Saturday, October 29, 2022

AGRO BASE & COMODITY MARKETING (ABCM ENTERPRISE)

 Belum agak terlewat untuk menceburi bidang perniagaan yang berasaskan produk pertanian atau lebih dikenali sebagai agriculture (Agro). Pada zaman sekarang manusia berpusu-pusu berniaga dalam bidang perkhidmatan dengan kebanyakannya bersumberkan bahan mentah dari luar negara.

Kini hampir lima bulan mula menyusun langkah untuk menceburi bidang pertanian khususnya dalam sektor penternakan kerana ianya adalah industri makanan yang menjadi keperluan harian masyarakat. Perancangan yang dirangka dalam menceburkan diri secara langsung dimulakan dengan langkah mengenal komuniti yang berada dalam lapangan operasi bidang ini. Rata-rata mereka sudah mempunyai pengalaman dan telah membina kekuatan sendiri untuk berjaya dan mengekalkan kejayaan sedia ada.

Dalam melangkah dan berpanas hujan di permulaan ini memerlukan tekad peluang yang ada walaupun adakalanya teraba-raba mencari rangkaian dalam bidang ini. Kebanyakan pemain dalam bidang ini bermula dengan jerih kecuali mereka yang mempunyai modal bersaiz rasaksa dalam menelan apa sahaja risiko yang mungkin dihadapi.

Bermodalkan semangat sahaja tak cukup tanpa ilmu dan ia juga tidak mudah jika tidak mengamalkan bagi menilai dan menghadapi realiti sejauh mana onak dan duri. Cabaran getir sentiasa ada dan lubang kekecewaan sentiasa menanti namun harapan yang tinggi disandarkan kepada Ilahi agar jalan usaha ini dipermudahkan agar dugaan dan cabaran yang datang sesuai dengan kesanggupan serta keupayaan sendiri.

Setiap bidang yang diceburi sememangnya ada komunitinya tersendiri namun sejauh mana positif atau negatif itu bergantung kepada niat sesetengah individu. Manusia yang baik biasanya mempunyai niat yang tulus dan sebaliknya manusia yang hanya mahu mengambil kesempatan seperti serigala yang kelaparan menanti habuan.

Ekosistem bidang penternakan juga agak lemah kerana sumber bahan mentah utama adalah barangan dari import bukan dijana sendiri didalam negara. Kewujudan ejen-ejen sebagai manusia perantara bagi mengaut laba antara pihak pengeluar dan pengusaha juga ada cabarannya. Mereka yang baharu bertatih melangkah akan merangkak bagi melepasi halangan para pemodal besar dan kumpulan yang tamak mengejar untung tanpa menyedari terpijak dan tertolak mereka yang masih lemah.

Maka tidak hairanlah dalam bidang ini tidak ramai yang berani menceburinya kerana permainan agak kasar boleh memberi kerugian besar jika dipijak dan tersungkur dalam lubang. Disini setiap hari adalah perniagaan masa kerana mengusahakan benda hidup mempunyai tempoh yang nyata kerana setiap nyawa bergantung kepada masa atas hukum yang telah ditetapkan oleh Tuhan sang pencipta.

Permainan persaingan dalam bidang ini agak kasar juga kerana pemain utama yang telah lama berkecimpung didalamnya mengawal segala rantaiannya dari ekor hingga ke kepala dalam sistem ekosistem industri ini. Mereka adalah kumpulan yang paling berkuasa dari pihak berkuasa dan berupaya untuk mempengaruhi segalanya. Memang lumrah dalam dunia perniagaan keuntungan adalah fokus utama dan moral boleh menjadi yang kedua atau ketiga. Dunia sekarang adalah kejam jika manusia semakin tamak dan sntiasa bersaing secara tidak sihat kerana berperang merebut kehebatan dengan keangkuhan.

Akhirnya, jika kini kita baharu melangkah dan sudah bersedia untuk berlari lantas perlu diingatkan untuk melihat kanan dan kiri agar kita tidak terpijak atah tertolak hak orang lain. Menjadi orang berjaya tak perlu untuk menganiaya orang lain dan keberkatan itu yang utama dalam mengejar kebahagiaan kerana kekayaan tanpa kebahagian serta direstui Tuhan adalah kerugian besar kerana dunia ini hanya pinjaman yang tidak berkekalan.

No comments: