Monday, December 31, 2018

TAHUN 2018 PERGI DENGAN PENUH WARNA-WARNI

Beberapa jam sahaja lagi tahun 2019 akan menjelma dan berakhirnya tahun 2018 yang penuh dengan peristiwa manis, pahit dan masin yang memberikan rasa kepada semua dengan pelbagai warna. 

Pada 365 harinya telah berlaku banyak peristiwa yang mendebarkan, sejarah dan bencana yang mengajar manusia kehidupan ini telah diaturkan oleh Sang Maha Pencipta dengan kudrat dan iradatNYA.

Manusia ini lemah dan segala usaha, rancangan juga recananya belum tentu terjadi mengikut kehendak atau yang tercapai dalam benak fikiran mereka dan belum tentu menjadi kerana yang menentukannya adalah takdir yang Maha Kuasa.

Pelbagai peristiwa yang terjadi berlaku dengan tiba-tiba seperti bencana yang datang menimpa tanpa disangka-sangka, begitu juga pertandingan diantara manusia mendapat keputusan disebaliknya.

Walaubagaimanapun manusia itu tetap lupa dan lemah untuk memahami Sang Maha Karya punya kehendak yang melangkaui kehendak perancangan mereka dan sering alpa akan keupayaan mereka yang cukup terbatas.

Pelbagai peristiwa manis dapat dirasa begitu juga peristiwa pahit yang datang menimpa menjadi pengalaman hidup sebagai manusia tidak kira mereka dari golongan miskin atau kaya, punya kuasa atau hanya bertaraf hamba.

Sorotan setiap perkara yang berlaku hari demi hari, bulan berganti bulan hanya menunjukkan manusia masih berada dalam lingkungan yang sama iaitu alpa, semakin tamak mengejar apa saja yang dicita dan tidak punya belas kasihan dalam menzalimi sesama manusia.

Bumi dirasakan semakin cepat berputar kerana tempoh 24 jam sehari itu semakin pendek masanya kerana dunia manusia kini telah terbahagi dua iaitu di alam nyata dan di alam maya. Teknologi yang telah dicipta banyak mempengaruhi kehidupan manusia sehinggakan mereka merasakan dunia ini sudah menjadi terlalu kecil bagi mereka tambahan pula segala keinginan hanya boleh diraih dihujung jari sahaja asalkan 'raja kertas' dimiliki mereka.

Kehidupan sosial manusia telah berubah dengan begitu pelik sekali sehinggakan kebanyakan komunikasi sesama sendiri telah tidak lagi melalui pertembungan fizikal sesama sendiri tetapi semuanya disebalik teks, foto atau video yang menjadi permainan jari-jemari.

Dunia maya telah membuatkan manusia keluar dari norma kehidupan biasa kerana dunia tanpa wayar ini manusia boleh melakukan hampir sahaja tanpa perlu bergerak atau berkomunikasi secara fizikal seperti dahulu kala.

Kehidupan menjadi semakin sempit dengan berlalunya masa namun menjadi luas menerobos ke alam maya yang membuatkan mereka semakin leka dan hanyut sehingga lupakan alam nyata yang mempunyai malam dan juga siang.

Apabila manusia semakin alpa dan lupa, tidak banyak masa di dunia nyata maka bermacam bencana akan datang menerpa kerana kelalaian manusia itu semakin ketara dan mereka terus hidup dalam dunia separa sedar kerana asyik dengan kebohongan dunia maya serta sampai suatu masa mereka akan bertanyakan tuhan itu siapa?

Inilah dunia moden manusia yang dipenuhi beribu warna yang semakin bercelaru dan melekakan manusia sehingga setiap warna yang hadir itu semakin tidak tahu dibeza kerana asasnya telah menjadi pecahan yang bersimpang-siur antara kehidupan nyata yang hanya beberapa jam dinikmati atau dunia maya yang semakin dinikmati tanpa disedari setiap tahun bertukar ganti.