Monday, November 2, 2009

Penting sangatkah MELAYU?

Entah mengapa terasa ingin meluahkan dua tiga perenggan berkenaan apa yang bermain di fikiran. Teringat tentang beberapa patah firman tuhan yang bermaksud "telah kami jadikan manusia ini berbilang-bilang bangsa dan keturunan agar saling kenal mengenal" juga tersemat dalam sabda Rasulullah SAW iaitu "tiada lebih sedikitpun bangsa arab keatas bukan arab begitulah sebaliknya kerana yang paling penting ialah siapa yang lebih bertakwa antara kamu".

Sejak lahir ke dunia ini bangsaku telah dilabel sebagai melayu dan beragama islam. Jika bapaku berbangsa lain dan ibuku berbangsa melayu adakah aku ini dikira melayu atau sebaliknya?Susah untuk menyatakan apa sebenarnya melayu dan siapakah yang mula-mula dipanggil melayu. Jika dilihat dari zaman dulu sejak kurun ke 10 bangsa melayu itu datangnya dari tanah sumatera barat dengan dikenali oleh beberapa adat istiadat dan budaya. Begitu juga jika dilihat melalui kerajaan-kerajaan tua seperti Langkasuka, Pasai, Kedah Tua dan ada yang dikenali sebagai Gangga Negara. Hebatnya melayu kerana pernah menguasai beberapa tamadun yang tersohor dan menjadi rebutan beberapa kuasa barat untuk menakluknya kerana mempunyai sumber kekayaan dengan memonopoli perdagangan rempah.

Dunia melayu menurut sejarah dahulu beragamakan Hindu atau sebelum itu tidak ramai yang tahu mungkin menganut agama yang sama dengan bangsa-bangsa sekitarnya iaitu percaya kepada kuasa ghaib atau anisme seperti orang-orang asli kini. Tidak dapat dinafikan pengaruh kerajaan melalu penaklukan adlah faktor penting sesuatu agama itu dianuti. Jika dilihat zaman pengaruh kerajaan Hindu terutamanya dibawah Maharaja Asoka banyak memainkan peranan sebelum kedatangan pedagang-pedagang India yang beragama Islam serta beberapa pengaruh pendakwah arab dari hadramaut, Yaman yang mempunyai hubungan dengan keturunan-keturunan raja dan sultan-sultan melayu ketika itu.

Pengaruh buddha yang sebenarnya lebih hampir dengan kedudukan kerajaan Siam dan Burma tidak berjaya diserap oleh keranan sikap permusuhan dan pertembungan dalam banyak peperangan yang menyebabkan tidak memungkinkan kerajaan-kerajaan ini berkongsi kepercayaan. Ajaran Islam yang dibawa oleh para pedagang menjadi tarikan ketua-ketua kerjaan dengan ditambah pula oleh faktor-faktor seperti perkahwinan menyebabkan semua bangsa melayu terus menyerap dengan kepercayaan ini. Sukar untuk melihat orang melayu beragama lain selain islam dan ia telah menjadi sinonim dengan bangsanya. Selepas itu bermulalah episod-episod kesultanan yang bersilih ganti sehingga kekal ke hari ini.

Di dalam perlembagaan telah termaktub dengan jelas maksud melayu itu seperti "berketurunan melayu dengan mengamalkan adat dan budaya orang melayu seperti kelaziman yang diketahui, bertutur dalam bahasa melayu serta beragama islam". Itulah keterangan dari satu perlembagaan bagi membentuk sebuah persekutuan tanah melayu seterusnya menjadi sebuah negara berdaulat. Sukar untuk sesiapa sahaja menafikan kewujudan bangsa melayu ini kerana ia telah membentuk kerajaan kesultanan selama 500 tahun yang lalu. Ia bermula di antara kerajaan seriwijaya dan palembang yang mempunyai banyak kesan sejarahnya. Jika diselidiki lagi kita akan dapati fakta-fakta yang lebih lama lagi yang mana ia wujud seribu tahun dahulu dari daerah Yunan.

Apapun sejarah tentang melayu dan asal usulnya bolehlah disimpulkan bahawa hebatnya melayu ini bila menjadikan Islam sebagai agama, mudah mesra dan melayan tetamu walaupun berlainan bangsa dan agama. Dunia melayu adalah dunia yang sejahtera jika mereka bersatu dibawah naungan kesultanan yang adil saksama. Mereka tidak mempunyai perasaan melawan ketua atau terlalu menjadi pengikut setia tetapi mereka lebih suka hidup sederhana dan susah untuk bermusuhan dengan sesiapa. Mentaliti melayu kini telah banyak berubaha hampir 60% ideologinya telah diserap oleh ketamadunan Arab, India dan Cina. Jika tidah salah dengan teori melayu sebenarnya bangsa yang berada di antara celah bangsa-bangsa yang lebih besar iaitu Arab, India dan Cina.

Jika dikaji lagi tentang siapa melayu atau keturunan melayu, memang terdapat banyaknya suku di seluruh kepulauan nusantara dari kalimantan ke pulau jawa dan sumatera sehingga ke utara acheh dan selatan Thailand. Menurut seorang budayawan mengatakan melayu ini secara dasarnya mempunyai tiga sifat yang boleh dilihat iaitu Berturai bermakna mempunyai sopan santun baik bahasa dan perbuatan dan memegang teguh adat resam, menghargai orang yang datang,serta menerima pembaharuan tamaddun yang senonoh. Bergagan bermakna keberanian dan kesanggupan menghadapi tantangan, harga diri dan kepiawaian. Bersahadat bermakna Orang Melayu disebut Melayu jika sudah mengucap kalimat syahadat, yaitu mengakui Allah sebagai Tuhan dan Muhammad sebagai Rasul panutan. Anak Melayu lebih dahulu diperkenalkan mengaji al Qur’an, baru mengenal ilmu pengetahuan yang lain. M. Muhar Omtatok yang bermukim di Kota Medan Pulau Sumatera ini, menambahkan; Kata “Laailaha Illallah Muhammadarosulullah” sebagai gerbang keislaman, selalu dipakai Orang Melayu dalam berbagai amalan, karena melayu percaya bahwa semua amalan akan tidak tertolak dalam pemahaman Islam jika mengucap Laailaha Illallah Muhammadarasulullah. Makanya jika seorang anak berkelakuan menyimpang dari kaedah yang diatur, maka ia disebut, “Macam anak siarahan, Macam anak tak disyahadatkan”.


Tuesday, October 27, 2009

Dilema berjiran

Hidup bermasyarakat memang menyeronokkan dan tidak ramai manusia biasa memilih untuk hidup bersendirian di hutan atau di dalam gua. Namun bila hidup dengan dikelilingi manusia yang bermacam perangai juga boleh memeningkan kepala. Namun kesabaran yang besar perlu dipupuk tambahan pula berjiran dengan berlainan bangsa dan budaya.

Suasana hidup dikota memang begitu sebenarnya, jiran tetangga ialah yang paling jauh walaupun hanya bersempadankan pagar dan tembok sahaja. Jika keramaian, lebih diutamakan kawan dan saudara dari jiran yang sering dilupa. Berjiran dengan mereka yang seagamapun sukar untuk mewujudkan sifat mesra kerana masing-masing punya masa yang berbeza-beza dan memang jarang bertegur sapa.

Toleransilah perkataan yang paling sesuai untuk mengelakkan sebarang konflik kerana selalunya jika jarang bertegur sapa ia akan lebih didominasi dengan sikap mengandai-andai atau berburuk sangka. Dalam meneruskan hidup kejiranan ini apa yang penting janganlah saling sakit menyakiti atau provokasi sesama sendiri. Ambillah contoh yang diamalkan oleh rasulullah sendiri yang mana sikap terhadap jiran-jirannya yang harus diikuti. 

Sunday, October 25, 2009

Tengok wayang..kekadang memeningkan kepala

Dulu masa bujang pergi tengok wayang sorang-sorang dan jarang-jarang dan berpasang kalau ada kawan-kawan wanita yang ada ruang. Tetapi kebanyakannya baik tengok dalam bilik sendiri kalau cerita melayu selalunya aku beli yang ORI dan cerita hollywood gerentilah beli yang dirompak curi.

Sekarang masa dah berdua memang keraplah aku ke wayang minima dua kali sebulan atau setiap rabu kerana paling murah hanya RM6 sahaja. Aku kira inilah masanya nak enjoy dengan isteri aku kat luar sebab inilah aktiviti yang paling senang dan bagi aku tidak terlalu sosial sangat. Zaman sosial dah berlalu namun bila dah jadi suami orang dah ada teman sosial yang halalan toyyiba untuk ke sana ke mari.

Selalunya aku menonton di GSC IOI Mall Puchong atau di GSC Summit USJ kerana tak sampai 10KM dari rumah. Baru-baru ni aku bawa isteri ke TGV KLCC yang memangnya kelas sikit dan berkos tinggi. Kalau nak ikutkan aku lebih selesa di IOI Mall sebab boleh parkir kereta di atas dan hanya turun ke bawah untuk pergi menonton bebrbanding Summit USJ yang kena berjalan jauh.

Sejak menjadi kaki wayang era ni banyak la perkara-perkara yang aku tak puas hati dengan sikap rakyat kita yang masih bermentaliti kelas ketiga. Membawa anak-anak kecil dan dibiarkan berlari ke sana kemari tanpa si ayah sedikitpun tidak melarang. Masih ramai yang tidak menyenyapkan telefon bimbit masing-masing dan tanpa segan silu bercakap menngunakannya. 

Syarikat pawagam juga masih tidak memberi kepuasan atau kualiti perkhidmatan yang sebaik mungkin kerana masih ada sikap operatornya yang sambil lewa seperti lambat menutup lampu, projektor yang bergoyang-goyang juga nombor dikerusi yang tidak jelas. Semua ni memeningkan kepala dan seakan-akan boleh membunuh mood aku untuk menjadi penonton wayang. Aduhai Malaysiaku....   

Wednesday, October 21, 2009

Membersihkan hati...takwa kepada ilahi

Segala puji bagi tuhan yang menjadikan apa yang ada di langit dan bumi juga yang diantara kedua-duanya. Sesungguhnya dialah yang maha pengasih, pengampun dan penyayang. Mahasuci ALLAH yang memberikan dunia sebagai pentas ujiannya, segala puji untuknya dengan segala nikmat pemberian yang diperolehi sejak diciptakan olehnya dan Mahabesarnya yang tiada apa pun yang boleh setara dengannya.

Ramadhan kali ini betul-betul dilalui dengan penuh nikmat dan berkat maghfirah keampunan darinya. Luluh hancur hati ini bila mengenangkan segala pemberiaannya dan amat rendah rasa diri ini jika sedetik melupakannya. Istiqamah yang dirasai amat menyentuh dan membersih hati, hari demi hari yang ku lalui sentiasa dirasai nikmat yang diberi. Bukan kesenangan duniawi tetapi bekalan untuk akhirat yang perlu digali dengan duniawilah insan menukarnya dengan syurgawi.

Membersihkan hati bukan satu perkara yang mudah jika tidak berhati-hati. Syaitan sentiasa memerhati dengan mengharapkan ada ruang saki baki agar sesat dan kembali mengotorkan hati. Segala puji baginya atas rasa yakin yang mendalam hanya kepadanya aku berserah dan kembali.

Thursday, October 15, 2009

Rumah terbuka, dosa atau pahala?

Bila tiba hari raya semua orang rasa gembira dengan pakaian yang berseri-seri dan wajah yang menyenangkan hati. Setelah 30 hari menahan nafsu, lapar dan dahaga demi keampunan dan mengharap rahmat dari ilahi.

Namun pada pagi aidilfitri, kembali kepada fitrah memang tepat sekali bila perangai lama mula kembali tambahan pula kawan lama (Syaitan) dah kembali. Menjamu selera sesuka hati hingga lupa batasan yang diberi.

Bila syawal masih berbaki, ramai pula yang bermurah hati menjemput sahabat handai menjamu selera. Baikknya bila dapat kenal mengenal sesama kita merapatkan hunbungan sesama keluarga. Namun ada juga yang ingin menunjuk-nunjuk apa yang ada tidak kuran juga membazir kerana syaitanpun suka. Sahabat handai dan saudara yang jauh dijemput hingga lupa jiran sebelah sendiri merungut.

Apa saja yang diadakan acara biarlah dengan niat yang mulia untuk menambah pahala bukan untuk menambah dosa sediakala. Sedihnya bila pahala dan keampunan yang diraih ditimpa dengan dosa yang lebih kerana masih tidak takut dengan neraka dengan air yang mendidih.

Monday, October 12, 2009

Menemui jalan mati...

Puas aku berjalan...
Melangkah dengan perasaan...
Berlari  mengejar impian yang sering dihasut syaitan...
Bergurau keasyikan sampai lupa kawan dan tuhan...

Menari kekadang meninggalkan iman...
Tidur bermimpi dengan mainan syaitan...
Membaca kurang dengan kalimat tuhan...
Berfikir terlalu inginkan kebebasan...
Bercakap sampai terpengaruh dengan angan-angan...


Puas aku berjalan...
Banyak juga ku jumpa persimpangan...
Banyak lorong dengan seribu satu godaan...
Banyak susur yang penuh dengan ujian...
Banyak lubang-lubang yang lazimnya beri kerosakan...
Ada aral yang melintang memberikan kemalangan dan pedoman...


Puas aku berjalan...
Berhenti bila kepenatan...
Bersandar di pohon ketenangan...
Bermimpi dengan drama ujian...
Berkenalan dengan berbagai makhluk tuhan...
Bermacam perangai,godaan dan hasutan...
Bersyukur aku masih mengenal tuhan...
Berserah kepadanya sebenarnya satu jalan...

Kembali menulis...

Sebuah pondok coretan peribadi yang telah lama kutinggalkan
Bukan disebabkan kecewa atau bosan
Bukan sebab penyakit malas atau segan
Bukan juga disebabkan tekanan oleh mana-mana insan

Sebuah hati yang telah kembali
Keinginan untuk menulis bertaut lagi
Setelah fasa pemulihan dan terapi aku hadapi
Kini aku benar-benar pasti
Aku mahu puji tanpa henti
Kepada TUHANKU ALLAH yang amat menyayangi
Memberikan ku kekuatan untuk menulis lagi