Friday, January 24, 2020

TAHUN 2020, WAWASAN YANG DIDAMBAKAN

Masa terlalu pantas berlalu seolah-olah bumi ini berputar semakin laju dengan siang berganti malam dan matahari semakin cepat terbit dan terbenam. Sejak dua dekad yang lalu sewaktu dibangku sekolah, pada waktu itu kita dicanangkan dengan wawasan 2020 iaitu satu tarikh dimana negara yang tercinta ini akan menjadi sebuah negara maju. Ia telah diucapkan dan dilaungkan oleh kerajaan terdahulu yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri Malaysia yang keempat Dato' Seri Mahathir Bin Mohamad(Tun).

Teknologi yang semakin pesat dan cepat berkembang menyebabkan kita merasakan masa itu terlalu pantas walaupun jam dan kiraan falak tempoh peralihan malam dan siang masih lagi 24 jam sehari. Selepas era permodenan dunia setelah berlakunya revolusi industri pelbagai teknologi telah berjaya direkacipta menyebabkan kehidupan manusia dipengaruhi oleh peralatan yang canggih di sekeliling kita. Bermula dengan penghasilan kenderaan, televisyen dan peranti-peranti elektrik yang banyak membantu kehidupan harian serta menjadi alat pengeluar pelbagai produk menjadikan dunia semakin moden. Adakah istilah maju itu dari segi peralatan-peralatan canggih beserta dengan pendapatan setiap individu itu meningkat?

Pada dekad ini, sebuah peralatan canggih yang dipunyai hampir oleh setiap orang menjadi peranti yang 'azimat' kepada setiap orang. Ianya hanya didalam genggaman namun ia telah menggantikan pelbagai alatan elektronik lain yang pernah diguna oleh semua orang pada masa lalu. Semua teknologi telah berada dalam genggaman manusia iaitu telefon yang mempunyai radio, televisyen, jam, komputer, permainan video, penggera, kad kredit, kad debit, penjejak lokasi(GPS) serta kamera.

Wawasan 2020 ialah sebuah wawasan kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, yang bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Yang dimaksudkan sepenuhnya terangkum bukan sahaja bidang ekonomi, tetapi juga bidang-bidang politik, sosial, kerohanian, psikologi, serta juga perpaduan nasional dan sosial, antara lain. Kesemua ini juga melibatkan persoalan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, mutu hidup, nilai sosial dan kerohanian, maruah bangsa, serta juga keyakinan.

Sekarang ialah Januari 2020, akhirnya masih lagi diberikan kesempatan hidup pada tahun yang penuh bermakna ini sejak mula diperkenalkan dengan slogan Wawasan 2020. Apakah pencapaian tersebut direalisasikan oleh kerajaan selaku pihak berkuasa dalam mengurus tadbir negara merdeka ini? Jika kita melihat aspirasi yang digariskan oleh kerajaan terdahulu bagaimana pencapaian tersebut menjadi kenyataan seperti berikut:

Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara. Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain. Negara ini masih lagi dibelenggu dengan pelbagai masalah oleh anasir-anasi luar seperti disempadan Negeri Sabah, Kepulauan Spratly serta beberapa kumpulan ektrimis yang masih diikutu oleh sebilangan rakyat. Rakyat Malaysia masih lagi ketinggalan dalam pelbagai bidang yang boleh dibanggakan diperingkat antarabangsa, walaubagaimanapun masih ada juga beberapa warganegara mencipta nama dalam bidang sukan yang diceburi oleh mereka di merata dunia.

Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun. Politik negara ini semakin matang walupun masih terdapat warganegara yang masih kuat memainkan sentimen perkauman yang boleh menggugat ketenteraman namun ianya masih lagi dihadapi oleh semua dengan toleransi yang tinggi. Selepas 61 tahun negara ini diperintah oleh parti-parti berasaskan kaum, pada 10 mei 2018 rakyat negara ini menunjukkan kematangannya dengan memilih sebuah parti baharu dikenali Pakatan Harapan untuk mendapat mandat memerintah negara ini. Ia menjadi begitu dramatik sekali kerana Malaysia diketuai sekali lagi oleh Perdana Menteri yang sama melancarkan Wawasan 2020 ini.

Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi. Masyarakat masih lagi berpolemik dengan isu-isu sensitif berkaitan agama sehingga beberapa peristiwa yang berlaku masih lagi memerlukan nilai etika dan moral yang masih mengikut emosi dan tidak dapat membendung kemarahan yang akhirnya mewujudkan kerosakan sehingga terjadinya pembunuhan.

Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara. Media sosial yang menjadi media utama rakyat telah menjadi alat untuk mewujudkan sentimen yang menyentuh hal-hal kebebasan beragama sehingga menyebabkan ianya menjadi polemik yang sepatutnya tidak perlu digembar-gemburkan.

Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan. Negara ini masih menjadi pengguna kepada beberapa teknologi utama walaupun sebilangan kecil rakyat telah mencipta nama dalam beberapa penemuan baharu namun ianya masih jauh dari sasaran. Malaysia masih lagi bergantung kepada teknologi luar terutamanya dalam pembinaan projek-projek mega infrastruktur negara.

Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh. Perkara ini masih lagi menjadi cabaran kepada pemerintah kerana masih jauh untuk membentuk mentaliti rakyat yang berkebajikan tinggi kerana sikap mementingkan diri serta penyisihan masyarakat kepada golongan yang miskin tegar, tidak mempunyai tempat tinggal serta kelompok masyarakat yang terbiar oleh arus permodenan yang pantas.

Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental. Perkara inilah yang masih lagi menjadi cabaran untuk dijadikan pencapaian. Oleh kerana itulah kerajaan baharu yang memerintah memilih untuk mewujudkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 oleh Perdana Menteri yang sama melancarkan Wawasan 2020 beberapa dekad yang lalu.

Sebagai seorang warganegara yang berfikiran positif, negara ini tidak menjadi negara yang gagal namun masih merintis jalan untuk terus berjaya kerana tanah air yang bertuah ini mempunyai kekuatan yang cukup untuk menguruskan cabaran yang mendatang. Isu utamanya ialah kepimpinan yang beramanah, bertanggungjawab serta progressif mampu merealisasikan apa jua matlamat demi menjadikan negara ini maju dan rakyatnya dapat merasai hasil kemajuan, kemakmuran oleh segenap lapisan masyarakatnya.