Wednesday, March 22, 2017

Pentas dunia boneka, minda dan jasad hanya tunggul sahaja

Dunia semakin cepat beredar walaupun masa tetap sama 24jam sehari dan matahari serta bulan terus bersilih ganti seperti biasa namun perasaan kita merasakan akan kecepatannya. Sebenarnya bila dunia moden hari ini pelbagai aktiviti dan masa yang dilalui terbuang begitu sahaja.

Sekarang kalau dihitung dari permulaan bangun tidur sehingga menaiki kenderaan, berapa lama masa yang kita guna sehingga sampai ke destinasi atau tempat kerja. Dalam pada itu, berapa lama masa telah dihabiskan untuk membelek pada skrin gajet yang menjadi 'trend' masa kini. Tidak ketinggalan bagi mereka yang memandu kereta akan menghabiskan masa di jalan raya dan pada masa itu juga telefon pintar masih lagi dicuri buka dan jari-jemari masih sibuk menguisnya.

Secara tidak sedar kita hanyalah sebuah patung yang punya minda dan jasad kaku punyai indera namun semuanya seolah dikawal rapi oleh satu sistem kerja yang hampir sama rutinnya. Minda telah dikawal dan di 'set-up' melalu kawalan peranti yang menjadi dambaan atau pujaan manusia sehingga terlupa dunia nyata. Jasad tidak lagi bergerak sepenuhnya kerana dunia maya tidak memerlukannya.

Dunia boneka hanya menjadi medan bagi manusia yang alpa tanpa sedar mereka telah diikat oleh satu sistem dunia tanpa sempadan (Internet). Segalanya dikawal atau bertindak melalui jari-jemari sehingga melangkah dan berjalan mata hanya tertumpu pada latar kaca beberapa inci itu sahaja. Sememangnya masih punya waktu terluan untuk berinteraksi sesama kita namun berpa lamakah kita menghabiskan masa untuk dunia itu? Dunia nyata yang punya 24 jam sehari ini semakin sepi oleh perangai manusia yang menjadi boneka dunia maya tak bertepi itu.

Semakin hari semakin jauh kita berlari dan bermimpi tetapi sayangnya bukan di dunia realiti tetapi semakin banyak masa kita didunia maya yang rapuh dan tak wujud di alam realiti kerana semua gambaran pada latar skrin itu hanya melekat pada memori-memori ciptaan bait-bait elektronik yang pasti padam dan boleh hilang secara semulajadi. Inilah dunia boneka khayalan yang disangka abadi tetapi hanyalah mainan jari-jemari seperti mimpi semalam yang hilang bila kita telah bangun dari tidur setiap pagi.