Wednesday, March 22, 2017

Pentas dunia boneka, minda dan jasad hanya tunggul sahaja

Dunia semakin cepat beredar walaupun masa tetap sama 24jam sehari dan matahari serta bulan terus bersilih ganti seperti biasa namun perasaan kita merasakan akan kecepatannya. Sebenarnya bila dunia moden hari ini pelbagai aktiviti dan masa yang dilalui terbuang begitu sahaja.

Sekarang kalau dihitung dari permulaan bangun tidur sehingga menaiki kenderaan, berapa lama masa yang kita guna sehingga sampai ke destinasi atau tempat kerja. Dalam pada itu, berapa lama masa telah dihabiskan untuk membelek pada skrin gajet yang menjadi 'trend' masa kini. Tidak ketinggalan bagi mereka yang memandu kereta akan menghabiskan masa di jalan raya dan pada masa itu juga telefon pintar masih lagi dicuri buka dan jari-jemari masih sibuk menguisnya.

Secara tidak sedar kita hanyalah sebuah patung yang punya minda dan jasad kaku punyai indera namun semuanya seolah dikawal rapi oleh satu sistem kerja yang hampir sama rutinnya. Minda telah dikawal dan di 'set-up' melalu kawalan peranti yang menjadi dambaan atau pujaan manusia sehingga terlupa dunia nyata. Jasad tidak lagi bergerak sepenuhnya kerana dunia maya tidak memerlukannya.

Dunia boneka hanya menjadi medan bagi manusia yang alpa tanpa sedar mereka telah diikat oleh satu sistem dunia tanpa sempadan (Internet). Segalanya dikawal atau bertindak melalui jari-jemari sehingga melangkah dan berjalan mata hanya tertumpu pada latar kaca beberapa inci itu sahaja. Sememangnya masih punya waktu terluan untuk berinteraksi sesama kita namun berpa lamakah kita menghabiskan masa untuk dunia itu? Dunia nyata yang punya 24 jam sehari ini semakin sepi oleh perangai manusia yang menjadi boneka dunia maya tak bertepi itu.

Semakin hari semakin jauh kita berlari dan bermimpi tetapi sayangnya bukan di dunia realiti tetapi semakin banyak masa kita didunia maya yang rapuh dan tak wujud di alam realiti kerana semua gambaran pada latar skrin itu hanya melekat pada memori-memori ciptaan bait-bait elektronik yang pasti padam dan boleh hilang secara semulajadi. Inilah dunia boneka khayalan yang disangka abadi tetapi hanyalah mainan jari-jemari seperti mimpi semalam yang hilang bila kita telah bangun dari tidur setiap pagi. 

Thursday, December 22, 2016

Dunia semakin tua

Dunia semakin tua kerana masa semakin pantas berlalu hinggakan setahun hanya seperti beberapa bulan yang lalu.

Perjalanan dalam meniti dan melayari arus kehidupan semaiin berliku dan bergelombang dengan pertrmbungan pelbagai teknologi yang membuatkan dunia ini semakin palsu.

Sukarnya untuk mengelak dari terjebak dengan tipu daya dunia palsu dengan kadangkalanya tersepak dan terlajak akan umpan yang selalunya didambakan nafsu dan akal yang tertipu.

Takdir itu telah tertulis dalam bentuk yang kita sendiri lukis ataupun yang sememangnya perlu diturut garisnya dan jika kita faham akan hakikat hidup ini hanya sementara dan dunia ini hanyalah pentas pancaroba sebelum dihitung dan diberi hukuman dan hidup bersambung ke dunia pembalasan yang akan kekal selamanya.

Sejarah itu adalah pusingan roda kerana yang mengayuhnya adalah manusia yang bersambung dari legasi dan keturunan yang sama punya akal serta perangai semulajadi dengan keinginan naluri yang telah tersedia oleh penciptanya.

Masa itu adalah penggiliran siang dan malam yang dicipta untuk manusia menggunakan sebaik-baiknya namun kemajuan dan teknologi terkini membuatkan manusia tidak lagi dapat membezakan malam dan siang itu kerana terus menerus bekerja dan berusaha demi mendapatkan maksud dan tujuannya.

Tuesday, November 24, 2015

Pencatur mengocak, pembidik mengelak

Dunia bergelombang dikocak para pencatur beragenda.

Bila lihat sebabak coretan layar setiap hari itulah takdirnya.

Bila dengar cerita dan peristiwa yang berlaku kita tahu siapa angkaranya.

Jika menoleh sejarah lalu tiada gundah dan keliru kita akan menatapnya dengan senyuman yang faham takdir dan hukumya.

Jika dunia sekajang papan catur dengan berjuta buahnya dan beripu petaknya dikawal dan dipemainkan oleh mereka yang punya agenda dan segala perusahan yang menurut segala kemahuan dan hawa nafsunya.

Baca sahaja jurnal dan makalah sejarah lama selama beribu tahun dunia ini dicatur dan dipolitikkan bagi menjadi penguasa atas segala manusia.

Bermula sejarah kemodenan manusia alaf baru bermulanya tahun Masihi yang kini telah berjalan selama 2015 tahun lamanya.

Kelihatan kelompok penguasa manusia dari segenap penjuru muka bumi bersaing dan berebut dengan saling berbunuhan bagi mengumpul segala kemewahan dan kekayaan semaksimanya.

Kini kelompoknya kita lihat semakin kurang dari sepuluh negara atau kuasa besar yang berperanan sehinggalah tinggal hanya satu yang akan menunjukkan kebenaran.

Dunia baru yang direncana adalah untuk meletakkan semuanya dibawah satu kuasa pusat namun masa yang akan menentukannya.

Sistem baru secara maya mula mengambil alih segala punca dan proksi kuasa untuk mengawal segala penguasa dalam urus tadbir dunia yang digerak dengan penuh strategi yang licik dengan gaya politik dan diplomatik.

Semuanya yang berlaku adalah takdir dan ketentuan hukumnya didalam satu ayat, "mereka hanyalah merencana tetapi mereka lupa bahawa tuhan(Allah) sebaik-baik perencana"

Thursday, July 2, 2015

2015: Semakin tinggi gelombang, semakin berdurinya jalanan.

"Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."

Tahun ini adalah tahun-tahun yang semakin mencabar dengan fitnah kehidupan duniawi yang mencengkam. Amanah membesarkan tiga cahyamata juga menambahkan lagi asam garam dan pahit maung cabaran sebuah kehidupan. Namun apakan daya sebagai seorang hamba inilah jalan yang perlu ditempuhi sebelum sampai ke destinasi abadi.

Era milenia ini adalah ruang masa yang dikhabarkan sebagai 'dunia akhir zaman' dengan pelbagai permainan, senda-gurau dan ujian yang amat berat bagi mereka yang berfikir. Mahu atau tidak, perjalanan ini harus bertapak sama ada berjalan atau berlari kita tidak sunyi dengan kesan-kesan sampingan yang penuh emosi dengan pilihan takdir dari naluri serta nasib rezeki dari Ilahi.

Sudah terasa masa semakin ligat berputar walaupun ia masih lagi dikira 24 jam penggiliran malam dan siang oleh kerana aktiviti-aktiviti dan kesibukan dunia yang mengalpakan. Bahtera rumahtangga yang berlayar juga perlu dikemudi agar tidak karam walaupun kekadangnya terpesong atau tersasar laluan yang sepatutnya. Apakan daya segala usaha dan pengharapan hanyalah kepada tuhan yang menunjukkan jalan agar tidak terikut-ikut dengan arus kesesatan dan kebatilan.

Gelombang kehidupan yang ganas menerpa, memercik dan membasahi setiap langkah terus dirasa kerana jika berhenti atau tewas kecewa akan tenggelam sia-sia. Syukurlah kerana masih lagi sedar status sebagai seorang hamba menyebakan kebergantungan kita kepada Sang Pencipta Raja segala Raja terus dipasak kukuh sebagai 'senjata' dan 'dayung' bahtera selagi diberi usia.

Thursday, January 9, 2014

Selamat datang 2014 dengan arus deras menekan

Kini pada era milenia, abad ke 21 bertambah lagi tahun ke 14 dunia  moden selepas masihi menjalani kehidupan dalam proses ketamadunan dan ketentuan tuhan. Dunia dihuni dengan jumlah populasi serama 8.7 ribu juta dengan 195 buah negara yang diiktiraf oleh PBB.

Penghidupan manusia berkisar tentang pelbagai pancaroba dan konflik sesama manusia dengan penuh drama dan jalan cerita yang tragis, konspirasi dan permusuhan sesuai dengan sifat-sifat manusia.

Jika ada yang ingin memerhati, memikirkan dan mengkaji segalanya yang berlaku dari zaman sejarah silam dan kejadian akan datang mempunyai banyak jawapan tentang hakikat sebuah kehidupan seperti juga hakikat kejadiaan alam ciptaan tuhan yang penuh dengan teladan dan sempadan.

Manusia adalah khalifah dimuka bumi tidak hairanlah ia akan mengekploitasi bumi semahunya demi kemahuan dan keperluan bagi tujuan kelangsungan kehidupannya. Dalam ketamadunan manusia, ia mempunyai naluri mengawal sesuatu selain diri sendiri mengikut telunjuk nafsu yang dipacu akal dan kekuatan jasmani.

Hayat manusia telah hampir sepuluh ribu tahun mendiami bumi ini semenjak Nabi Adam a.s dan Isterinya yang juga ibu kepada segala umat manusia diusir dari syurga. Pelbagai kejadian yang tertulis dan tersimpan sebagai sejarah dan ada juga yang lenyap tanpa sesiapapun mengetahuinya kecuali Allah swt tuhan sekalian alam.

Walau apapun jua zamannya arus kehidupan tetap sama kerana manusia secara lahiriahnya mempunyai naluri sebagai khalifah berkuasa keatas sesama manusia. Manusia yang berkuasa akan terus berkuasa dan berusaha untuk memastikan keturunan dan puaknya berkuasa kerana naluri assabiyah (berkelompok) itu yang membina ketamadunan bangsa-bangsa dan mewujudkan negara-negara yang kekal hingga ke hari ini.

Arus kehidupan semasa adalah sistem yang direncana bagi urusan dan cara menjalani proses ketamadunan sejagat yang diterima oleh semua walaupun terdapat beberapa jenis sistem yang berbeza tetapi ia akan mempunyai titik persamaannya kerana ia adalah sistem manusia yang berkongsi naluri yang sama. Semua sistem yang ada tetap akan mempunyai hirarki kepimpinan dan semua lapisan dan golongan manusia perlu mengikut sistem-sistem yang telah direncanakan ini. Tiada siapa yang boleh selamat jika cuba lari atau melawan arus ini kecuali dengan takdir tuhan manusia itu berjaya melakukan revolusi atau pembaharuan terhadap sistem ini bagi mengubah corak dan arus kehidupan semasa.

Kapitalisme, komunisme, nasionalisme dan sosialisme masih menjadi tonggak dalam sistem kebanyakan negara tetapi telah diperbaharui dengan pelbagai kecenderungan mengikut idealisma ketua-ketua mereka. Rakyat biasa hanya perlu berenang, menyelam atau terus hanyut mengikut arus yang semakin menekan dan laju kerana bilangan manusia yang semakin ramai cabaran utamanya ialah kerana persaingan yang semakin hebat dengan kemodenan semakin menjerat. Terdapat golongan yang ingin menongkah arus akan terus menemui kegagalan atau membawa sinar kejayaan namun dengan penuh kepayahan untuk menegakkan idealisma baru bagi mengatasi atau menggantikan sistem sedia ada. Arus deras yang semakin menekan ini terpaksa diharungi dengan pengorbanan emosi dan kehendak naluri selagi tiada mereka yang lain berjaya mencipta satu sistem baru sejak terciptanya revolusi industri yang membuang sistem feudalisme kepada kewujudan negara-negara demokrasi atau autokrasi melalui ppolitik manusia yang bukan diasaskan oleh keluarga-keluarga bangsawan feudalisme.


Sunday, January 13, 2013

Antara Berpolitik & Berpersatuan

Umum mengetahui yang sejarah peradaban manusia bermula dengan terbentuknya keluarga, komuniti masyarakat sehingga kepada sebuah perbentukan negara. Ini terjadi kerana manusia itu secara nalurinya memerlukan pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kepimpinannya.

Dewasa ini banyak persatuan-persatuan telah digerakkan dan ditubuhkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan dimana tertakluk dengan undang-undang pertubuhan setelah didaftarkan. Dulu sebelum kemerdekaan, pertubuhan-pertubuhan, gerakan-gerakan dan persatuan-persatuan diwujudkan tanpa perlu kelulusan kerana ingin menuntut kemerdekaan kerana kerajaan yang ada pada masa itu ialah kerajaan yang mereka tentang (British) bagi mencapai kemerdekaan. Oleh itu, logiknya jika persatuan itu 'menentang' dasar dan cara pemerintahan (politik) sesuatu kerajaan mengapa perlu diiktiraf pendaftarannya? Maka tumbuhlah seperti cendawan pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO) tetapi tidak semua yang menentang kerajaan tetapi ada beberapa dasar dan perkara yang tidak bersetuju dengan dasar kerjaan.

Suatu ketika sehingga kini dari bangku sekolah lagi kita telah diajarkan bagaimana berpersatuan dengan cara yang diajarkan. Sampailah di universitipun kita disarankan agar berpersatuan kerana mudah untuk sesuatu aktiviti atau program ingin dilaksanakan kerana ia perlu mendapat sokongan. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa berpersatuan dapat menyatupadukan masyarakat dibawah satu bumbung.

Salam Tahun Baru Masihi 2013

Empat belas hari telah terisi untuk tahun baru yang berulang kempali melangkah dan menokok usia  setahun lagi. Segala upaya dan daya kita jalani ikut takdir dan pilihan sendiri.

Empat belas hari selalunya waktu bertenang bagi sesetengah urusan dan transaksi diantara individu dengan agensi kerajaan atau firma guaman dan kewangan.

Tahun ini tahun 'hot' kerana pilihanraya perlu diadakan dan parlimen terbubar dengan sendirinya setelah cukup penggalnya. Semua orang politik telah mula mengerah pasukan untuk meraih kembali sokongan. Jentera kerajaan semakin padat programnya terutama untuk kempen-kempen kerajaan bukan politik disamping pengisian lain bagi menyegarkan kembali hubungan dengan masyarakat atau golongan sasaran.

Tempoh bertenang telah hilang bagi yang sekarang telah memangku jawatan paling kanan bagi gred staff sokongan. Satu tahap yang mengambil kira pengalaman dan tempoh pendedahan semaksimum mungkin kompetensi bekerja dan aktiviti luaran.

Permulaan yang tenang untuk tempoh tersingkapnya tirai tahun baru dengan tiada kucar-kacir kecuali agak sibuk dengan aktiviti retreat hujung tahun yang berturutan minggu menyebabkan keluarga terpaksa ditinggalkan.

Tahun ini adalah tahun ke sembilan dalam perkhidmatan di agensi hakmilik kerajaan ini dengan aktiviti yang dirancangkan paling banyak dengan acara karnival sukan kementerian serta acara sambutan ulangtahun MyIPO selain acara tahunan seperti Hari Harta Intelek Negara 2013 bertempat di Melaka Bandaraya Bersejarah.

Aktiviti kelab juga satu cabaran bagi mengatur strategi berkesan untuk menggandakan penyertaan yang semaksimum mungkin dikalangan warga MyIPO. 

Menimang cahaya mata baru juga dijangka Mac ini dengan doa agar segala prosesnya dipermudahkan dengan kesihatan pada kedua-dua yang tersayang.

Ini juga adalah pos pertama untuk tahun ini kerana kesibukan dengan aktiviti lain sehingga ruang untuk menulis tidak boleh diguna.