Monday, April 11, 2022

Ziarah Haramain - Ummul Qura (Tiga)

 Hari sabtu, 9 April 2022 menjadi perjalanan terindah menyelusuri lebuhraya Madinah - Makkah bagi meneruskan ziarah haramain yang sungguh bermakna. Bumi kering kontang dan gersang Kota Yathrib (Madinah) ini penuh dengan batuan kerikil yang pelbagai bentu dan agak kehitaman. Kiri kanan pemandangan gunung batu yang mempunyai lembah luas yang gersang dan berbahang menginsafkan diri bagaimana perjalanan Sang Nabi dalam menyambut seruan Ilahi



Perjalanan sejauh 420 km mengambil masa hampir 4 jam dengan menaiki bas dan jika menunggang unta dan kuda tak terbayang berapa malam perlu dihabiskan. Lebuhraya yang lebar dan lurus memudahkan pergerakan dengan pemandangan sejauh mata memandang kerana tidak banyak penempatan dan pohon kayu. Jika ada sebuah penempatan ianya adalah agak terpencil dan jauh diantara satu sama lain dan jarak satu dengan yang lain mencecah ratusan kilometer.

Apabila menghampiri kawasan Kota Mekah, suasana bertukar kepada kesibukan kota dengan penempatan manusia mula memenuhi muka buminya. Berbeza dengan Kota Madinah yang agak subur menghijau dengan tompokan ladang kurma dan lembah luas, di sini bukit dan gunung ganangnya agak berlapis dan masjidil haram yang terletak pada kawasan paling rendah dikelilingi gunung yang tinggi. Pembinaan terowong yang agak banyak juga disediakan oleh kerajaan dengan jalan yang bersimpang siur menembusi bukit bukaunya.



Kesesakan trafik juga agak tinggi di sini berbanding madinah kerana berjuta pelancong datang menziarahi Masjid Al Haram disini untuk beribadat. Keadaan Masjidilharam juga masih dalam pembinaan bagi membesarkannya menyebabkan ada kawasan yang ditutup kepada jemaah disini. Jalan raya ditutup bagi kenderaan persendirian dan kerajaan menyediakan laluan bawah tanah yang luas bagi kenderaan penduduk tempatan.

Kompleks Masjidil Haram ini agak luas sehingga boleh menampung jutaan manusia yang datang dan berjalan kaki di serata kawasannya. Ianya ada sebuah kota di bawah bukit dan gunung dikelilingi bangunan moden di sekitarnya. Perasaan paling gembira dapat menatap sendiri Kaabah yang dimuliakan kerana selama ini hanya melihat di sejadah sahaja.


Pada hari ketiga disini kami dibawa melawat kawasan di luar Kota Mekah bermula dengan Gunung Thur yang menjadi saksi persebunyian Nabi saw dan sahabatnya Abu Bakar assidiq. Betapa susah payah dalam proses menyampaikan dakwah kepada kaum musyrikin Mekah. Kemudiannya kami dibawa ke Mudzalifah di mana disini terletaknya padang Arafah seluas 10km persegi. Di sini terdapat ribuan pokok semambu yang menghijau dan lima laluan khas (jalan berbata merah) bagi pejalan kaki yang ingin meneruskan perjalan ke Mina.




Jabal Rahmah yang tersergam indah menjadi saksi tentang pertemuan dua suami isteri yang telah mengembangkan benih manusia sehingga hari ini iaitu Nabi Adam serta Siti Hawa yang merindui serta menyesali perbuatan mereka ketika berada di suurga. Batu pertanda di puncak bukit yang menjadi mangsa bagi mereka yang mempercayai akan  sang batu tersebut dalam memasang impian dan cita-cita mereka tentang Cinta. Setelah beredar dari Jabal Nur, kami dibawa pula ke Mina untuk melihat perkhemahan para jemaah haji bersedia untuk melontar batu di ketiga-tiga Jamrah.


Setelah itu, bas yang membawa kami terus ke sebuah masjid untuk bermiqat dan berniat mengerjakan umrah. Dalam  perjalanan pulang semula ke Kota Mekan kami diberi satu pemandangan di Jabal Nur yang didalamnya terletak gua hira’ yang penuh sejarah itu dimana wahyu pertama diturunkan. Sebak juga bila dikenang bagaimana Rasulullah saw boleh mendaki ke gunung ini dan berkhalwat di dalam salah satu gua yang terdapat di situ.

Suasana di Mekah agak sesak pada bulan ramadhan hampir menyamai kesesakan semasa musim haji mengikut pekerja tempatan disini. Para peniaga rata-ratanya boleh berturur dalam bahasa melayu (bahasa indosia). Jika terlewat memasukinya pada sepanjang waktu bersolat maka terpaksa naikke tingkat lagi sehingga ruang kosong diperolehi. 

No comments: