Friday, August 20, 2021

DUNIA SEMAKIN TUA, MANUSIA SEMAKIN ALPA

 Dunia telah semakin uzur kerana cuaca semakin tidak menentu cuma musim yang empat masih sama mungkin kerana matahari masih berada di laluan asalnya. Angin yang berolak dar setiap penjuru bumi semakin bergelora dan bertiup bukan lagi seperti sediakala kerana monsunnya sudah tidak menepati musimnya.

Kehangatan atmosfera semakin mencairkan bongkah-bongkah ais di kutub utara dengan pupusnya beberapa glasier menaikkan paras laut tanpa manusia sedar. Ianya dikatakan pemanasan global oleh Kumpulan Greenpeace semakin buruk angkara tangan-tangan manusia yang mengejar kemajuan.

Manusia sememangnya makhluk yang pelupa kerana mereka membesar dan tidak pernah mengenang apa-apa dari kepupusan beberapa haiwan di kawasan persekitaran dimana mereka mendiaminya sekian lama. Begitu juga hawa sejuk di waktu pagi di kampung-kampung sudah tidak seperti dahulu tetapi mereka tidaklah berasa hairan kerana kurangnya kepedulian.

Sikap manusia yang sekian lama tidak pernah menghormati alam sekitar yang mempunyai rantaian ekosistem flora dan fauna kerana alpa akan betapa peri pentingnya ia kepada kehidupan manusia. Tangan-tangan yang merosakkan apa sahaja demi keuntungan dan habuan di depan mata menjadikan mereka buta untuk berfikir tentang penjagaan melalui peliharaan dan pemulihan alam semula jadi.

Kini bumi yang sudah uzur akan memberi reaksi yang akan sentiasa menjadi misteri dengan keadaan cuaca yang tidak lagi berseri namun akan memberi aksi yang ngeri mengundang bencana. Hujan lebat yang tidak menentu akan membanjiri dimana sahaja akibat pengewapan laut yang telah meningkat kadar isipadunya akibat pencairan ais di kutub utara. Bahang panas yang terjadi akibat kehilangan keseimbangan suhu udara mengakibatkan hutan hijau mudah terbakar memusnahkan apa sahaja.

Manusia telah lupa akan betapa alam semulajadi yang menemani kehidupan manusia sejak dahulukala perlu dijaga agar bencana yang tidak disangka datang menerpa. Benar tuhan adalah sebaik-baik penjaga dan Dia pengatur segalanya namun jalan takdir dan hukum suratannya itu semuanya bersebab dan segala yang terjadi dan dicipta itu bukan sia-sia. Manusia alpa untuk berfikir sejenak bagaimana bumi ini diciptakan untuk mereka mentadbir dan mengolah sebaik-baiknya bukan melakukan pembinasaan yang melampaui batas akibat pencemaran.

Dunia semakin tua akibat tindak-tanduk manusia yang semakin lupa dan jahil untuk menghormati makhluk lain ciptaan tuhan yang bersama-sama menyeimbangkan kesinambungan antara flora dan fauna yang akan mendatangkan bencana dan kehancuran yang membinasakan.