yang rata-ratanya berkuasa besar dan bunyi yang berdegar-degar.

Sebelum memulakan perjalanan, seperti biasa kami akan mengaminkan bacaan doa oleh rakan yang dipilih untuk menjadi 'imam doa' bagi memohon keberkatan kerana ini bukanlah aktiviti yang 'lagho' kerana mengembara ini adalah sunnah para ambiya' terdahulu. Singgah sebentar di kedai sarapan pagi berhampiran yang jaraknya hanya satu kilometer dari hotel penginapan. Juadahnya yang pelbagai dengan menu istimewa dengan gulai ikan temenung dan beberapa ikan lain menggamit perhatian untuk merasainya selain roti canainya yang tidak mengecewakan.



Setelah perut terisi dan masing-masing puashati atas rezeki yang diberi Ilahi kami singgah sebentar di stesyen minyak Petronas bagi memenuhi tangki jentera masing-masing bagi melancarkan perjalanan. Destinasi pertama pada pagi tersebut ialah Menara Condong Teluk Intan (Teluk Anson). Jam telah menunjukkan pukul 9.30 pagi, suasana trafik agak sesak dimana-mana kerana hari minggu yang dipenuhi pelancong tempatan serta kebetulan pula pasar pagi berhampiran menara tersebut baru sahaja dikemas namun beberapa kumpulan bermotorsikal yang lain juga turut berada di perkarangannya. Ketua penunggang telah membuat pusingan sekali kami berjaya mendapat tempat untuk meletak motorsikal bagi mengambil gambar dengan berlatar belakang menara jam yang merupakan tangki air tersebut. Pada hari siang menara itu tudaklah seindah mana namun kecondongannya jelas kelihatan. Inilah tempat yang paling sekejap kami singgah hanya sekitar setengah jam kerana cuaca yang agak panas serta pengunjung yang ramai dan semakin sesak (crowded).


 


Setelah semuanya bersiap sedia, jeritan 'on the bike' sentiasa akan berkumandang menandakan akan terus bergerak kerana jika ada yang ketinggalan ianya akan menganggu masa perjalanan kerana hanya 'tekong' yang sentiasa melihat peta pandu arah (waze). Bergerak ke check point seterusnya dan merupakan destinasi penting sebenarnya dalam perjalanan tiga hari dua malam kami ini sebuah kompleks bersejarah yang menjadi tema dan klimaks bagi kesemua destinasi persinggahan kami. Panorama yang cukup indah sekali lagi merentasi lautan sawah padi yang biasanya hanya didapati di Kedah dan Sungai Besar serta Sekinchan di Selangor. Agak mengkagumkan apabila kawasan tersebut telah dilengkapi lebuh raya lebar (WPE) serta jambatan yang baru dibina merentasi Sungai Perak yang luas.


 
Destinasi ini adalah tempat wajib yang menjadikan ekspedisi bermotorsikal ini bertajuk "Ride Mencari Rahsia Disebalik Rahsia" kerana disinilah bermulanya orang-orang melayu dahulu hilang sabarnya dengan sikap penjajah yang berlagak tuan di bumi orang. Setibanya kami disini, disambut dengan ramah oleh saudara Yeop panggilan mesra bagi orang Perak yang berniaga pecal, laksa dan bihun sup digerai berhampiran Kompleks Sejarah Pasir Salak ini. Beliau yang merupakan anak jati disitu dengan bangga menceritakan sejarah bagaimana dan mengapa peristiwa itu terjadi. Seusai sampai di situ sebilangan kami terus ke rumah kayu lama yang berhampiran bagi melihat seni pertukangan orang melayu yang halus dan amat membanggakan.Kami juga berasa terharu kerana dilayan dengan begitu mesra seolah telah lama mengenali beliau dan akhirnya kami dapat simpulkan yang beliau bukanlah orang sebarangan. Inilah tinta takdir tuhan sekali lagi menemukan kami menjadikan persaudaraan melayu itu amat rapat walaupun datang dari pelbagai keturunannya.

Suasana pada ketika itu agak lengang dengan kesan air bah (banjir) masih kelihatan dan beberapa rumah replika masih belum siap diperbaiki di tapak asal sekitar kawasan kubu Dato' Maharaja Lela tersebut. Setelah hampir dua jam, kami mula bergerak memasuki kompleks bersejarah tersebut dengan perasaan kagum bercampur baur dengan bangga akan warisan sejarah yang menjadi salah satu titik kebangkitan orang melayu melawan penjajah yang menjarah segenap inci bumi bertuah ini.Di sini kami telah menghabiskan masa melewati tempoh yang dirancang selama dua jam lagi memasuki kompleks yang gah dibina oleh kerajaan dengan paparan terowong diorama yang mengasyikkan serta galeri beratus keris lama yang cukup mengujakan. Malangnya kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar koleksi dan persembahan tersebut. Suasana angin sepoi bahasa di tebing Sungai Perak menambahkan lagi kesayuan apabila difikirkan kembali babak-babak sejarah yang berlaku disitu.

Kami telah meletakkan motorsikal bersebelahan dengan kawasan perkuburan yang agak lama dan disitulah bersemadinya jasad pahlawan-pahlawan melayu yang berani suatu ketika dahulu. Berehat sejenak dengan menyapa peniaga kecil di gerai berhampiran bagi menghilangkan dahaga akibat terik panahan matahari yang lazimnya menjadi iklim di bumi bertuah ini. Kami terus bergerak seterusnya keluar dari trek laluan jalan persekutuan dan negeri dengan memasuki Lebuhraya Utara Selatan melalui Sungkai dan berhenti pula di kawasan rehat dan rawat Ulu Bernam yang sememangnya sesak dengan kenderaan dan orang ramai yang akan pulang ke ibu kota atau ke selatan tanah air. Disinilah rahsia tercipta dan terungkai rahsia disebalik rasa yang sukar untuk diterjemahkan namun hanya kami yang faham memasang kembali niat untuk bermalam di kawasan ini lagi suatu hari nanti di sebuah masjid lama di situ.




Setelah melebihi 1000 km kami meredahi jalan berliku, selekoh yang tajam serta bukit bukau yang curam dan menjunam maka di lebuhraya yang lurus dan lebar ini masing-masing mula menguji jentera masing-masing tambahan pula cuaca panas membahang melayukan mata dan menghayalkan fikiran dapat dielakkan dengan fokus kepada menunggang dengan kelajuan. Kami keluar dari lebuhraya berkenaan melalui Tanjung Malim dan singgah untuk melepaskan lelah di Medan Selera Pekan Batang Kali. Di sini kami bertemu kembali dengan sepasang bikers yang setia menunggu kami di Taman Tasik Taiping tempohari. Mereka berdua adalah 'bikers kental' yang giat menunggang kemana sahaja pada setiap hujung minggu atau acap kali diundang oleh rakan-rakan yang menganjurkan kerana isterinya juga boleh menunggang sendirian motorsikal berkuasa besar.

Kami menunaikan tanggungjawab sebagai seorang hamba yang kenal dan sentiasa ingat akan Sang Maha Pencipta di Masjid Jamek Sungai Masin dan sentiasa kebetulannya apabila singgah di setiap masjid azan asar akan berkumandang. Suratan atau kebetulan hanya Dia Yang Maha Tahu kerana waktu asar adalah sebaik-baik waktu solat di siang hari sehingga ada banyak hadis mengenainya. Usai bersolat saya meminta diri dahulu untuk berpisah dengan rakan-rakan lain kerana jarak perjalanan ke rumah kediaman di Batu Caves hanyalah sejauh 26 km sahaja lagi. Semua mereka juga terus bergerak melalui jalan Batang Kali - Genting Sempah dan seterusnya ke destinasi kediaman masing-masing di Temerloh, Jengka dan juga Jerantut.


 

Perjalanan yang indah telah ditempuh melengkapkan kisah perjalanan hidup yang telah dan akan dinikmati lagi selagi masih bernyawa dan diberi rezeki di dunia fana ini. Semua yang buruk itu adalah pilihan kita sendiri dan yang baik semuanya dari tinta takdir Allah swt yang telah disediakan dalam kotak serta ruang kehidupan yang masih tersisa. Wallahua'lam Bishawab.

Monday, February 14, 2022

RIDE MENCARI RAHSIA DISEBALIK RAHSIA (HARI KEDUA)

 PERJALANAN HARI KEDUA, 29 JANUARI 2022/26 JAMADIL AKHIR 1443H

Pada waktu sebelum subuh, keadaan di rumah penginapan telah hingar-bingar kerana masing-masing tidur lena dan puas akibat kepenatan menunggang motorsikal seharian. Semua rakan-rakan bersemangat untuk membuat perjalanan di hari kedua dengan persiapan awal dan bersarapan lebihan menu semalam yang sungguh enak nasi putih dengan ikan kering, ayam goreng berempah, gulai daging batang pisang serta kerabu pucuk paku yang menyelerakan.

Seawal jam 7.30 pagi semua telah bersedia bagi meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya yang dirancang iaitu ke sempadan Betong, Pengkalan Hulu dengan melalui laluan lengang serta berkabus tebal yang membasahi pelindung muka topi keledar masing-masing. Keadaan jalan yang lengang dan cuaca yang agak sejuk melalui kawasan Felda Nenering yang bersempadan dengan Negara Thailand. Pemandangan yang menakjubkan apabila jelas kelihatan Gunung Kenderong dan Gunung Kerunai atau lebih dikenali puncak kembar banjaran titiwangsa yang tesergam indah memukau pandangan. Ada rakan penunggang yang tidak pernah melintasi sempadan ini dan kali terakhir aku sampai disini pada tahun 2018 apabila mengikut ekspedisi mendaki bukit silipat di Yala untuk melihat panorama awan karpet.

Apabila tiba di Kompleks Imigresen Pengkalan Hulu, suasana sunyi sepi dengan kesan runtuhan dan banjir kepala air serta ditambah pula dengan pintu sempadan yang masih ditutup. Ini menyebabkan impian semua ingin bergambar di tulisan 'Kingdom of Thailand' berhampiran pintu kawalan sempadan tidak dapat di realisasi. Kami berhenti hampir 40 minit di situ sebelum singgah bersarapan di Kedai Makan Ayer Panas serta bertegur sapa dengan penduduk setempat dan telah menghabiskan masa selama hampir sejam disitu.


Perjalanan disambung dengan destinasi seterusnya adalah Taman Tasik Taiping namun perjalanan kali ini lebih mencabar kerana menggunakan laluan yang merentasi kampung terpencil dan tidak melintasi kawasan bandar. Bermula dari lokasi sarapan tadi dengan menelusuri jalan Baling-Kulim tanpa melalui kawasan bandar dan melintasi Pekan Selama seterusnya sampai di Taiping melalui jalan lama Kemunting. Dugaan pertama terjadi kepada sebuah jentera KTM TRK501 apabila absorber belakangnya mengalami kebocoran dan menganggu pemanduan dan kami terpaksa berhenti beberapa kali bagi melihat kesan dan keadaan yang dialami oleh penunggang tersebut. Sehinggalah tiba di Pekan Kemunting mencari bengkel yang boleh membaiki kerosakan tersebut kerana alat gantinya memang tiada memandangkan model motorsikal tersebut masih baharu di pasaran.


Di sini kami telah ditunggu oleh sepasang suami isteri dari Kuantan, Pahang yang merupakan rakan-rakan bikers (brotherhood) seterusnya menikmati pemandangan di kawasan tasik. Apabila semuanya sudah berasa agak lapar dan terus singgah ke kedai juga kenalan bikers lain di Jalan Changkat Jering. Semuanya berasa hilang penat seketika apabila menjamu juadah masakan dari tuan punya Kedai Makan Cik Ani tersebut dengan layanan yang tidak mengecewakan.


Kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya dan terakhir untuk hari ini (last point) ke Telok Batik Lumut dengan melalui jalan persekutuan dan jalan negeri dari Changkat Jering, Terong, Parit, Manjung, Lumut dan akhirnya sampai di Hotel Virgo di situ. Perjalanan agak lancar namun trafik (kenderaan) lain sudah mulai banyak kerana cuti hujung minggu bersambung dengan perayaan tahun baru cina ditambaha lagi dengan beberapa sekatan jalan raya yang perlu kami tempuhi. Kami berhenti sebentar pada hampir waktu asar bagi menunaikan kewajipan sebagai hamba yang tidak pernah lupa kepada sang Maha Pencipta di Masjid Al-Mahmudiah, Trong.
 
Kami semua bergerak secara hampir dalam barisan yang rapat kecuali di beberapa selekoh yang menjarakkan semua penunggang kerana masing-masing dengan kelajuan yang berbeza. Pengalaman yang dapat apabila mengikuti konvoi ini ialah kita mampu atau tidak mengawal perasaan sendiri kerana apabila dalam satu pasukan ada ketua yang perlu kita turuti dengan mengambil kira penunggang lain serta orang awam sebagai pengguna jalan raya yang lain. Melalui satu kawasan sawah padi yang luas dan terbentang indah adalah panorama indah dengan rasa kerdilnya diri sebagai hamba walaupun hati kita berasa ego dan membangga diri.
 
Seperti perjalanan hari pertama semalam, kami tiba dan daftar masuk (check-in) pada waktu hampir senja walaupun agak kecewa dengan hospitaliti di hotel tersebut namun semua pihak akan memberi alasan yang sama iaitu pandemik. Pada sebelah malamnya sebahagian dari kami keluar mencari alas perut di kedai makan berdekatan dan suasana pekan teluk batik yang berhampiran markas angkatan laut (navy) agak sesak dengan pelancong tempatan.

Semua kisah perjalanan yang dilalui tanpa kita sedari adalah ujian bagi kita dalam menahan kesabaran iaitu api kemarahan yang bernyala di dalam dada.
 

Bersambung...

Friday, February 11, 2022

RIDE MENCARI RAHSIA DISEBALIK RAHSIA (HARI PERTAMA)

 Setelah beberapa tahun dikekang dan disekat perjalanan bagi yang mempunyai hobi mengembara sama ada bermotorsikal atau berkenderaan lainnya kecuali sememangnya atas faktor tugasan. Apabila merentas negeri dibenarkan setelah ancaman Covid19 ini agak reda dan tidak terlalu diperketatkan aktiviti sosial rakyat jelata bermulalah kembali panas semua yang mempunyai hobi sedemikian rupa.

Setiap hujung minggu jika punya kesempatan masa akan dihabiskan bercuti bagi menziarah rumah peninggalan kedua-dua arwah orang tua serta tanah sekangkang kera yang tidak berjaga dan diselenggara dengan baik kerana semuanya agak sibuk atas kekangan masa. Cinta dan sayang agak kuat untuk diri ini berusaha untuk balik ke kediaman yang mana telah dibesarkan sejak bayi (lahir pun disini) sehingga dah mampu berdikari dan berkelana menjadi perantau di ibu kota Kuala Lumpur.

Kisahnya bermula apabila beberapa kenalan mengajak untuk bersama-sama meredah jalanan mencari pengalaman atas keluasan bumi tuhan. Ada seorang abang yang dari dahulunya kami berjiran dalam satu bukit dikenali desa seri keembong (jalan keembong) yang agak berusia dan dihormati (otai motorsport) digelar Tok Wan juga abang ipar kepada seorang teman rapat dahulu kala. Keseganan dan kesusilaan yang terpasak dibenak menjadi sukar untuk menolak pelawaan dia dan mereka untuk menyertai kumpulan bermotorsikal buat kali pertama kerana sebelum ini hanya lebih selesa menunggang secara solo atau berdua sahaja.

Kelapangan masa adalah penting kerana apabila berkeluarga kita mempunyai masa yang terbatas akibat dari berkongsi dengan ahli-ahli keluarga yang lain tambahan pula sang isteri akan bekerja pada setiap sabtu sekali sebulan mengikut giliran. Kata putus kepada kawan-kawan perlu diberi pada hujung waktu perjalanan tersebut dan akhirnya waktu lapang itu diizinkan tuhan walaupun anak-anak putera dan puteri akan membuat kecaman kerana akan 'kehilangan' ayah mereka selama tiga hari dua malam.

Seperti yang dirancang, kami dijadualkan akan bertolak pada pukul 9 pagi Jumaat 28 Januari 2022 mengikut tentatif program oleh ketua penganjur. Peserta yang paling jauh dalam 10 buah motorsikal yang akan menyertai ride ini adalah aku yang bermastautin di Batu Caves, selangor. Bagi melancarkan perjalanan, aku perlu bertolak pada malam khamis 27 januari 2022 dan singgah tidur di rumah peninggalan orang tua di kampung berdekatan dengan lokasi bergerak (tayar golek) pada keesokannya.

HARI PERTAMA, JUMAAT 28 JANUARI 2022/25 JAMADILAKHIR 1443H

Berkumpul di stesyen minyak Caltex, Jerantut Feri dan daripada 10 peserta yang akan menyertai hanya tinggal 7 buah yang dapat meneruskan perjalanan atas sebab beberapa alasan yang tidak dapat dielakkan. Perjalanan bermula pada kondisi jalan yang agak mencabar dengan selekoh berbahaya dan cerun yang agak tinggi sehingga melintasi Bandar Kuala Lipis dan berhenti sejenak (10 hingga 20 minit) di stesyen minyak Petronas. Pada ketika ini barulah saling mengenal rakan-rakan penunggang yang lain yang baru pertama kali berjumpa dan baru juga pertama kali bersua setelah berpuluh tahun tidak berkongsi ruang masa. Kami semua diberi taklimat oleh seorang brader (Naza) yang sememangnya berpengalaman berkonvoi dengan motorsikal kuasa besar sehingga ke Cambodia (Kemboja).


Perjalanan (trip) pertama amat penting kerana dalam jarak hampir 70km kita dapat mengesan sesuatu yang tidak kena pada bahagian mekanikal motorsikal serta keadaan badan kita sebelum meneruskan perjalanan. Saya menyertai ride tersebut dengan menunggang sebuah motorsikal Yamaha MT15 berkuasa pada kadar 155cc, berbanding raka-rakan lain yang menunggang pelbagai jenis jenama seperti KTM V-Storm, TRK501, TRK502, Honda CB-500, Yamaha MT25 serta Honda RS150. Selepas berehat seketika di Kuala Lipis, kami meneruskan perjalanan ke Gua Musang dengan melalui jalan pintas yang pada mulanya ditutup untuk kenderaan pada awal simpang masuk pertama namun dibuka pada laluan masuk berikutnya. Perjalanan agak begitu lancar kerana jumlah trafik yang hampir lengang dan berjaya tiba di stesyen minyak Petron Gua Musang dalam masa hanya 40-70 minit.


Semasa taklimat ringkas sebelum bergerak pada awal pagi tersebut kami telah bersetuju untuk membuat perjalanan dengan kelajuan minima 90-100km/j mengikut kesesuaian dan akan berhenti setiap 100km mengikut juga kesesuaian tempat untuk berhenti. Ketika berada di Gua Musang ini cabaran pertama kami telah disapa oleh sebuah peronda polis dengan kekuatan dua anggota yang secara biasa melihat satu persatu keadaan motorsikal kami sebelum datang berbual panjang dan berkongsi pengalaman. Kedua-dua anggota trafik tersebut menjalankan tugas dengan baik dan melayani kami kerana kebetulan mempunyai hobi yang sama juga iaitu menunggang motorsikal ke serata negeri.

Selepas berhenti makan tengahari di gerai berhampiran, kami memulakan perjalanan seterusnya ke Bandar Jeli melalui jalan yang tidak pernah dilalui iaiatu ke arah Dabong dengan laluan berliku serta mendaki untuk sampai ke destinasi. Panorama yang agak menarik apabila dapat melihat sungai-sungai yang jernih serta air terjun paling tinggi di Gunung Stong.


Selekoh yang agak tajam serta keadaan jalan yang masih lagi mempunyai sisa kotoran akibat musim tengkujuh menjadikan cabaran menunggang agak berisiko dengan cuaca yang agak terik dibakar oleh cahaya matahari. Laluan ketiga ini menjadi semakin mencabar apabila jauhnya melepasi jarak 100km dengan melalui jalan kawasan perkampungan dan kebanyakan penduduk mula bersiap sedia untuk ke masjid bagi mengerjakan solat jumaat. Kami berjaya sampai dan singgah sebentar di stesyen minyak Caltex Bukit Balah, Jeli dan kebetulan berjumpa dengan orang kampung yang kebetulan baru tiba semalaman dari Jerantut juga. Kami berehat agak lama sekitar 1-2 jam di Masjid Bandar Jeli bagi menyejukkan badan serta pegisian rohani yang wajib ditunaikan.

Perjalanan seterusnya bersambung dengan menghala ke Gerik tetapi akan berhenti rehat di Kawasan Rehat Titiwangsa dengan keadaan jalan yang hampir 80% adalah pendakian serta selekoh tajam dan kami agak bertuah kerana kenderaan lain tidak begitu banyak tambahan pula hari cuti hujung minggu bagi Negeri Kelantan. Hilang rasa keletihan apabila suasana perjalanan yang agak lancar dan semua penunggang dapat mengikuti satu sama lain tanpa ada yang ketinggalan. Suasana di kawasan rehat yang mempunyai udara yang nyaman walaupun panas namun suhu tanah tinggi memang tidak mengecewakan. Kami menghabiskan masa hampir sejam disini menikmati panorama puncak bukit di banjaran titiwangsa yang terkenal di laluan ini.


Seterusnya kami mula menunggang dengan keadaan jalan yang menuruni bukit dengan kelajuan yang lebih perlahan dan berhenti di kawasan jeti tasik Empangan Temenggor, Royal Belum Perak. Keadaan jalanraya agak mengecewakan mungkin disebakan kerosakan teruk akibat musim tengkujuh dengan keadaan tebing bukit yang runtuh dan menutup satu laluan di satu kawasan namun telah dijaga oleh pengawal lalu lintas. Walaupun panas terik namun suasana di hutan simpan serta tanah tinggi ini memberikan perasaan menunggang lebih selesa dengan pemandangan yang agak mengasyikkan.




Hari semakin petang, akhirnya kami tiba di destinasi menginap pertama sebuah Homestay di Taman Angsana, Gerik, Perak setelah menempuh perjalanan hampir sejauh 400km tanpa dugaan yang besar dan semua penunggang berasa puashati dan bersyukur atas keselamatan yang telah diberikan oleh Sang Pencipta. Keadaan rumah penginapan yang selesa serta menu makan malam yang cukup mengujakan memberikan semuanya tidur lena yang dapat menghilangkan lelah setelah hampir 9 jam tempoh perjalanan termasuk berhenti rehat.


Bersambung...