Saturday, March 28, 2020

CABARAN 2020

TAHUN 2020 - Dunia ditimpa bencana dan malapetaka besar lebih teruk dari peperangan dunia kerana kini diancam wabak biologi secara sengaja atau tanpa disengajakan.

Malaysia sebuah negara yang jarang ditimpa bencana dan penduduknya juga jarang terdedah dengan pelbagai risiko atau mengambil endah atau sambil lewa tentang apa jua risiko.

Bagaimana cara fikir pemimpinnya begitulah hakikat keadaan sosio-ekonomi dan sosio-budaya masyarakatnya yang mudah gelabah dan suka mengambil jalan mudah apabila ditimpa masalah.

Masyarakat negara ini selalu suka berpolemik walau dalam apa jua tajuk, bidang atau tragedi kerana mereka suka menggembar-gemburkan masalah daripada menyelesaikan masalah kerana terlalu ingin menghukum mereka yang menjadi punca masalah.

Demokrasi yang terlalu 'lemak', 'manis' dan 'berkrim' yang dinikmati dan disukai ramai menyebabkan polemik politik menjadi seperti dunia kartun yang kadangkalanya melampau, buas dan 'tidak normal' menyebabkan masa, tenaga dan idea menjadi sia-sia namun menjadi hidangan segenap lapisan yang menjamunya.

Masalah yang kita hadapi kini memerlukan 'perubahan total' dalam semua peringkat lapisan masyarakat bermula daripada atas sehingga ke bawah kerana inilah tamparan hebat buat kita semua.

Negara ini bukanlah terlalu mundur dan terlalu miskin seperti negara-negara dunia ketiga yang lain namun kemunduran dan kekayaan itu bukan lagi dinilai dengan wang ringgit tetapi pada nilai intelektual, moral dan kemanusiaan yang tinggi.

Pola pemikiran perlu diubah daripada takuk lama kepada mentaliti kelas baharu bukan lagi seperti pasca selepas merdeka atau pasca milenia lagi daripada rakyat sehinggalah mereka yang tertinggi.

Penyakit utama adalah budaya malas membaca yang menjadikan semuanya minda ikutan, caca-merba dan semberono yang mudah percaya tukang karut, mulut penghasut atau omongan tali barut daripada memikirkan sendiri menggunakan akal yang sihat dan subur dengan ilmu.

Hubungan sesama manusia masih lagi dibatasi oleh semangat perkauman dan keturunan yang masih menebal bukan dengan semangat nasionalisma sebagai sebuah negara bangsa bukan negara kaum-kaum menyebabkan jiwa merdeka sebagai warganegara berdaulat yang bersekutu menambah mutu itu hanya menjadi slogan yang belum melahirkan sebuah negara bangsa yang tulen.

Sebagai negara pengguna, berdagang dan bergantung dengan sumber mentah semata-mata jalan untuk menjadi kuat, mewah dan gagah di rantau ini seperti angan-angan dan mimpi disiang hari jika masih tidak mengamalkan dasar ekonomi 'sara-diri' atau mampu bangun jika terjatuh atau diacah oleh pihak luar oleh kerana asas dalaman yang kukuh serta tidak terlalu bergantung dengan pihak luar atau pihak ketiga.

Apabila dilanda sesuatu bencana kerajaan dan rakyat sama peka boleh bersedia dalam keadaan waspada dapat menangkis apa jua dengan idea dan semangat yang kuat bukan menjadi caca-merba mementingkan perkara-perkara yang remeh serta boleh menjadi punca keadaan menjadi semakin sukar.

Sukar untuk negara ini ingin mencapai status kelompok negara maju jika sikap dan mentaliti rakyat masih ditakuk lama walaupun semakin hari peratusnya meningkat dalam mencapai piawai minda kelas pertama tetapi disebabkan segelintir masih menjadi punca bencana ditambah pula dengan kebanjiran warga bukan negara yang tidak bersama-sama mengikut arus yang sama menjadikan segalanya sia-sia.

Pemimpin kini perlukan iltizam yang lebih jitu bagi membawa negara ini dalam mengenderai hala tuju baharu mengubah dalam memerintah tanpa dijangkiti dengan barah-barah yang merosakkan serta membantutkan perjalanan menjadi sebuah negara yang maju disegani sebagaimana harimau yang gagah mengaum di persada dunia.

Saturday, March 21, 2020

KEDEGILAN YANG MEMBAWA BENCANA SELURUH DUNIA DAN SATU NEGARA

Awal Tahun 2020 ini dunia dikejutkan dengan Virus Corona (Covid19) yang dikatakan bermula dari daerah Wuhan, Republik Rakyat China. Ia dikatakan akibat kedegilan oleh manusia atau kecelakaan oleh tangan-tangan manusia yang memanipulasinya. Sikap memakan makanan dari sumber haiwan liar yang dijangkiti ditambah pula dengan memakan daging mentah tanpa dimasak menjadikan virus ini berupaya masuk ke badan manusia serta menyesuaikannya serta menular dari satu perumah ke perumah yang lain. Ianya dkatakan adalah sejenis virus yang dikembang biakkan dan dipertingkatkan sebagai senjata biologi terbaru. Ianya telah menjadi pendemik dan menular dengan cepat diseluruh dunia mengabitkan aktiviti sosio-ekonomi menjadi lumpuh.

Ianya menjadi kecelakaan terbesar apabila mula merebak dengan cepat dan mampu menyerang sistem penafasan manusia sehingga membawa maut. Ia bermula dengan kelemahan manusia yang degil dan bersikap sewenangnya dari aspek kebersihan. Perangai manusia yang tidak mahu dikongkong dan bergaul diluar batasan menambahkan lagi kecepatannya merebak. Bermula daripada penyajian makanan, sentuhan serta kelalaian apabila telah dijangkiti tetap berdegil keluar berpeleseran. Perangai manusia yang tidak sensitif ini adalah faktor penyumbang kepada virus ini yang merentas benua sehingga menjangkiti sebahagian besar negara-negara diseluruh dunia. Virus ini hanya mampu bertahan diantara 4-14 hari jika tidak berpindah kepada perumah (badan) manusia lain. Jika setiap individu terutamanya yang mempunyai simptom seperti dijangkitinya ataupun  berupaya mengawal dari ianya terus tersebar membolehkan penularannya terhenti.

Naluri manusia itu memang degil dan bersikap terburu-buru namun ianya pasti dapat dikawal dengan mengikat nafsu dengan akal yang sihat. Orang jahat sememangnya tercipta bagi menjadi isi neraka angkara kejahatan dan kebobrokan angkara tangan mereka menyusahkan manusia. Kecuaian manusia yang keras kepala tidak berwaspada menjadi punca ianya merebak dan menular tanpa mengenal siapa. Sikap sambil lewa manusia yang tidak memikirkan akibatnya memberi masalah kepada sesiapa jua sama ada ahli keluarga dan masyarakat sekitarnya. Masalah ini tidak akan terhenti disebabkan oleh sikap manusia-manusia yang tidak mempunyai integriti dan kawalan diri yang tinggi. Ia akan mengundang tindakan yang lebih keras oleh pihak berkuasa kerana ia akan menyebabkan negara akan rugi serta penularannya semakin bertambah bilangan hari dan jumlah kematian akibat dijangkitinya.

Pengajarannya jika taat akan perintah Tuhan dan Rasulnya maka kebersihan menjadi amalan utama. Menjauhi penyakit serta kawasan yang dijangkiti atau jika dijangkiti perlu mengasingkan diri adalah sabda nabi saw sendiri. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum jika mereka tidak mengubahnya. Kezaliman datangnya dari tangan manusia itu sendiri kerana mereka adalah kaum yang tidak berfikir dan memahami perintah Tuhan sebaik-baiknya. Setiap kejadian tuhan di dunia ini semuanya mempunyai hikmah dan pengajaran yang amat berguna bagi mereka golongan yang mahu berfikir. 

27 Rejab 1441 / 22 Mac 2020.

Wednesday, March 4, 2020

DEMOKRASIA MALAYSIA

Kurang tiga bulan Kerajaan Pakatan Harapan berusia dua tahun yang berjaya menumbangkan regim Barisan Nasional yang memerintah selama lebih 60 tahun itu tumbang. Ini berikutan perselisihan faham diantara beberapa pimpinan parti gabungan yang menyebabkan sebuah parti serpihan daripada Barisan Nasional keluar dari ganbungan berkenaan.

Berbagai andaian dibuat oleh ramai penganalisis tetapi umum mengetahui ia adalah berpunca dari sikap para penyokong kedua-dua parti tersebut saling menekan tentang jawatan Perdana Menteri. Kedua-dua belah pihak saling berkonfrantasi walaupun masing-masing berada didalam satu gabungan yang sama. Ia diburukkan lagi oleh beberapa orang ahli sebuah parti lagi yang tidak puashati dengan pucuk pimpinan mereka keluar parti. Peristiwa ini menyebabkan Perdana Menteri dua kali, Tun Mahathir meletakkan jawatannya kerana mempercayai bahawa beliau telah tidak menguasai majoriti ahli parlimen.

Jika dilihat rentetan episod yang berlaku selama hampir lapan hari ini dapat disimpulkan ianya bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba tetapi ia adalah rancangan yang teratur. Bermula pada hari pertama dapat kita lihat para politikus resah, gelisah dan goyah tentang apa yang berlaku dan masih terpinga-pinga jika mereka bukan dari kumpulan perancang utama. Melihat kepada keadaan ini, seramai 222 ahli parlimen termasuk yang berjawatan Perdana Menteri dan barisan kabinetnya tergamam dan menunggu apa yang berlaku sahaja. Ini kerana pada hari pertama itu ada banyak tempat persidangan yang dijalankan oleh pelbagai kumpulan yang berlangsung sehingga larut malam.

Apabila Perdana Menteri meletak jawatan maka hancur luluh juga para barisan kabinetnya malah kerajaan yang dibentuk kerana mereka sudah tidak lagi memegang majoriti. Sistem demokrasi di Malaysia yang dibentukoleh perlembagaan meletakkan YDPA sebagai kuasa tertinggi sebagaimana kuasa-kuasa presiden di beberapa negara republik walaupun ada perbezaan tetapi tidaklah begitu ketara. Baginda mempunyai kuasa melantik seorang perdana menteri dan membubarkan parlimen jika sesebuah kerajaan tidak dapat dibentuk. Apabila bekas perdana menteri yang meletak jawatan pergi menghadap YDPA maka bagindapun bersetuju namun beliau telah dilantik sebagai perdana menteri sementara atau lebih dikenali sebagai Perdana Menteri Interim.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda YDPA selaku Ketua Negara telah memainkan peranannya dengan memanggil kesemua ahli-ahli parlimen bagi menyatakan sokongan siapa yang akan dilantik menjadi perdana menteri. Proses ini berjalan selama dua hari dan sejak hari kedua sehingga hari kelapan para wartawan media massa telah berkampung di luar pagar istana negara. Apabila kesemuanya telah mengadap kebawah duli Tuanku, hasil daripada 'pungutan suara' ini masih tidak membantu oleh kerana kedua-dua nama yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri tidak dapat mendapat mandat yang mencukupi iaitu sebanyak 112 kerusi (lebih dari separuh) yang diperlukan.

Episod seterusnya pada kemelut ini ialah sekali lagi YDPA telah memanggil sekali lagi ketua-ketua parti politik datang mengadap bagi menyatakan sekali lagi sokongan kepada sesiapa yang mereka suka untuk bergelar sebagai seorang perdana menteri. Bagi mendapatkan sokongan majoriti ahli dewan, mereka yang mempunyai perancangan perlu meraih dan melobi sebanyak mana sokongan bagi membentuk kerajaan. Dalam situasi ini maka bermulah episod 'berjual-beli' dikalangan para ahli politik yang mempunyai satu kerusi parlimen. Semuanya masing-masing membilang angka setiap masa bagi mendapatkan jumlah yang mencukupi dengan surat akuan sumpah (SD) daripada setiap ahli-ahli parlimen.

Perancangan licik ini mesti dirangka dengan langkah a,b,c dan d atau sebanyak mana yang boleh kerana hala tuju yang ditetapkan dalam membentuk kerajaan baharu perlu atau wajib dicapai. Jika perancangan tersebut gagal maka peranan watak-watak utama itu akan lemah longlai dan karier politik mereka akan musnah. Ia bukan lagi seperti menarik rambut didalam tepung tetapi ia sebenarnya meniup gula-gula dalam tepung. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke paras lengan, jika tidak mahu kacau-bilau jagan semua asyik berangan. Setiap minit berita dipantau oleh para media kerana semasa ini fikiran rakyat tertumpu atau terpaku melihat permainan politik yang dilakonkan oleh wakil rakyat mereka.

PRU ke 14 baru-baru ini adalah manifestasi suara rakyat yang telah matang menyebabka pecahan undi itu ketara menyebabkan kedua-dua pihak tidak boleh berasa selesa. Ini kerana pecahan Kerusi Dewan Rakyat telah menyebabkan wujudnya blok-blok sokongan yang pada kiraannya tiada parti yang menjadi kuat. Kesemuanya atau sebilangannya perlu bergabung bagi mendapatkan kuasa membentuk kerajaan persekutuan. Peristiwa ini juga menyebabkan negeri-negeri turut terpalit akibat kerjaan sedia ada akan kehilangan kerusi majoriti dan ikut bertukar sebagaimana kerajaan persekutuan. Krisis kepercayaan ini telah menular menjadi satu fenomena baharu dalam dunia demokrasi negara apabila setiap ahli politik yang mempunyai kerusi dewan rakyat atau dewan undangan negeri akan beralih arah tanpa dijangka jika prinsip amanah dan bertanggungjawab itu menjadi perkara nombor dua.

Setelah episod ini berakhir dengan pelantikan seorang perdana menteri baharu yang merupakan antara dalang yang menjatuhkan kerajaan sebelumnya dengan alasan kedua-dua calon perdana menteri sebelum ini tidak mendapat kepercayaan (bilangan) sepatutnya. Kumpulan gerakan keluar dari gabungan lama ini bergabung dengan gabungan baharu dengan dikenali sebagai Perikatan Nasional yang berjaya menjadi kerajaan persekutuan yang baharu. Namun begitu, setelah lebih lima hari tertubuhnya kerajaan ini namun krisis demokrasi ini masih lagi seperti mahu berhenti. Ini kerana lambatnya proses melantik ahli kabinet baharu kerana jurang kesefahaman dan kekitaan dikalangan ketua-ketua atau panglima-panglima perang yang masih buntu mencari jalan muktamad. Ini diburukkan lagi dengan bilangan 114 yang agak tipis sahaja untuk berdiri sebagai sebuah kerajaan dan akan berdepan dengan usul tidak percaya kepada perdana menteri sedia ada apabila penggal baharu parlimen akan dibuka pada penghujung bulan puasa ini. Desas-desus juga telah menerbitkan irama bahawa satu pembubaran parlimen akan menjadi nyata kerana ada pihak-pihak yang berasa selesa untuk mendapat kemenangan yang berganda dalam proses pilihanraya. Inilah demokrasia (demokrasi Malaysia) yang mempunyai pelbagai ragam cerita serta berita diatas sengketa propaganda namun yang paling dibangga rakyat jelata seperti tiada apa-apa kerana permainan ini bukan milik mereka tetapi mereka yang mengejar kuasa.