Sunday, December 13, 2009

Kenduri yang penuh emosi

Setiap masyarakat mempunyai majlis yang meraikan mempelai atau satu acara kesyukuran atas wujudnya satu ikatan semenjak Adam dan Hawa disatukan Tuhan di syurga. Setiap insan inginkan pasangan kecuali mereka yang disesatkan dengan keinginan kebebasan yang tidak ada batasan namun akan sampai ke satu titik yang menjemukan. Setiap makhluk tuhan berpasangan dari sekecil zarah sehingga sebesar-besar bintang dilangit.

Di alam melayu adalah salah dan tidak manis jika ada perkahwinan yang tidak diraikan dengan kenduri dan hanya dibuat sekadar akad berwali. Apabila kedua mempelai telah sudi untuk mengikat janji akan ada banyak perkara yang perlu diikuti. Di negara ini mereka harus mengikuti kursus pra-perkahwinan selama dua hari, ujian HIV serta mendaftarkan hasrat pernikahan dengan mengisi borang yang disahkan kadi. Selepas itu mereka akan sama-sama membeli apa jua barangan yang dinamakan hantaran berbalas dulang yang akan dihiasi dengan renda berseri-seri. Maka banyaklah mata akan memandang dan ramailah telinga akan berbisik memuji, memerli dan bermacam-macam lagi.

Menjelang majlis perkahwinan pula yang paling ramai beremosi ialah sanak saudara yang bermacam ragam. Jiran-jiran yang lain pula berkumpul untuk melihat apa yang kurang bukan untuk ditambah tapi untuk dijadikan bahan bualan. Saudara-saudara tua pula selalunya akan memberikan bermacam cadangan, pujian serta komen yang tidak membina melainkan hanya mahu menunjuk pandai dengan ego tersendiri. Bila didapur pula ramai yang bising dengan mulut dari pantas dengan tangan menolong apa yang patut. Anak sedara pula hanya tahu berlari kesana kemari yang selalunya hanya merimaskan suasana dan menambah emosi diselang seli dengan jeritan ibu bapa mereka yang kononnya mithali.

Bila difikirkan secara positifnya masa inilah pertemuan sesama ahli keluarga menjadi kenyataan. Selain hari raya di masa ini juga jiran-jiran bersua muka bertanya khabar dan mengumpul berita dan cerita. Majlis yang hanya bertujuan meraikan kedua mempelai menjadi rahmat bagi setiap hubungan keluarga dan jiran tetangga. Namun segalanya bersandarkan emosi semata-mata dengan sikap menunjuk-nunjuk setiap keluarga bersaing memperlihatkan kelebihan masing-masing. Tiada apa yang lebih hebat dari sembang-sembang yang penuh rasa ego yang penuh emosi.