Sunday, June 15, 2008

Minyak NAIK,NAIK Minyak

Selalunya manusia suka dengan kata sifat naik, tetapi ramai juga yang tidak suka dengan perkataan ini.Pada abad ini kita tidak boleh lagi mahu TURUN kerana dunia semakin pesat membangun dan bilangan penghuninya juga semakin bertambah. Kos kehidupan hari ini juga semakin naik disebabkan segalanya semakin naik dan hanya segelintir sahaja yang turun. Jika kita gelintar fakta-fakta tentang suasana atau iklim ekonomi dunia, kita akan dapat lihat sebenarnya dunia terarah atau dipandu oleh beberapa sistem ekonomi yang kesemuanya mempunyai baik buruknya yang tersendiri. Terpulang kepada mereka yang menguruskannya sama ada bijak, tamak atau terus dengan kebodohan yang lahir dari perasan yang mereka adalah pandai.
Jika kita melihat dunia hari ini, hasil dari tekanan dan kenaikan kos kehidupan adalah hasil dari sifat-sifat tersebut dengan penuh berleluasa di tangan para penguasa. Mari kita lihat dari krisis subprima, kenaikan harga minyak dan kekurangan bekalan makanan. Sebenarnya jika para pemimpin di kebanyakan kerajaan di dunia tidak terus dibelenggu dengan pelbagai masalah dan konflik yang timbul akibat perangai yang diwarisi sejak turun-temurun dari dua orang anak ADAM yang saling berbunuhan kerana disebabkan juga oleh sifat yang selama ini telah menjadi kanser kepada manusia tanpa ubatnya.
Rakyat marhain juga tidak terkecuali dengan tempias sikap ini sehinggakan sanggup menyusahkan orang lain demi keuntungan yang sedikit tidak ubah seperti haiwan yang berebut-rebut juadah atau hidangan sehingga sanggup mencederakan sesama mereka. Manusia telah diberi akal untuk saling menggunakannya demi kemakmuran dunia sejagat dan kerana tuhan yang menjadikan untuk manusia saling menggunakannya.
Mari kita lihat sahaja contoh didepan mata, kerajaan (akibat tamak) mengumumkan kenaikan harga minyak secara mengejut, beribu-ribu kenderaan terkandas kehabisan minyak kerana ramai yang tamak berpusu-pusu ke stesen minyak untuk berebut-rebut membeli minyak hanya kerana mahu untung 78 sen seliter semata-mata yang tidak dapat menampung kegunaannya kurang dari satu minggu pun dan secara tidak langsung memikirkan mereka telah menyusahkan beribu-ribu orang lain yang lebih memerlukan pada malam itu.
Begitu juga dengan pengusaha minyak yang tamak sengaja menyimpan stok lama minyak untuk dijual pada kadar harga baru yang sepatutnya dihabiskan pada malam itu juga jika mereka benar-benar tidak tamak. Ramai juga yang berpusu-pusu ke pejabat pos untuk mengambil wang subsidi yang di 'hadiahkan' seperti wang tersebut akan habis esok lusa sehingga menyusahkan juga. Mereka hanya mementingkan diri dan perut tanpa berfikir akibatnya. Maka, mentalitinya telah terpapar bahawa rakyat negara ini memang masih di minda kelas ketiga. Maka fikir-fikirkanlah jika dari bawah pun NAIK tamak, dari atas pun NAIK tamak dan jangan disangka akan muncul pula golongan yang akan NAIK MINYAK akibat dari manusia yang NAIK TAMAK.
Ada mata pandang, ada telinga dengar, ada mulut baca (jangan diam) dan ada tenaga usaha....