Wednesday, June 20, 2018

Demokrasi Tercipta Apabila Jatuh Di Puncak Kuasa

Setelah melewati dua bulan 'Parti Keramat Melayu' buat kali pertamanya tersungkur dari menggenggam kuasa di Putrajaya menjadi Kerajaan Persekutuan. Desas-desus cerita mengatakan ianya mungkin diharamkan sekali lagi juga kedengaran kerana tidak membuat pemilihan parti serta menyalahi perlembagaannya selain mengharapkan surat rasmi penangguhannya daripada ROS.

Sekian lama kita tidak kedengaran sorakan atau keriuhan 'pesta' pemilihannya kerana seringkali pucuk pimpinan diberi mandat kuasa tanpa pemilihan atau lantikan tanpa sebarang pertandingan. Apabila tewas dalam membentuk kerajaan bulan lalu melihatkan Presidennya yang juga bekas Perdana Menteri melepaskan jawatan kerana kekalahan tersebut maka kedengaranlah pemilihan baharu akan diadakan secepat mungkin dengan jawatan no. 1 dipertandingkan.

Maka setiap hari pada media dan pasukan publisiti menanti siapakan yang akan bertanding dan masuk gelanggang dalam menjadi nakhoda baru Parti Melayu yang merupakan parti yang terbanyak memenangi kerusi di Parlimen walaupun tidak memperolehi kelebihan majoriti keseluruhannya untuk membentuk kerajaan. Dari utara hingga ke selatan, dari timur hingga ke barat para ahli dan 'panglima' parti mula menggerakkan kempen dengan cara tersendiri dalam menjadi calon mengisi kesemua jawatan yang akan dipertandingkan.

Menariknya pada kali ini, jawatan utama (Presiden) akan ditandingi oleh tiga calon setakat ini iaitu Pemangku Presiden (Naib Presiden yang memangku Timbalan Presiden seterusnya memangku jawatan Presiden), Bekas Timbalan Perdana Menteri juga seorang ahli veterannya yang pernah keluar dan menubuhkan sebuah parti baharu dan membubarkannya kemudian serta seorang calon muda dari generasi baharu iaitu bekas Ketua Pemuda parti yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan.

Semoga kali ini demokrasi dapat berbunga dan berbuah sekali lagi bagi memperlihatkan proses pembangunan semula parti yang sekian lama menerajui pentadbiran negara. Kali ini para ahli parti akan berpeluang memilih melalui perwakilan yang akan dilantik bagi mencorak barisan kepimpinan baru pasca pilihanraya selepas jatuh dari puncak kuasa.