Setelah beberapa tahun dikekang dan disekat perjalanan bagi yang mempunyai hobi mengembara sama ada bermotorsikal atau berkenderaan lainnya kecuali sememangnya atas faktor tugasan. Apabila merentas negeri dibenarkan setelah ancaman Covid19 ini agak reda dan tidak terlalu diperketatkan aktiviti sosial rakyat jelata bermulalah kembali panas semua yang mempunyai hobi sedemikian rupa.
Setiap hujung minggu jika punya kesempatan masa akan dihabiskan bercuti bagi menziarah rumah peninggalan kedua-dua arwah orang tua serta tanah sekangkang kera yang tidak berjaga dan diselenggara dengan baik kerana semuanya agak sibuk atas kekangan masa. Cinta dan sayang agak kuat untuk diri ini berusaha untuk balik ke kediaman yang mana telah dibesarkan sejak bayi (lahir pun disini) sehingga dah mampu berdikari dan berkelana menjadi perantau di ibu kota Kuala Lumpur.
Kisahnya bermula apabila beberapa kenalan mengajak untuk bersama-sama meredah jalanan mencari pengalaman atas keluasan bumi tuhan. Ada seorang abang yang dari dahulunya kami berjiran dalam satu bukit dikenali desa seri keembong (jalan keembong) yang agak berusia dan dihormati (otai motorsport) digelar Tok Wan juga abang ipar kepada seorang teman rapat dahulu kala. Keseganan dan kesusilaan yang terpasak dibenak menjadi sukar untuk menolak pelawaan dia dan mereka untuk menyertai kumpulan bermotorsikal buat kali pertama kerana sebelum ini hanya lebih selesa menunggang secara solo atau berdua sahaja.
Kelapangan masa adalah penting kerana apabila berkeluarga kita mempunyai masa yang terbatas akibat dari berkongsi dengan ahli-ahli keluarga yang lain tambahan pula sang isteri akan bekerja pada setiap sabtu sekali sebulan mengikut giliran. Kata putus kepada kawan-kawan perlu diberi pada hujung waktu perjalanan tersebut dan akhirnya waktu lapang itu diizinkan tuhan walaupun anak-anak putera dan puteri akan membuat kecaman kerana akan 'kehilangan' ayah mereka selama tiga hari dua malam.
Seperti yang dirancang, kami dijadualkan akan bertolak pada pukul 9 pagi Jumaat 28 Januari 2022 mengikut tentatif program oleh ketua penganjur. Peserta yang paling jauh dalam 10 buah motorsikal yang akan menyertai ride ini adalah aku yang bermastautin di Batu Caves, selangor. Bagi melancarkan perjalanan, aku perlu bertolak pada malam khamis 27 januari 2022 dan singgah tidur di rumah peninggalan orang tua di kampung berdekatan dengan lokasi bergerak (tayar golek) pada keesokannya.
HARI PERTAMA, JUMAAT 28 JANUARI 2022/25 JAMADILAKHIR 1443H
Berkumpul di stesyen minyak Caltex, Jerantut Feri dan daripada 10 peserta yang akan menyertai hanya tinggal 7 buah yang dapat meneruskan perjalanan atas sebab beberapa alasan yang tidak dapat dielakkan. Perjalanan bermula pada kondisi jalan yang agak mencabar dengan selekoh berbahaya dan cerun yang agak tinggi sehingga melintasi Bandar Kuala Lipis dan berhenti sejenak (10 hingga 20 minit) di stesyen minyak Petronas. Pada ketika ini barulah saling mengenal rakan-rakan penunggang yang lain yang baru pertama kali berjumpa dan baru juga pertama kali bersua setelah berpuluh tahun tidak berkongsi ruang masa. Kami semua diberi taklimat oleh seorang brader (Naza) yang sememangnya berpengalaman berkonvoi dengan motorsikal kuasa besar sehingga ke Cambodia (Kemboja).
Perjalanan (trip) pertama amat penting kerana dalam jarak hampir 70km kita dapat mengesan sesuatu yang tidak kena pada bahagian mekanikal motorsikal serta keadaan badan kita sebelum meneruskan perjalanan. Saya menyertai ride tersebut dengan menunggang sebuah motorsikal Yamaha MT15 berkuasa pada kadar 155cc, berbanding raka-rakan lain yang menunggang pelbagai jenis jenama seperti KTM V-Storm, TRK501, TRK502, Honda CB-500, Yamaha MT25 serta Honda RS150. Selepas berehat seketika di Kuala Lipis, kami meneruskan perjalanan ke Gua Musang dengan melalui jalan pintas yang pada mulanya ditutup untuk kenderaan pada awal simpang masuk pertama namun dibuka pada laluan masuk berikutnya. Perjalanan agak begitu lancar kerana jumlah trafik yang hampir lengang dan berjaya tiba di stesyen minyak Petron Gua Musang dalam masa hanya 40-70 minit.
Semasa taklimat ringkas sebelum bergerak pada awal pagi tersebut kami telah bersetuju untuk membuat perjalanan dengan kelajuan minima 90-100km/j mengikut kesesuaian dan akan berhenti setiap 100km mengikut juga kesesuaian tempat untuk berhenti. Ketika berada di Gua Musang ini cabaran pertama kami telah disapa oleh sebuah peronda polis dengan kekuatan dua anggota yang secara biasa melihat satu persatu keadaan motorsikal kami sebelum datang berbual panjang dan berkongsi pengalaman. Kedua-dua anggota trafik tersebut menjalankan tugas dengan baik dan melayani kami kerana kebetulan mempunyai hobi yang sama juga iaitu menunggang motorsikal ke serata negeri.
Selepas berhenti makan tengahari di gerai berhampiran, kami memulakan perjalanan seterusnya ke Bandar Jeli melalui jalan yang tidak pernah dilalui iaiatu ke arah Dabong dengan laluan berliku serta mendaki untuk sampai ke destinasi. Panorama yang agak menarik apabila dapat melihat sungai-sungai yang jernih serta air terjun paling tinggi di Gunung Stong.
No comments:
Post a Comment