Sunday, June 17, 2007

Merdeka,Merdeka...

31 bulan 8, 5 puluh 7, hari mulia negara ku merdeka...

Kalau manusia, baru setahun mengecapi kehidupan sebagai pesara sama ada mendapat wang pencen bulanan atau 'lumsum' dari tabung pesaraan (EPF). Apa-pun jawapannya, kehidupan tersebut telah cukup berusia dan boleh dikatakan menyambut ulang tahun ke 17 tahun selepas kehidupan baru bermula ketika genap 4 puluh tahun hidup.


Bagi negaraku Malaya, selepastu Malaysia, cukup bertuah kerana perjalanannya amat mempersonakan. Walaupun permulaannya penuh dengan duka, hiba tetapi ada juga tawa dan ceria sebagai pelengkap agar terus bergerak di landasan tanpa tergelincir kecuali ada tikanya ia diperlahankan oleh suasana yang menganggu tapi tidak cukup untuk menghentikan perjalanannya terus menuju keterbilangan dengan kecemerlangannya.


Cukup untuk dikatakan bahawa merdeka ini adalah hasil pengorbanan generasi lalu yang bersusah payah menyediakan untuk generasi pewarisnya tapak untuk terus menghadapi kehidupan dengan perjalanan yang cukup selesa. Mereka telah melakukan segalanya dengan penuh rela dengan semangat cinta mereka kepada keluarga, bangsa, agama untuk terus menstabilkan Negara Tanah Jantan Nusantara.


Syabas semua usaha yang membenihkan MERDEKA.


Tuesday, June 12, 2007

Bersiaran di tanah penuh kesempatan


Tanggal 18 Jun 2007, jam 6.10 pagi, menunggang motorsikal sepeninggalan Allahyarham Munzir, abang tunggalku yang di hormati menuju ke Dayabumi untuk terus mengambil Putra LRT ke KL Sentral dan menaiki bas ke Terminal Pengangkutan Tambang Murah (LCCT) bagi membuat perjalanan sulungku untuk tahun ini ke luar negeri setelah sekian lama menyepi di arena 'Bagpacker' yang dulu pernah menjadi hobi pantang cuti hujung minggu.


Rekodnya perjalananku kali ini adalah yang pertamanya berkumpulan sehingga 24 orang untuk ke Bandung melalui Jakarta lalu singgah di Puncak dan pulang ke Kuala Lumpur juga melalui Jakarta (Jaya Karta atau Batavia). Di angkut oleh Air Asia Indonesia di Lapangan Terbang Sukarno-Hatta (dua jagoan pembentukan Indonesia) menanti Bas Periwisata (Pelancong) yang hampir 2 jam ditunggu tak kunjung tiba. Semua kami telah hampa, tapi apakan daya mood percutian harus dijaga agar tidak tercoret luka.


Wah, besarnya Jakarta, patutlah penghuninya hampir 10 juta dan menjadi nadi Tanah Jawa. Kami akhirnya diangkut oleh bas gantian lalu terus ke Bandung sebagai objektifnya. Melalui lebuh raya di kiri kanan kota sehingga ke kawasan desa akhirnya sampai ke destinasinya. Wah, nyaman hawanya di bandar tanah tinggi ini dengan penghuni wanitanya amat cantik sekali dan betul kata mereka, disini memang ramai cewek-cewek cantik yang tiada tandingannya di negara kepulauan ini. Jadual membeli-belah pertama terus diisi sebelum menginap di Hotel Sukajadi. Nasi Sunda menjadi hidangan pertama kami pilihan pemandu jalan kami yang di seru sebagai Pak Ari berketurunan Minang dari Padang.


Keesokan paginya, terus ke destinasi berikutnya, Gunung Berapi Tangkuban Perahu yang terkenal dengan lagendanya Sang Kuriang bercinta dengan ibunya. Perjalanan yang sungguh mendamaikan dengan persekitaran yang penuh dengan tanaman sayuran persis Tanah Tinggi Cameron. Di ketinggian hampir 3000 meter amat nyaman sekali dengan suasana hutan di kaki Gunung Berapi. Hajat di hati dan imaginasi ingin sekali menikmati suasana dan keindahan di pinggiran kawah gunung berapi, malangnya diganggu oleh peniaga-peniaga yang tidak ada adab sama sekali yang amat kesempitan untuk mencari rezeki sesuap nasi atau hanya mahu berjoli. Ah, nanti akan ku kunjung sekali lagi wahai Gunung Berapi Perahu Terlangkup binaan Sang Kuriang. Meneruskan perjalanan ke Puncak yang lagi tinggi dari destinasi tadi tanpa meninggalkan aktiviti membeli sekali lagi di Heritage Bandung dan Makan di Restauran Simpang Raya dengan dihidangkan Nasi Padang buat pertama kalinya. Seterusnya ke Pekan Baru dan Jalan Cibaduyut untuk aktiviti menukar Rupiah dengan barang=barang yang digemari.


Perjalanan terus ke Puncak sehingga lewat malam untuk terus melepaskan penat di kawasan paling sejuk di Jawa Barat. Tidur tanpa penyaman Udara tapi berselimut seboleh-bolehnya takut beku dan kecut segalanya. Ada rakan-rakan yang bahagaia menikmati malam di sini dan membuatkan mereka tersenyum di Malaysia nanti,hehe. Paginya selepas bersarapan, kami terus bertolak ke Taman Safari Ibu Tien (Isteri Sukarno) punya ilham dengan melalui ladang-ladang teh. Pertama kali rupanya aku ke tempat sebegini, selalunya tengok di dalam TV binatang-binatang ini.


Setelah selesai di safari, kami teruskan perjalanan ke Jakarta melalui jalan raya biasa dan singgah makan juga di restauran yang di punyai tauke yang sama dengan hidangan nasi padang yang sudah mula jemu dengan lauk pauk yang kurang menyelerakan. Setelah itu, terus ke kompleks membeli-belah Mangga 2 (WTC, ITC) yang mempunyai empat blok yang bersambung dan memang besar sekali dan memang tiada yang sebesar ini di Kuala Lumpur untuk aktiviti yang rata-rata digemari oleh kebanyakan kami, menghabiskan matawang Rupiah (1000 rp = 0.391 sen). Memang sesak pasarnya, bukan ribuan, jutaan manusia ku kira menjalankan pelbagai aktiviti di sini.


Lewat senja (Sore) kami bergegas ke Jakarta dan tiba untuk menjamu selera juga dengan hidangan dan restauran yang dipunyai oleh orang yang sama, ketidakpuasan hati sudah membuak-buak di dalam hati, tapi tidak baik memperlekehkan rezeki. Terus melepaskan penat lelah di Hotel Gren Alia jalan Cikini, aktiviti malam hanya dengan berjalan kaki melihat suasana malam orang-orang disini dan menonton TV tempatan yang berbelas saluran.


Esoknya, perjalanan hampir tamat dengan aktiviti khatam Mangga 2 sekali lagi dalam masa hampir satu jam untuk menghabiskan sisa-sisa Rupiah yang masih terselit di 'wallet' masing-masing sebelum sampai ke negara Malaysia yang ku cintai, negeri bertuah dari negeri yang baru dilawati ini, negara yang memerlukan usaha tinggi untuk terus hidup mencari sesuap Bakso, Mi Kocok atau lain-lain keperluan.


Setiap kesempatan yang diperasan, jangan sesekali dilepaskan, itulah nota kaki penghuni negara ribuan kepulauan ini. Segala Puji untuk Sang Pencipta kerana Rahmatnya.


Masih diberi peluang...


"Selagi hidup belum sudah,aku akan terus melangkah, bersama dahan yang rapuh, tempatku berteduh..."

Tanggal 26 Mei 2007, Sabtu(Sabbath) jam 4 ptg(16:00) telah ditakdirkan atas kelalaianku yang merasakan hebat untuk terus memandu dalam keadaan yang kurang istirehat mendapat kecelakaan terburuk sejak hampir 26 tahun di dalam kehidupan ini.


Amat dasyat sekali ujian dan kasih sayangnya terhadapku, memang benar kalamnya menyatakan. Nah, hampir maut aku dibuatnya jikalau tidak bukan kerana nikmatnya mungkin aku tidak punyai kesempatan lagi untuk berlakon di pentas dunia ini. Watak ku mungkin telah diganti atau skripnya sudah tidak ada lagi.


Pemergianku ke Timur Inderapura untuk menghadiri majlis bahagia bekas kekasihku yang pernah ku cinta. Tiada perasaan kecewa namun hiba menjelma di luar kawalan dan sifat semulajadi seorang manusia yang berperasaan CINTA. Indah sungguh perjalanan dengan teman sabahan yang peramah dan mesra sebagai teman berbicara.


Degilnya aku tanpa sedar, baru hampir 15 minit memasuki lebuhraya, rasa mengantuk datang menjelma. Niat mahu berhenti seketika untuk membasuh muka dan mengisi cecair tenaga kereta dan kepala terdetik setelah membaca papan tanda 'Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gambang 5 km'.


Mimpi indah menjelma dan tersentak bila geselan kereta terkena pembahagi jalan, terus mengawal stereng lalu berpusing ke kiri dan tersangkut pula di pembahagi jalan juga, melihat akan gaung yang hampir melambai, segala puji untuknya yang Maha Mengasihani telah menyelamatkanku. Terpelantinglah kereta ku berpusing ke seblah kanan semula lalu berhenti dan menarik nafas lega, hampir beberapa minit kelu dan tidak berkata apa-apa, mujurlah pengguna jalanraya yang lain prihatin memberikan bantuan seadanya walaupun aku masih dalam separuh sedar dan tertanya-tanya, adakah aku masih lena?


Mungkin ini semua tegurannya?atau kecuaian manusia?atau kecelakaan akibat segalanya? Ah, yang penting, aku masih diberi nyawa, aku sekali-kali tidak akan lupa, kehidupan ini masih tiada noktahnya.


"Aku yang masih di perjalanan, hidup ini"

Wednesday, May 9, 2007

NEGARAKU


NEGARAKU bumi bertuah, nikmat melimpah ruah dengan hasil bumi dan muhibbah rakyatnya.

TANAH TUMPAHNYA DARAHKU sebagai rakyat yang berjiwa gagah dalam menempuhi hidup yang sungguh mencabar dan susah.

RAKYAT HIDUP sungguh mihibbah dengan pemimpin yang hebat dipilih ramai untuk memerintah.

BERSATU DAN MAJU dengan kepintaran dan modal keinsanan untuk hidup aman sejahtera dibawah naungan baginda tuanku.

RAHMAT BAHGIA selamanya memberkati rakyatnya yang beragama dan berbilang bangsa.

TUHAN KURNIAKAN segalanya dan jangan abaikannya atau membinasakannya dan gunakannlah sepenuhnya dan percayalah kepadanya.

RAJA KITA yang dimuliai sebagai tempat bernaung rakyatnya serela hati melalui kesopanan dan kesusilaan berbudi.


CINTA


Satu perasaan lahiriah manusia, "Wahai manusia, CINTAILAH dirimu, selepas itu CINTAILAH kedua orang tuamu, maka cintailah saudara-mara seketurunan denganmu, maka juga CINTAILAH sahabat-sahabatmu seterusnya semua manusia yang berada di sekelilingmu", Pesan Maha Pencipta. Aduh, lalu bersinlah sekujur tubuh yang di adun dari tujuh tanah benua dunia tanah dan di bentuk oleh hambanya yang menjadi penyampai dari kejadian cahaya.


Ditiupkan kedalam tubuh itu ROH dari sisinya serta NAFSU untuk menikmati segala rasa yang telah di ajarkannya tentang NERAKA selama seganda abad untuk mengaku bahawa dia adalah hamba kepada Maha Pencipta. Dengan CINTANYA, maka jadilah ia seorang manusia. Di ajarkannya tentang dunia dengan pekakas AKAL anugerah tunggalnya dan lengkaplah kejadian satu makhluk bergelar MANUSIA.


"Oh celaka! aku ini disuruhnya sujud di depan tanah liat hitam yang busuk dan bernyawa ini?" protes dia sebagai ketua segala makluk yang taat dan kuat beribadat kepada Maha Pencipta. Murkanya pencipta sehingga tiba-tiba menjadi satu makhluk DERHAKA, bahan api NERAKA lah jadinya akan dia. "Ah, akan ku tarik dia itu dan keturunannya kedalam lubang yang menjadikanku celaka.


Sesusuk tubuh sempurna telah memiliki semuanya dengan diberi ADAM sebagai namanya, merasai betapa nikmat syurga lalu merindukan seorang teman untuk merasai nikmat yang sama. Maha Mengetahui lalu mencipta dari sebatang rusuk tubuh manusia, maka dijadikanlah sesusuk tubuh seorang lagi manusia bernama HAWA. Bergembiranya ketawa kerana punyai TEMAN menikmati SYURGA hingga lupa akan NAFSUNYA kepada NERAKA.


"Makanlah buah ini kanda", kata Hawa kepada temannya itu. "Bukankah Maha Bijaksana melarang kita hampiri pohon ini?", kata Adam agak curiga. "Inilah pohon yang menjadikan kita kekal abadi di dalam syurga", balas Hawa dengan pujukan mesra penuh menggoda. Maka kedua mempelai itu melazatkan mulutnya dengan Khuldi yang penuh rasa. "Keluarlah kamu dari syurga akibat percaya kepada selainku wahai manusia yang sering terpedaya, jika nafsumu lebih berkuasa dari akalmu yag bijaksana" suara Maha Pencipta.


"Oh, ampunilah kami semua, kami memang lemah segalanya kerana nafsu yang merasa dan kami lupa akan akal bijaksana yang kami ada", harapan mereka kepada Maha Pencipta. Lalu turunlah mereka ke DUNIA sebagai PENTAS sementara dengan LALUAN yang berbeza untuk ke destinasi SELAMANYA ke SYURGA atau NERAKA. Hambah angkuh yang derhaka telah menunggu untuk menyesatkannya walau seketika, walau sekelip mata atau selama-lamanya. Mereka berdua dan keturunannya akan kembali mengadap Maha Pencipta, diadili oleh juga Maha Bijaksana untuk di AMPUN dosa mereka oleh Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. "Masukkilah Syurga wahai manusia selagi kamu mengaku aku sebagai Maha Pencipta", ujar Maha Pencinta dengan penuh sifat CINTA, satu aksesori dalam kehidupan seorang MANUSIA sama ada dia bertubuh ADAM atau HAWA.


Semuanya Atas Nama CINTA.






Sunday, May 6, 2007

Perjalanan Di Utara Yang Mendamaikan


Setelah tiga malam berada di Kelantan, terasa seperti berada di alam percutian. Masa pulang ke pangkal jalan tempat berdiam dan bekerja sudah tiba.


Dengan memilih laluan melalui jalan ditepi sempadan, Lebuhraya Timur Barat (sebenarnya jalan perseketuan) adalah untuk mencuba pengalaman baru dan sebagai pelengkap untukku memandu dalam rekod memandu di semua jalan raya seluruh malaysia. Permulaannya di Pekan Rantau Panjang melalui kawasan pergunungan dan Banjaran Titiwangsa yang memberikan panorama yang menenagkan dengan suasana yang agak nyaman menjadikan perjalanan kami begitu mendamaikan. Singgah di Tasik Banding, salah satu kawasan tadahan Empangan Chenderoh sungguh menteteramkan jiwa, dengan keluasannya saujana mata memandang, keadaan sekitarnya yang bergunung ganang. Begitu juga bila singgah makan di Puncak Titiwangsa dengan angin hawa bukit yang sungguh mendamaikan memukau pandangan mata.


Perjalanan diteruskan dengan memasuki kawasan Hulu Negeri Perak, dengan kampung-kampung tradisi dengan nama-nama yang agak mencuit hati. Perjalanan melalui negeri ini ke Kualal Lumpur mengambil masa yang agak lama hampir 10 jam, tetapi ia tidaklah begitu memenatkan kerana suasana persekitaran agak mendamaikan sehingga masuk kembali ke Lebuhraya Utara-Selatan melalui pekan Kuala Kangsar.


Kelantan Membangun Bersama ISLAM


Terdetik untuk menulis tentang sebuah negeri di timur laut semenanjung tanah melayu ini, 'negeri serendah sekebun bunga' pernah diperintah oleh seoarang raja kaum hawa.


Perjalanan yang mengambil masa 6 jam dari KL melalui Gombak-Karak-Gua Musang amat memenatkan kerana tiada lebuhraya yang sesuai dibina untuk mereka yang berulang-alik.

Sekarang negeri ini telah diperintah oleh mereka yang medakwa mereka yang memperjuangkan ISLAM secara total. Memang benar, mereka memperjuangkannya, mereka mempunyai prinsip dalam pemerintahannya. Lihat sahaja di Bandar Kota Bharu yang tak kurang hebatnya dengan bandar Kuantan, bezanya hanya tiada kawasan hiburan tempat ternak iblis dan syaitan, tetapi masih juga ada tempat-tempat berpeleseran seperti di pasar-pasar harian. Di Kota Bharu (Newcastle) sahaja terdapat 3 tempat membeli belah tersohor zaman berzaman iaitu Pasar Siti Khadijah, Pasar Buluh Kubu dan juga Wakaf Che Yeh. Terdapat satu lagi destinasi membeli belah jauh nun di sempadan, Pekan Rantau Panjang tanah jajahan Pasir Mas.


Sedikitpun tidak merasa bosan bila anda melawat ke Kelantan, walaupun ia adalah Negeri Bukan Kerajaan Persekutuan. Semua iklan, perniagaan dan segala urusan haruslah mengikut garis panduan kerajaan. Syabas untuk rakyat kelantan kerana masih bebas dan belum ada kebuluran walaupun berlainan kerajaan.