Wednesday, April 6, 2022

Ziarah Haramain (satu)

 Segala puji bagi Allah swt. yang memperkenankan doa sejak bertahun lepas untuk hadir menjejak kaki ke bumi haram ini. Menggunakan pakej yang ditawarkan okeh sebuah penyedia perkhidmatan ziarah dan umrah ke dua tanah suci ini di Kota Nabi Ibrahim as dan Kota Nabi Muhammad saw.




Perjalanan bermula di hari keempat ramadhan (Rabu) yang berkah melepasi hanya beberapa minit waktu zohor dan tiba pada pukul 5 petang waktu madinah (lebih pukul 10 mlm waktu malaysia). Ini menjadikan pengalaman puasa paling panjang pernah dirasai dan hanya sempat berbuka dengan makanan yang dibekalkan oleh Saudi Airlines di Lapangan Terbang Madinah kerana urusan bagasi dan imigresen.

Setibanya di Hotel Dallah Taibah, barulah dapat mejamah selera dengan menu nasi arab yang agak menyelerakan juga kerana kelaparan. Selepas urusan daftar masuk bilik, jam telah menunjukkan pukul 9 lebih dan terlambat untuk hubungi keluarga di Malaysia kerana telah melewati jam 2 pagi. Keterujaan untuk ke Masjid Nabi membuak-buak dan kebetulan berkongsi bilik dengan mereka yang ‘sekepala’ terus bersiap ke sana.

Akibat terlewat untuk mengerjakan terawikh, kami sampai di masjid ketika ribuan jemaah sedang keluar dari masjid setelah mengerjakan terawikh berjemaah. Kami berdua nekad melawan aris dan terus menuju ke raudhah, kawasan yang dimuliakan itu.

Alhamdulillah, berjaya solat berhampiran dinding raudhah yang telah ditutup seterusnya dapat melihat pintu makam Rasulullah buat kali pertama. Hanya Allah swt sahaja yang tahu perasaan itu kerana terubat rindu untuk bertemu manusia paling mulia kekasih Allah swt di masjid dan rumah baginda. Seusai solat, kami telah di arah keluar oleh petugas bagi pengosongan kawasan berkenaan dan apabila keluar masih ramai jemaah duduk di dataran luar masjid nabawi ini.

Pada pagi ini (Khamis) pihak petugas mutawif membawa kumpulan kami ke perkuburan baqi’ namun sebenarnya semalam kami berdua telahpun melaluinya yang telah bertembok itu. Setelah program berkenaan, kami berempat nekad mencuba nasib memasuki raudah pada pagi tadi melalui pintu 21 dan bertuah dapat melaluinya dan keluar melalui pintu baqi’ semula.





Terasa sebak dan bercampur baur kerana selama ini hanya mendengar dari mulut orang sahaja dan kali ini Allah swt benar memberi rezeki untuk sampai ke sini di Masjid Nabi saw.

No comments: