Tuesday, February 14, 2012

Orang Melayu mengikut F. Swettenham (“The Real Malay”)

Dalam Stories and Sketches by Sir F. Swettenham; selected and introduced by William Roff, Oxford University Press) adalah sebagaimana berikut ini:

Untuk memahami orang Melayu dengan mendalam, Swettenham berpendapat, seseorang itu perlu tinggal di kalangan mereka, menghormati agama dan kepercayaan mereka, meminati kecenderungan mereka, perlu bersifat toleransi dan jangan memandang serong terhadap prejudis mereka, bersimpati dan membantu mereka ketika mereka dalam kesusahan dan kalau boleh bukan sahaja berkongsi keseronokan mereka tetapi juga risiko yang mereka hadapi. Hanya dengan cara ini sahaja seseorang itu boleh memperolehi kepercayaan dan keyakinan orang Melayu. Melalui keyakinan ini sahaja seseorang itu akhirnya boleh memahami hati budi orang Melayu, terutama bersifat batiniah itu.

Orang Melayu yang sebenarnya, adalah pendek, berbadan tegap dan gempal. Rambutnya lurus hitam, kulit sawo matang, hidung dan bibirnya tebal dan matanya cerah dan nampak cerdik. Tingkahlakunya lemah lembut dan mudah untuk didampingi. Orang Melayu bersifat curiga terhadap orang luar tetapi tidak menunjukkan sikap tersebut secara terbuka. Orang Melayu berani dan boleh dipercayai menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Walau bagaimanapun dia bersifat boros dan suka meminjam wang tetapi lambat membayarnya balik. Dia petah dan bijak bercakap, pandai berkias (dan mungkin juga menyindir), sering memetik peribahasa dan kata-kata hikmah, pandai melawak dan berjenaka dan sukakan kepada jenaka yang baik. Orang Melayu suka ambil tahu hal orang lain, terutama jirannya. Oleh itu orang Melayu dikatakan kuat gosip atau suka menjaga tepi kain orang lain. Orang Melayu beragama Islam dan pada pendapat Swettenham ini menyebabkan mereka bersifat fatalistik, iaitu percaya kepada qada’ dan qadar (nasib dan rezeki ditentukan Allah). Tetapi pada masa yang sama mereka juga percaya kepada perkara-perkara karut dan tahyul yang bertentangan dengan Islam. Dia tidak minum arak dan jarang sekali menghisap candu tetapi dia amat minat berjudi, sama ada menyabung ayam ataupun permainan-permainan yang ada elemen pertaruhan.

Secara semulajadi orang Melayu adalah ahli sukan. Mereka suka dan berminat menangkap dan menjinakkan gajah. Mereka juga merupakan seorang nelayan atau penangkap ikan yang cekap. Dari satu segi orang Melayu konservatif, bangga dan megah terhadap negerinya dan masyarakatnya. Mereka menyanjung adat dan tradisi lama masyarakat Melayu. Mereka takut kepada Raja, hormat dan tunduk kepada kuasa. Orang Melayu memandang rendah kepada sebarang pembaharuan dan seboleh-bolehnya akan menolak sebarang pengenalan kepada perubahan secara mendadak. Sebaliknya, jika mereka diberi masa untuk memeriksa dan menelitinya dan perubahan tersebut tidak dipaksa ke atas mereka, mereka boleh diyakinkan tentang keuntungan dan faedah yang boleh dicapai melalui pembaharuan-pembaharuan tersebut. Orang Melayu cepat mempelajari ilmu yang diajar kepadanya. Bagi Swettenham, sekiranya orang Melayu ingin dan juga bercita-cita tinggi dia boleh menjadi seorang mekanik yang baik. Walau bagaimanapun orang Melayu malas. Dia tidak mempunyai sebarang perancangan yang teratur di dalam hidupnya. Dia tidak tahu tentang ketepatan masa termasuk juga waktu makannya. Padanya waktu itu tidak penting. Rumah orang Melayu tidak tersusun dan kotor tetapi dia mandi dua kali sehari. Dia juga suka berhias dan memakai pakaian yang kemas. Orang Melayu tidak toleran kepada sebarang penghinaan. Baginya malu yang diterima hanya boleh dibersihkan dengan darah. Dia akan masam muka dan memendam rasa apabila kewibawaannya dan maruahnya tersentuh atau terguris sehingga dia dirasuk oleh perasaan hendak membalas dendam. Jika dia tidak dapat membalas pada orang berkenaan atau berkaitan dia akan mengancam orang pertama yang ditemuinya, tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda. Inilah yang dikatakan amuk. Semangat kesukuan kuat di kalangan orang Melayu. Dia taat dan setia kepada Raja, Penghulu dan pemimpin. Pemberian kurnia oleh Raja kepada rakyat dan pemberian hadiah dari rakyat kepada Raja adalah satu amalan yang biasa.Walaupun orang Melayu beragama Islam dan sanggup dipaku hidup-hidup dari menolak agamanya, orang Melayu bukannya menganggap agama orang lain rendah. Dia juga bukan seorang hipokrit. Kehidupannya akan menghadapi kitaran hidup berikut:

Pada masa kecil dia dijaga dengan baik, dia tidur bila dia suka dan makan apabila dia merasa lapar (elemen masa tidak penting). Dia jarang dipukul atau dirotan, oleh itu dia jarang menangis. Pada umur 15 atau 16 tahun dia rajin belajar dan dihantar mengaji Qoran walaupun mengaji dalam bahasa yang dia tidak faham. Pada umur di antara 16 hingga 25 tahun dia harus dielakkan kerana pada peringkat umur ini dia suka bersuka-sukaan, berfoya-foya, boros, pemurah, suka berjudi, banyak terikat dengan hutang, sering terlibat dalam melarikan isteri jirannya dan suka menonjol-nonjolkan dirinya. Selepas itu jika dia tidak meneruskan dengan perangai buruknya, dia akan cuba, dengan bantuan orang-orang yang lebih tua darinya, berusaha memantapkan kedudukan sosialnya. Jadi, apabila dia mencecah umur 40 tahun dia akan menjadi seorang manusia yang bijak (dan berpengalaman). Anak perempuan pula dibiarkan hidup bebas sehingga umur 5 tahun dan kemudian diberi pakaian yang sempurna. Sejak itu dia dididik dan diasuh dalam membantu kerja-kerja rumah dan dapur. Dia juga diajar turun ke sawah. Tujuannya untuk menyediakan menjadi seorang isteri dan ibu yang baik. Pada peringkat umur 15/16 tahun dia sukakan pakaian yang cantik dan juga sudah tahu memakai barang-barang kemas. Gadis yang belum kahwin diasuh dan diajar bagi mengelakkan dari mengadakan hubungan dengan lelaki yang tidak ada tali persaudaraan dengannya. Selepas berkahwin orang perempuan Melayu mendapat kebebasan yang seluas-luasnya. Orang Melayu amat mementingkan bangsa dan keturunan. Lelaki Melayu boleh kahwin empat dan boleh menceraikan isteri/ isteri-isteri dan menggantikan mereka dengan isteri yang baru. Sekiranya dia mampu dia akan menggunakan kesempatan ini tetapi lelaki Melayu jarang-jarang mempunyai empat orang isteri pada satu masa.

Orang Melayu mengikut pandangan Hugh Clifford (“The Pople of the East-Coast” dalam buku, In Court and Kampung)

Clifford adalah Residen di Pahang dan beliau menceritakan tentang negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Walaupun negeri-negeri ini berdekatan tetapi rakyat negeri-negeri ini jauh berbeza, sama ada dari segi rupa, pakaian, dialek, watak mahupun adat resam. Orang Pahang, mengikut Clifford, hanya menggunakan fikiran dan minda mereka untuk mencari jalan berkelahi, bergaduh, berasmara dan bercumbu dan berjudi, yang mereka tahu dan sedar dilarang sama sekali oleh agama Islam. Orang Pahang, jelasnya, adalah seorang penyabung ayam dan pejudi yang sering terlibat dalam pergaduhan. Dia mempunyai perasaan bangga dirinya, bangsanya dan negaranya. Dia kurang arif, kurang ugama dan kurang daya keintelektualannya sehingga dibuat orang Melayu lain bidalan tentang mereka: kecek anak Melaka; bual anak Minangkabau; tipu anak Rembau; bidaah anak Terengganu; penakut anak Singapura; pencelok anak Kelantan dan sombong anak Pahang. Namun demikian, orang Pahang juga banyak kualiti yang baik. Mereka jantan dan berani mati. Kelemahan mereka adalah di permukaan sahaja dan mereka jarang mahu menyurukkan kelemahan ini. Mereka sombong! Mereka berpakaian segak dan sebagai kaki judi sering boros. Mereka juga suka bertindak mengikut nafsu tanpa berfikir panjang tentang hasil atau kesan tindakan mereka. Mereka juga amat taat dan setia kepada Raja. Begitu juga taat setia mereka kepada seseorang atau sesiapa yang dipercayainya, tidak berbelah bagi. Hubungan ini adalah berasaskan saling mempercayai di antara satu sama lain. Mereka sentiasa bergembira dan suka melawak dan berjenaka dan bahan ketawa mereka adalah orang lain (suka mengusik dan mempermainkan orang lain). Mereka tidak suka membaca atau bekerja. Mereka juga tidak boleh dipaksa membaca Koran. Mereka juga hanya akan sembahyang setelah dipaksa. Mereka menghadiri sembahyang Jumaat kerana takut kena denda. Kalau boleh orang Melayu tidak mahu bekerja dan tidak akan melakukan sebarang kerja walapun dibayar gaji atau upah yang tinggi dan lumayan. Dia akan melakukannya (kerja) apabila dia dikerah, iaitu atas permintaan dan suruhan orang-orang besar ataupun raja. Kerja-kerja kerah tidak dibayar upah dan di dalam kebanyakan kes mereka terpaksa membawa makanan sendiri. Kerja Raja dikelek sedangkan kerja sendiri diabaikan. Mereka akan mengerjakan kerja-kerja kerah ini tanpa sebarang rungutan seolah-olah itu adalah tugas hakiki mereka. Clifford melihat ini sebagai satu sifat yang bertentangan dengan jiwa orang Melayu itu. Dari satu segi, secara sukarelanya, orang Melayu malas bekerja walaupun ganjaran yang dibayar lumayan tetapi dari satu segi yang lain dia sanggup pula dipaksa bekerja dan menyerahkan tenaganya secara percuma.

Orang Terengganu pula jauh berbeza daripada orang Pahang. Paling utama, mereka sukakan keamanan dan keharmonian. Kegiatan dan minat mereka ialah kepada perniagaan dan perdagangan. Apa yang mereka mahu ialah kebenaran dan kebebasan untuk mencari rezeki tanpa diganggu. Namun demikian, mereka tidak menunjukkan sikap taksub dan taat setia membabi buta seperti yang ditunjukkan oleh orang Pahang, yang akhirnya (iaitu orang Pahang) terpaksa menanggung bermacam kerenah, helah dan juga bencana dari Raja dan kerabat Diraja mereka sendiri. Bagi Clifford, orang Terengganu hanya berminat untuk belajar, berdagang dan bertukang. Sejak kecil lagi dia dibesarkan dalam suasana buku, duit dan tawar menawar perniagaan dan perdagangan. Dikatakan dia tahu memuji dan mengangkat tinggi nilai dan mutu barang-barang yang hendak dijualnya dan menawar atau menurunkan harga barangan yang hendak dibelinya sebaik sahaja dia pandai bercakap. Orang Terengganu dilahirkan dalam dunia perniagaan dan perdagangan. Dia boleh dan sanggup berbohong semasa berniaga, tanpa segan dan silu ataupun malu sehingga mereka terkenal ataupun dikenali sebagai pembohong yang paling terkenal di Tanah Melayu.

Sekiranya seorang kanak-kanak Pahang dibesarkan dalam suasana perang atau khabar angin tentang peperangan, dan dia pula akan bercita-cita apabila besar nanti mahu menjadi seorang pahlawan terbilang, tetapi berlainan pula dengan kanak-kanak Terengganu. Walaupun lelaki Terengganu memakai senjata tetapi dia kurang tangkas menggunakan senjata tersebut. Keris yang dipakai hanya sebagai pelengkap pakaian lelaki sahaja. Keadaan ini berlaku kerana masyarakat Terengganu memberi sanjungan yang lebih dan memandang tinggi mereka yang berpendidikan atau yang mempunyai kemahiran-kemahiran yang tertentu. Jelasnya orang Terengganu memuliakan mereka yang berpelajaran dan berilmu sama ada yang menguntungkan mereka di dunia mahupun akhirat. Bagi Clifford, orang lelaki Terengganu dibesarkan sebagai pengecut tetapi mereka tidak mahu mengakui hakikat ini. Pandangan Clifford ini mungkin tidak adil kerana mencintai keamanan dan tidak suka bergaduh bukanlah sifat orang yang pengecut. Sebaliknya ia menggambarkan seseorang yang ingin tinggal di dalam sebuah masyarakat yang madani.

Walau bagaimanapun prestasi dan imej orang Melayu Terengganu adalah lebih baik dari orang Melayu lain, bukan sahaja di Pantai Timur tetapi juga di Semenanjung Tanah Melayu. Umumnya, seseorang anak Terengganu itu telah tamat membaca Koran sebelum akil baligh lagi. Pada masa yang sama mereka juga tahu menulis dan membaca jawi. Jadi masyarakat Terengganu adalah masyarakat yang mementingkan ilmu. Namun demikian, orang Terengganu lebih terkenal kerana kemahiran mereka dalam bidang kraftangan. Hasil tangan seperti barangan tembaga, senjata dan juga pertukangan kayu mereka adalah yang terbaik, tercantik dan terhalus di kalangan orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Begitu juga dengan hasil tenunan kain dan songket mereka. Mereka juga dikatakan pandai membuat barang-barang tiruan, contohnya, serban yang diekspot setiap tahun ke Mekah dan dijual di sana sebagai barangan tempatan yang dihasilkan oleh Arab Saudi sendiri. Dari segi pakaian, pakaian orang Terengganu jauh berbeza dari orang Pahang. Kita boleh kenal orang Terengganu sebelum dia membuka mulutnya. Walau bagaimanapun Clifford tidak menjelaskan apakah yang dimaksudkannya. Namun begitu, sekiranya kita hendak buat andaian mungkin pakaian orang Terengganu itu lebih kemas sesuai dengan kerja mereka sebagai peniaga dan pedagang.

Orang Kelantan juga mempunyai ciri-ciri mereka tersendiri. Bagi mereka yang berjumpa dengan orang Kelantan buat kali pertamanya mungkin tidak akan faham tentang tutur-katanya. Orang Kelantan juga tidak faham bahasa orang lain kecuali dialeknya sendiri. Rupa atau paras orang Kelantan serupa sahaja; tidak begitu bersih baik dari segi rupa mahupun perangai. Walau bagaimanapun dia mempunyai temperamen yang baik dan sentiasa bergembira. Orang Kelantan kuat dan gagah. Mengikut Clifford, ada orang Kelantan yang boleh memecahkan pintu dengan kepalanya. Contohnya, seorang lelaki yang diberi gelaran Awang Kepala Keras. Selain itu, dia juga boleh memikul beban yang berat, mengayuh perahu untuk beberapa jam dan boleh melakukan kerja lebih dari orang Melayu lain. Tingkahlaku orang Kelantan agak kasar dan tidak sensitif seperti orang Melayu lain. Mereka kurang prihatin terhadap perasaan orang lain. Orang Kelantan berani tetapi beraninya membabi buta tanpa memikirkan akan bahaya yang mungkin dihadapi. Bagi masyarakat lain di Pantai Timur (orang Pahang dan Terengganu) watak baik orang Kelantan ditenggelami oleh reputasi orang Kelantan sebagai pencuri, perompak atau penceluk. Semasa merompak mereka dikatakan menggunakan senjata tajam yang dikenali sebagai parang jengok. Perempuan Kelantan lebih menonjol dari wanita-wanita lain di Tanah Melayu. Mereka sering kelihatan di pasar sama ada meniaga atau membeli. Mereka senang bertutur mesra dengan semua orang dan tidak menunjukkan sifat-sifat malu yang lazim ditunjukkan oleh perempuan Melayu yang lain. Ada kalanya kemesraan mereka khusus dengan pelanggan lelaki bersifat `flirtatious’ atau kemanja-manjaan. Di Kelantan, lelaki dan perempuan, lain cara berpakaian mereka jika dibandingkan dengan orang Melayu lain. Orang lelaki Kelantan tidak memakai baju atau seluar sebaliknya mereka lebih selesa memakai sarung. Kain sarung diikat singkat hingga ke lutut dan apabila duduk lutut mereka terdedah. Orang perempuan Kelantan pula suka berkemban dan bahagian bahu dan dada sering terdedah. Cara berpakaian begini membuat orang lain menganggap orang Kelantan tidak beradat dan beradab sopan. Sebelum tahun 1888 orang Kelantan takut ke Pahang kerana orang Pahang menganggap orang Kelantan itu hanya layak untuk menajamkan matakerisnya sahaja. Dalam perkataan lain orang Kelantan itu baik dibunuh sahaja. Seperti orang Melayu lain di Pantai Timur, orang Kelantan juga suka berjudi sama ada berlaga ayam, kambing atau kerbau.

Pada keseluruhannya bagaimanakah agaknya cara hidup orang Pantai Timur? Mengikut Clifford, di Kelantan, Terengganu dan Pahang, cara hidup mereka hampir serupa. Di kawasan pendalaman rakyatnya lebih lurus dan amanah, lebih rajin, mengalami prubahan yang sedikit dan hidup mereka sehari-hari berkisar kepada saraan hidup semata-mata. Mereka juga cepat tua. Mereka bangun pagi, bekerja atau rehat pada waktu siang dan tidur sebaik sahaja hari malam. Hidup mereka mudah dan sudah pasti membosankan. Hidup mereka sederhana dan kebanyakan mereka tidak mampu untuk kahwin lebih dari satu. Penduduk yang tinggal di tepi pantai pula berbeza. Gosip dari istana, cerita-cerita tentang keberanian pahlawan, perbincangan tentang ilmu dan sebagainya memenuhi masa hidup mereka. Bagi golongan remaja lelaki, dayang-dayang dan gundek-gundek Raja keadaan dan pergaulan yang bebas menambahkan lagi kenakalan remaja mereka. Walaupun risikonya tinggi, golongan remaja ini jarang-jarang mahu melepaskan peluang tersebut. Mereka yang didapati berkendak dengan gundek Raja bolah dihukum bunuh.

Orang Melayu mengikut pandangan Munshi Abdullah (Kisah Pelayaran Abdullah)

( Diselenggarakan oleh Kassim Ahmad).

Pelayarannya ke Kelantan, Abdullah telah sempat juga singgah di Pahang (Pekan) dan Terengganu (Kuala Terengganu). Sebagai seorang etnografer dia telah mencatatkan dengan detail apa yang dapat diperhatikannya di ketiga-tiga buah negeri di Pantai Timur ini. Catatannya ini menarik jika kita bandingkan perbezaan dan persamaan pandangan tersebut dengan apa yang ditulis oleh Hugh Clifford. Mengikut Abdullah, negeri Pahang seperti sebuah dusun, penuh dengan tumbuh-tumbuhan yang menghijau. Tidak terdapat sebarang pasar, kedai atau lorong untuk orang ramai berjalan kaki. Abdullah percaya negeri Pahang kaya dengan hutan sebab penduduknya malas. Sekiranya hutan-hutan ini ditanam dengan pokok-pokok yang boleh mendatangkan hasil usaha tersebut pasti berjaya kerana tanah Pahang subur. Mengikut pemerhatian Abdullah, dari 100 orang penduduknya hanya 10 orang sahaja yang nampak berkerja. Yang lainnya, sama ada lalai, miskin atau suka berbuat jahat (mungkin maksud Abdullah, mencuri atau menjadi samseng kampung). Setiap lelaki Pahang ada sekurang-kurangnya 4-5 jenis senjata yang tidak bercerai dari tubuhnya. Tabiat lelaki Pahang ialah suka melawar sahaja. Gemar memakai seluar dan kain-baju yang bagus-bagus sahaja tetapi malas bekerja atau tidak mahu berusaha. Kebanyakan mereka kurus kering keana mereka juga suka menghisap madat atau candu. Jelasnya ramai orang Melayu Pahang yang ketagih candu. Rumah mereka rumah atap. Bergantung kepada taraf hidup, rumah mereka ada yang kecil dan ada yang besar. Kesemua rumah tersebut didirikan di atas darat. Namun demikian, kawasan keliling rumah mereka semak-samun. Kampung orang Melayu Pahang tidak tersusun kerana rumah-rumah yang didirikan tanpa perancangan dan peraturan. Terdapat sebuah rumah di sini dan sebuah rumah di sana. Ada rumah yang dibina dalam hutan dan yang didirikan di tepi pantai. Ada kawasan rumah yang dipagar dan ada yang tidak dan dibiarkan begitu sahaja. Kawasan di bawah rumah selalunya kotor. Di bawah rumah, biasanya di bawah rumah dapur akan terdapat kelimbahan atau lopak air yang bertakung dan menjadi dalam apabila dicakar dan disudu oleh ayam dan itik yang mencari sisa-sisa makanan yang dibuang ke dalamnya selepas pinggan mangkuk makan dibasuh. Kawasan ini dan juga rumah berbau busuk kerana tidak terdapat longkang untuk mengalirkan air yang bertakung itu. Di bawah rumah juga terdapat banyak sampah sarap yang disapu dari atas rumah. Setiap malam unggun api akan dipasang di bawah rumah untuk menghalau nyamuk. Asap sering naik ke rumah menyebabkan mata menjadi pedih dan berair. Pakaian di atas rumah juga akan menjadi hitam disebabkan asap dan jelaga. Tanaman yang banyak ditanam di sekeliling rumah ialah pokok nyiur dan pinang. Harga 8 buah nyiur ialah seringgit. Terdapat juga sayur-sayuran seperti keladi, ubi, keledek, tebu, pisang dijual tetapi hasil kebun ini datangnya dari kawasan hulu negeri. Orang Pahang juga memelihara ternakan seperti kambing, kerbau, lembu, ayam dan itik. Jelasnya, cara hidup orang Pahang adalah cara hidup masyarakat tani (peasang) atau masyarakat kampung yang di samping bercucuk tanam dan berternak untuk saradiri juga menghasilkan tanaman kontan. Oleh kerana kawasan persekitaran kampung kotor dan tidak tersusun cara pembuangan sampahnya, maka kawasan ini menjadi kawasan kegemaran gagak yang tertarik dengan kekotoran dan bangkai-bangkai yang bersepah. Hasil dagangan Pahang yang terbesar ialah emas dan timah. Ada juga penduduk yang menghasilkan sutera. Ada juga antara mereka yang ke hutan mencari kayu kemuning, damar dan rotan. Wang yang digunakan di Pahang dikenali sebagai tampang. 16 tampang = 1 ringgit.

Dari segi sistem sosialnya, terdapat ramai golongan Sayid (Syed) di Pahang. Kononnya mereka adalah keturunan nabi. Maka cucu-cicit mereka juga memakai gelaran Syed pada awal nama mereka. Di Pahang terdapat juga golongan yang dikenali sebagai golongan Sheikh. Gelaran ini juga dipakai turun-temurun. Bahasa yang digunakan oleh orang ramai apabila bercakap dengan golongan ini serupa seperti mereka bercakap dengan golongan Raja-Raja. Mereka bertengku dan berhamba Tengku. Pekerjaan golongan ini berniaga. Di kalangan ini lebih ramai yang kaya dari yang miskin. Rumah-rumah mereka lebih baik dan cantik dari rumah orang Melayu. Nampak jelas bahawa golongan ini wujud sebagai satu kelas yang nyata. Mereka mengamalkan cara hidup dan status yang jauh lebih baik dari rakyat Pahang yang lain. Penempatan atau perkampungan mereka jauh berbeza dari perkampungan orang Melayu. Mereka tinggal di tepi pantai dan di kawasan perkampungan itu terdapat sebuah masjid. Anak-anak mereka dihantar mengaji di masjid tersebut walaupun mereka tidak faham tentang apa yang mereka baca. Namun demikian kebanyakan rakyat biasa tidak tahu membaca dan sekiranya keadaan ini dibiarkan nescaya akan merosakkan generasi orang Melayu yang akan datang. Di Pahang, seperti di negeri-negeri Melayu yang lain, terdapat juga golongan istana atau Raja yang merupakan pemerintah negeri. Mengikut Abdullah, anak-anak Raja Pahang menaruh berpuluh-puluh hamba Raja. Hamba Raja wujud apabila orang yang bersalah melakukan jenayah bunuh mengadap Sultan dan di samping memohon maaf di atas perbuatannya menyerahkan juga dirinya kepada sultan untuk dijadikan hamba Raja. Status dan kedudukan hamba raja tinggi dan ditakuti oleh orang ramai. Di dalam kebanyakan hal mereka menjadi tukang pungut hutang dan tukang pukul anak-anak raja. Mereka bolehlah dianggap sebagai samsing kampung. Mereka sering digunakan oleh pihak raja dan anak-anaknya untuk mengganggu anak-isteri orang. Oleh kerana mereka dilindungi raja maka ditakuti dan boleh melakukan apa-apa sewenang-wenangnya. Sekiranya mereka dibunuh sultan akan menuntut tujuh nyawa kerabat orang yang membunuh hamba raja tadi. Terdapat dua cara hukuman bunuh dilaksanakan di Pahang, iaitu cara sula dan salang. Sula dilaksanakan dengan menikam dubur pesalah dengan pucuk nipah hingga sampat ke perutnya. Salang pula ialah membunuh dengan menggunakan keris panjang yang dikenali juga sebagai keris penyalang. Keris tersebut digunakan untuk menikam jantung melalui tulang selangka, iaitu kawasan di antara bahu dengan leher sebelah kiri. Keris akan dicabut dan kawasan luka itu akan ditekap dengan kain untuk menghalang darah dari memancut. Rakyat Pahang dikatakan takut hendak mengubah cara hidup mereka, terutama taksub kepada golongan raja kerana takutkan daulat Raja. Abdullah mengimbas semula tentang negeri Pahang. Dahulu Pahang mashur tetapi sekarang negeri tersebut kesunyian dan miskin. Kemiskinannya bukanlah kerana ia diserang dan ditawan musuh dari luar atau disebabkan oleh perompak dan penyamun yang mengganggu dan menjejaskan perniagaannya ataupun oleh kerana tanahnya yang tandus kerana terbukti hutannya hidup subur menghijau. Bagi Abdullah, Pahang miskin kerana kezaliman rajanya. Rakyat takut dan juga tidak mahu berusaha dan menghasilkan lebihan untuk simpanan kerana akhirnya akan diminta oleh raja. Kalau tidak diberi akan dirampasnya juga. Maka keadaan ini mematahkan semangat rakyat untuk membuat harta, menabung dan sebagainya.

Di Terengganu (Kuala Terengganu) Abdullah menerangkan terdapat pasar yang dibuka pada waktu petang. Raja menduduki tempat dan hiraki yang istimewa dalam masyarakat Melayu. Apabila melalui istana dan perkampungan raja, rakyat biasa dilarang memakai payung sama sekali. Golongan rakyat juga dilarang memakai baju kasa, kasut dan pakaian serba kuning. Abdullah menganggap larangan ini sebagai kolot dan bodoh. Dia bertanya, mengapa tidak dilarang burung terbang di atas istana, atau nyamuk memakan darah raja atau pijat-pijat menggigit raja dan sebagainya. Sebaliknya mengapa tidak dilarang penjualan dan penghisapan madat atau candu yang berleluasa bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga raja. Sepatutnya raja menjadi contoh, teladan dan role model untuk rakyat tetapi di Pahang dan Terengganu sebaliknya berlaku. Golongan raja tidak menampakkan ciri-ciri orang yang dianggap berbangsa, bangsawan dan berdarjat mulia. Jadi jika golongan raja tidak berakhlak mulia bagaimanakah pula dengan rakyat biasa? Orang yang menjadi penagih madat jarang mementingkan kebersihan dirinya. Pakaian mereka kotor dan berdaki. Kadang-kadang pakaian tersebut 4-5 bulan tidak dibasuh. Baju mereka penuh dengan tuma. Kebanyakan kanak-kanak Terengganu tidak bersekolah. Mereka asyik bermain-main sahaja sepanjang hari. Jalan-jalan dan lorong-lorong di sekitar pekan didapati kotor dan penuh dengan sampah sarap. Jalan dan lorong tersebut juga sering becak. Perkampungan dan rumah mereka congkah-mangkih, iaitu tidak tersusun dan tidak sama. Masing-masing penghuni membina rumah ikut suka hati. Ada rumah yang membelakangi jalan ada yang mengiring jalan dan terdapat juga lorong-lorong yang sempit yang hanya muat untuk seorang lalu sahaja. Rumah dipagar tetapi pagar yang dibina bengkang-bengkok. Atap rumah pula dipasang tinggi. Keliling rumah kotor dan di bawah rumah terdapat banyak sampah sarap. Di bawah rumah dapur pula terdapat kelimbahan. Kebanyakan rumah terdapat banyak sabut yang diperun pada waktu malam untuk menghalau nyamuk. Di kawasan kampung ditanam banyak pokok kelapa. Pada tiap-tiap kampung terdapat sebuah madrasah. Di pasar terdapat ramai peniaga barang-barang makanan tetapi kesemua mereka perempuan. Barangan makanan yang dijual adalah penganan, cucur, pisang rebus, keladi rebus, penganan talan dan sebagainya. Terdapat perbezaan di antara rumah orang kaya dengan orang miskin. Rumah orang kaya dibuat dari batu dan bangunan rumah adalah seperti rumah orang Cina. Rumah tersebut diberi tembok tetapi dinding tembok penuh dengan kesan ludah sirih dan juga lumut. Di Terengganu juga banyak ditanam pokok limau yang dijual di pasar. Lembu, kambing dan biri-biri murah harganya. Harga seekor kambing seringgit. Walaupun daging murah orang ramai tidak suka memakannya. Sebaliknya mereka lebih suka makan makanan yang busuk-busuk seperti tempoyak, pekasam, petai, jering, ulam dan sebagainya. Di Terengganu juga tiada tempat atau sekolah orang mengajar Bahasa Melayu tetapi terdapat 6/7 buah rumah tempat kanak-kanak belajar mengaji. Abdullah menceritakan juga tentang dialek Terengganu di mana perkataan yang berakhir dengan n dibunyikan ng. Contohnya, ikan = ikang, tuan = tuang, bulan = bulang, makan = makang dll. Walau bagaimanapun apabila mereka menyurat betul pula ejaannya. Di Terengganu, raja dan hamba raja bermaharajalela. Setiap orang dikatakan ada 4-5 campak buang (lembing?), sebilah keris dan sebilah chenangkas (pedang panjang). Mereka tidak bekerja kecuali memikul senjta-senjata ini ke hulu ke hilir. Orang lelakinya malas tetapi orang perempuannya rajin-rajin terutamanya di dalam bidang perniagaan. Di Terengganu juga rakyat takut hendak mengumpulkan harta atau menghasilkan lebihan takut nanti diminta atau dirampas atau dirompak oleh golongan raja. Abdullah risau sekiranya kaum ibu yang bekerja dan berniaga, anak-anak di rumah akan terbiar dan tidak terurus pakaian dan makan minum mereka. Apa yang akan jadi pada generasi akan datang?

Di Kelantan lelakinya juga banyak memakai senjata. Setiap orang ada 6/7 batang campak buang di samping parang lading atau chenangkas atau pedang. Sebilah keris juga lazimnya tersisip di pinggang. Ada juga di kalangan mereka yang membawa senapang. Warna kulit mereka semuanya hitam. Tanah perkampungan orang Kelantan subur dan ditanam penuh dengan nyiur, durian dan buah-buahan tempatan yang lain. Terdapat juga binatang ternakan seperti lembu, dan kerbau yang gemuk-gemuk. Di pasar penuh dengan perempuan yang berniaga. Seperti di Terengganu, di pasar terdapat juga makanan busuk-busuk yang disukai orang tempatan seperti budu, ikan asin, siput asin dll. Orang tempatan tidak banyak makan daging tetapi sebaliknya suka makan ikan yang banyak terdapat di perairan negeri itu. Abdullah disuruh makan timun tetapi apa yang dipanggil oleh orang Kelantan timun itu adalah tembikai. Kenderaan Raja Kelantan adalah gajah. Abdullah menghadap raja, dikeluarkan tempat sirih dahulu dan dia disuruh makan sirih sementara menunggu raja santap. Raja Kelantan pada waktu itu berwajah rendah, hitam manis, tubuhnya gempal, mukanya bulat dan hidungnya mancung. Rambutnya mencecah bahu. Pada pinggangnya tersisip sebilah keris. Keadaan kampung tidak tersusun. Sampah-sarap berselerakan menyebabkan alam persekitaran berbau busuk. Orang Kelantan, sama ada raja mahupun rakyat tidak memakai kasut. Di Kelantan terdapat ramai perempuan jalang yang dikenali sebagai orang bujang. Apabila waktu petang mereka datang menghampiri perahu. Mereka datang berkemban dan memakai sanggul lintang. Pada rambut mereka diletakkan bunga melor yang telah dikarang. Bagi orang Kelantan pekerjaan ini tidak dianggap hina. Mengikut Abdullah, “adat dalam negeri tiada menjadi hina pekerjaan itu”. Kebanyakan orang Kelantan juga suka menyabung dan berjudi. Mengikut Abdullah, dari 100 orang hanya 2 sahaja yang mengikut perintah Allah seperti sembahyang. Rakyat taat kepada sultan. Apabila sultan berperang sama sendiri (perang saudara kerana berebut takhta) rakyat dikerah untuk berlawan. Mereka membuat kubu dan terpaksa membawa bekalan makan sendiri kerana raja tidak menyediakan makanan untuk mereka. Anak bini di rumah dibiar mencari nafkah sendiri. Rakyat yang dikerah berperang juga terpaksa bawa senjata sendiri kerana raja juga tidak membekalkan mereka dengan sebarang senjata. Peperangan ini biasanya memakan masa berbulan-bulan kerana masing-masing pasukan akan hanya melepaskan beberapa das tembakan dari kubu mereka setiap hari. Peperangan ini menguji ketahanan mental dan juga bekalan makanan masing-masing pasukan. Apabila makanan habis rakyat yang dikerah akan balik ke rumahnya untuk menyediakan bekalan makanan bagi jangka masa berikutnya. Di Sabak (sebuah perkampungan nelayan di tepi pantai) rakyat rata-rata miskin. Kain baju mereka compang-camping. Kepala mereka gondol. Pekerjaan penduduk ialah memukat dan bertanam padi. Tempat tinggal mereka merupakan pondok, atap dan dindingnya dibuat dari daun nipah. Lantai pula jongkang-jongkit. Kawasan rumah busuk, bau ikan dan sampah sarap yang bertimbun-timbun. Sawah mereka luas dan bersih. Di sawah terdapat beratus-ratus ekor kerbau dan lembu. Raja Kelantan disifatkan zalim oleh Abdullah. Rakyat sering dianiaya. Rakyat sehari-hari mengerjakan pekerjaan raja tetapi makan minum rakyat tersebut laki-bini tidak diberi. Sebaliknya, perahu, tanaman dan ternakan akan diambil (rampas) oleh raja mengikut sesuka hatinya. Begitu juga dengan anak-anak perempuan yang cantik akan diambil oleh raja untuk menjadi gundeknya.

Sunday, January 15, 2012

MENINGKAT lagi SETAHUN usia

Tanggal 21 Muharram (tahun hijriah) dan 18 November (tahun masihi) yang lalu genap 3 dekad diberi nafas oleh Yang Maha Kuasa untuk mengharungi lautan kehidupan dunia yang mencabar ini. Di lambung ombak, dihempas badai namun ada juga riak tenang yang menjadi guru kehidupan dibawah rahmatnya.

Menjelma sebagai makhluk yang tidak punya apa-apa menumpang kasih sayang kedua orang tua membesarkan dan memberi pendidikan yang seadanya. Ya ALLAH tuhanku Yang Maha Pemurah kau kurniakanlah limpahan rahmatmu keatas kedua orang tuaku yang banyak berjasa dalam menggalas amanahMU. Buat semua adik beradikku, saudara mara  semua sememangnya kehidupan bersama kalian adalah anugerah TUHAN yang amat baik telah diberikan. Segala hubungan baik yang dilalui akan mendapat kerdhaan ILAHI dan pahala yang meliputi. Sekalung ingatan kepada rakan taulan dan maulan yang sama-sama mengharungi sejak di alam permainan, persekolahan serta pekerjaan amat dihargai.

Lama telah kulalui kadangkalanya berlari, meniti dan berjalan kesana-kemari menghabiskan usia menambah catatan diari kehidupan dunia namun kadang terlupa kita akan menuju kehidupan yang abadi. Alangkah indahnya kehidupan yang penuh ranjau dugaan kadang tersepit dan selalunya bernasib baik menjadi pelajaran dan pengalaman manis dan pahit yang tak perlu diungkit. Rezeki yang dikurnia setelah bergelar seorang suami dan bapa amat disyukuri dan diinsafi semoga berkat dari ilahi mampu menambahkan kebahagiaan yang berseri. 

Tanggungjawab sebagai seorang pekerja semakin bertambah dengan dugaan dan cabaran bersilih ganti dalam memenuhi hala tuju organisasi. Setiap amanah yang dipikul adalah kepuasan dari penat lelah keletihan dari kerahan pihak atasan namun itu semua adalah satu tanggungjawab yang perlu dibereskan dengan niat beribadat asalkan kerana tuhan. Kesihatan yang baik walaupun ada ketikanya sakit sebagai penghapus dosa atas kelakuan yang agak tidak baik ditambah dengan usaha nekad menjauhi tabiat menyedut nikotin sejak menjelmanya 1 Ramadhan yang lalu.

Kisah sedih menutup tahun lepas dengan pemergian ibunda tercinta yang dikasihi setelah hampir dua bulan bertarung dengan ujian diabetes dari Allah sebagai asbab menuju ke hadrat Maha Pencipta pada 17 Muharram/13 Disember baru-baru ini. Emak yang disayangi memang telah banyak berjasa melahirkan, menyusui serta mengasuh anaknya yang kelima ini dengan susah payah namun penuh tabah dalam membentuh sahsiah dan sifat-sifat mahmudah kepada kami sekeluarga di usia 64 tahun.

Dengan doa dan harapan semoga masa-masa mendatang lebih membahagiakan dengan kesihatan yang lebih baik dalam menjalani kehidupan sebagai seorang hamba tuhan yang dekat dalam kerahmatan .

Monday, May 9, 2011

Roh dalam Gen anda 

Para saintis yang percaya gen anda dibentuk sebahagian oleh pengalaman hidup nenek moyang anda.Biologi berdiri di ambang pergeseran dalam pemahaman tentang warisan. Penemuan Epigenetika - pengaruh tersembunyi pada gen - boleh mempengaruhi setiap aspek kehidupan kita.
Di dalam bidang baru ini adalah idea yang sederhana tapi masih menjadi perdebatan - bahawa gen mempunyai 'ingatan'. Bahwa kehidupan datuk anda - mereka menghirup udara, makanan yang mereka makan, bahkan hal-hal yang mereka lihat - langsung dapat mempengaruhi anda, dekad kemudian, walaupun anda tidak pernah mengalami hal-hal sendiri. Dan bahawa apa yang anda lakukan dalam seumur hidup anda boleh di gilirannya mempengaruhi cucu anda.
Pandangan konvensional adalah bahawa DNA membawa semua maklumat diwariskan dan bahawa tidak ada seorang individu tidak dalam hidup mereka akan biologi dilewatkan ke anak-anak mereka. Untuk banyak saintis, Epigenetika sebanyak bidaah, memanggil mempersoalkan pandangan yang diterima daripada urutan DNA - landasan yang duduk biologi moden. 

Epigenetika menambah lapisan baru untuk gen DNA di luar. Ini mencadangkan sebuah sistem kawalan 'suis' yang menghidupkan atau mematikan gen - dan menunjukkan bahawa orang mengalami hal-hal, seperti gizi dan stres, dapat mengendalikan switch ini dan menyebabkan kesan diwariskan pada manusia.
Dalam sebuah bandar terpencil di Sweden utara ada bukti untuk idea radikal. Berbaring di paroki Registries Överkalix tentang kelahiran dan kematian dan nota yang lengkap dan tuai adalah rahsia yang meranapkan berfikir saintifik tradisional. Marcus Pembrey, seorang Profesor Genetik Klinis di Institut Kesihatan Anak di London, bekerja sama dengan penyelidik Sweden Lars Olov Bygren, telah menemui bukti dalam catatan dari pengaruh persekitaran yang diturunkan dari generasi ke generasi. Mereka telah menunjukkan bahawa kelaparan di saat kritis dalam kehidupan datuk dan nenek boleh mempengaruhi harapan hidup orang cucu. Ini merupakan bukti pertama bahawa pengaruh persekitaran dapat diwariskan pada manusia.
Dalam kumpulan bebas lain di seluruh dunia, penggunaan pertama bahawa ada lebih daripada sekadar warisan gen datang ke cahaya. Mekanisme dengan mana penemuan ini luar biasa bisa dijelaskan mulai terungkap. Profesor Wolf Reik, di Institut Babraham di Cambridge, telah bertahun-tahun mempelajari dunia ini hantu tersembunyi. Dia telah mendapati bahawa hanya memanipulasi embrio tikus sudah cukup untuk mematikan 'switch' yang menghidupkan atau mematikan gen.
Untuk ibu-ibu seperti Stephanie Mullins, yang memiliki anak pertama dengan persenyawaan in vitro, ini mempunyai implikasi yang mendalam. Ini bermakna ada kemungkinan bahawa prosedur IVF disebabkan Cairan anaknya yang lahir dengan Sindrom Beckwith-Wiedemann - kelainan langka yang berkaitan dengan ekspresi gen abnormal. Telah menunjukkan bahawa bayi dikandung oleh IVF mempunyai tiga peluang meningkat empat kali ganda mengembangkan keadaan ini. 

Dan pekerjaan Reik telah melangkah lebih jauh, yang menunjukkan bahawa switch sendiri bisa diwariskan. Hal ini bermakna bahawa 'memori' dari suatu peristiwa bisa dilalui generasi. Sebuah pengaruh persekitaran sederhana boleh bertukar atau mematikan gen - dan perubahan ini boleh diwariskan.
Penelitiannya menunjukkan bahawa gen dan persekitaran tidak saling eksklusif tapi erat berkaitan, satu mempengaruhi yang lain. 

Gagasan bahawa warisan bukan hanya tentang yang mewarisi gen-gen anda tetapi apakah ini dihidupkan atau off adalah frontier baru dalam biologi. Hal ini menimbulkan pertanyaan dengan implikasi yang besar, dan bererti pencarian akan hidup kembali untuk mencari apa semacam kesan persekitaran boleh mempengaruhi switch ini.
Setelah peristiwa tragis 11 September 2001, Rachel Yehuda, seorang psikolog di Mount Sinai School of Medicine di New York, mempelajari kesan stres pada sekelompok wanita yang berada di dalam atau di dekat World Trade Center dan hamil pada saat . Dihasilkan dalam hubungannya dengan Jonathan Seckl, seorang doktor Edinburgh, hasil nya menunjukkan bahawa kesan stres dapat mewariskan generasi. Sementara penelitian di Washington University Mata Negara untuk kesan racun - paparan suka fungisida atau racun perosak - menyebabkan perubahan biologi pada tikus yang bertahan selama sekurang-kurangnya empat generasi.
Karya ini berada di garis depan pergeseran paradigma dalam berfikir saintifik. Ini akan mengubah cara penyebab penyakit dipandang, serta pentingnya gaya hidup dan hubungan keluarga. Apa yang dilakukan orang tidak lagi hanya mempengaruhi diri mereka sendiri, tetapi dapat menentukan kesihatan anak-anak mereka dan cucu dalam beberapa dekad mendatang. "Kita," sebagai Marcus Pembrey berkata, "semua penjaga genom kita." 

Google translate

Sunday, May 8, 2011

Minda yang terpenjara

"Banyak membaca luas pengetahuan" dan firman Maha Pencipta "(Wahai Muhammad bacalah) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian mahkluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”. (Al-'Alaq :1-5)

Dewasa ini kita umat manusia telah dinaungi dengan 1001 jenis media perkhabaran yang tertulis diakhbar, melayang diudara (televisyen) dan didalam poket seluar (Telefon bimbit). Namun sejauh mana diri kita dipengaruhi dengan berita-berita ini yang hanya sekadar sensasi ataupun sememangnya realiti. Lihat sahaja iklan dikaca TV atau terpampang di papan iklan yang kebanyakan hanyalah fantasi atau pembohongan seni untuk meraih publisiti dan keuntungan sendiri.

Kita boleh membaca apa saja namun kita tidak boleh percaya membabi buta kerana kita diberi kuasa memilih, berfikir dan mempercayai mengikut pemahaman kita sendiri kerana manusia pada zaman ini telah bebas merdeka dalam kamus demokrasi. Setiap apa yang kita baca akan memberi pengaruh kepada pemikiran dan cara kita membuat keputusan. Dunia hari ini sememangnya sarat dengan limpahan media dan entiti 'perang saraf' dari golongan peniaga mahupun pihak berkuasa. Ahli politik juga sering menjadikan media sebagai bahan tunggangan utama bagi menabur baja atau racun terhadap sesiapa jua agar dapat mempengaruhi undi bila tiba masanya nanti. Akhir zaman memang penuh dengan prasangka, pembohongan licik dan berkala agar setiap minda manusia sentiasa terpasong dan terpengaruh dengan beberapa agenda penyebar berita penunggang media kerana ia adalah lebih tajam dari mata pedang seperti pesan Baginda S.A.W.

Membaca sebenarnya penting bagi kita kerana kita boleh membuat pilihan atas alasan pemahaman dari minda yang dianugerahkan. Mengikut dengan membuta tuli tanpa usul periksa dan percaya sebab orang lain percaya seperti berada dalam kawanan yang gempar seketika bagai ada singa yang mahu menerpa namun hanyalah anjing liar sesat yang kunjung tiba. Jangan hanya menjadi pak turut yang punya sifat kedekut dalam memikirkan apa sebenarnya yang betul dan apa yang mengarut. Memenjara minda dari membaca dan memasang telinga seluas2nya hanya untuk ketawa kenyang dengan nikmat dunia. Aku berlindung dengan Maha Penciptaku yang mengajar manusia melalui para Rasul dan Nabi NYA.

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia
yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah),
dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah)

dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya; dan Allah membiarkan mereka meraba-raba (dengan bingung) dalam kesesatan mereka. "

Monday, February 28, 2011

Apabila pengembala dihambat biri2

Tahun ini bermula dengan lakaran sejarah yang penuh bererti dalam pelbagai warna warni beremosi. Sudah sebelas tahun dunia melangkah ke alaf baru yang penuh kejutan bermula dengan tanggapan trauma ketakutan bersejarah Y2k. Tidak lama lagi dunia akan di sajikan pula dengan ketakutan atau trauma 2012 sebagai tahun bencana sebagaimana sekelompok kapitalis merwar2kan isu pemanasan global yang melariskan jualan 'hijau' mereka.

Februari menjadi saksi apabila dua manusia berkuasa terpaksa cabut lari dari tanah air sendiri yang dahulunya merekalah yang beraja dimata dan bersultan di hati. Sekarang ini, segenap rakyat di seluruh dunia membenci dan mencaci diatas kezaliman mereka terhadap rakyat sendiri. Mereka mungkin bahagia beberapa hari namun derita di saat umur yang semakin tua adalah suatu mimpi ngeri yang tiada bertepi.

Ini adalah kiasannya, apabila si pengembala mula tidak dihormati dan ditakuti lagi. Ironinya pengembala mungkin hanya menuruti perintah dari pemilik sebenar biri-biri? Pengembala kaya selalunya dibantu oleh anjing-anjingnya yang setia dengan tugasannya. Mereka juga mempunyai kuda-kuda gagah bagi mengawal luas kawasan ragutnya. Satu ketika dahulu, tugas pengembala biasa hanya membawa kawanan biri-birinya ke satu kawasan dataran hijau dan membiarkannya meragut disitu tanpa bimbang mereka lari atau pergi meninggalkannya. Sambil bersandar pada sebatang pohon, meniup seruling menerjah kesunyian dataran hingga tertidur keletihan. Apabila senja mula menjelma, pengembala mula mengumpul kawanan biri-birinya untuk pulang kembali ke kandang untuk megelakkan dari terancam oleh binatang-binatang buas yang mahu menerkam.

Pengembala selalunya bukan tuan punya kawanan biri-birinya kerana hanya mengambil upah menjaga dan mengawalnya. Mereka akan dikira gagal apabila jika kehilangan atau susutnya nilai sesuatu kawanan. Di burukkan lagi dengan kawasan ragut yang dibawanya tandus dan tidak subur dengan rumput - rumpainya atau hanya sebuah lembah yang banyak curam dan gaung yang boleh menjadi jerat yang mengancam nyawa kawanan tersebut. Jika padang ragutnya sudah tidak subur, binatang buas berkeliaran dan nyawa kawanan terancam adakah itu kejayaan atau sebagai penunjuk prestasi yang di war2kan dewasa ini. Bila kelaparan mengundang, kebebasan dan keselesaan dinafikan maka akan ada munculnya sekawanan yang mula berasa geram dan emosi protes hasil dari perasaan tidak puas hati. Kehidupan yang selalunya aman dan tenteram akan seringkali diuji dengan ujian yang 1001 satu macam. Bila suasana selalunya muram, langkah kaki dan lajunya lari menjadi tidak bererti lagi. Bila suburnya kawasan ragut tidak dipeduli, keselamatan kawanan dibiarkan sesuka hati dan kekenyangan mereka masih belum dipenuhi walaupun  sehingga dinihari.

Apabila nasib dan hak kawanan tidak dipeduli, bagaimana mereka mahu pulang bila senja mula mendatang? Jika kenyang masih belum diperolehi mereka mungkin tidak peduli dengan ancaman sekeliling biarpun hari semakin gelap. Anjing-anjing si pengembala yang menyalak nyaringpun mereka apa peduli. Walaupun kuda si pengembala berdiri dengan dua kaki menghalau dan menakutkan kawanan biri-biri namun mereka tidak peduli dan tak mahu menuruti. Bila anjing-anjing itu menyalak dan menggertak namun mereka apa peduli dengan itu semua jika perut masih belum terisi dengan padang ragut yang tidak berseri penuh dengan tumbuhan berduri. Semangat asli dari naluri telah menguatkan mereka merempuh dan menggasak apa saja bila kemahuan dan hak di pasak. Sekarang mereka tidak peduli lagi kerana jika hidup pun seperti mati dan jika bebaspun masih seperti di dalam sangkar besi. Habis semua anjing-anjing lari jika keadaan telah semakin meruncing. Kuda si pengembala hanya boleh berdengus hampa kerana segala usaha telah menjadi sia-sia. Amat malang sekali apabila si pengembala dihambat biri-biri.