Friday, April 8, 2022

Ziarah Haramain (Dua)

 Pada hari Jumaat, suasana semakin sesak dengan para tetamu yang datang dari pelbagai negara memenuhi kota madinah ini khususnya Masjid Nabawi. Suasana tersebut dirasai sejak dari malam jumaat itu lagi seolah-olah ada sambutan perayaan besar.







Pada pagi jumaat bermula ziarah sekitar kawasan ini bermula dengan singgah Masjid Quba’ yang mempunyai sejarah tersendiri. Selepas itu terus singgah di kebun kurma berhampiran untuk melihat produk yang di jual serta suasana sebuah kebun kurma. Pada bulan ini kurma baru mengeluarkan bunga dan akan dituai pada penghujung musim panas nanti.

Setelah masing-masing berbelanja di kebun kurma, kami meneruskan ziarah di kawasan pergunungan uhud yang menjadi saksi perang uhud yang cukup bersejarah. Berhampiran kawasan tersebut terdapat sebuah kawasan perkuburan 70 orang syuhada termasuk bapa saudara Rasulullah saw, Saidina Hamzah Abdul Mutalib.

Selain kawasan berkenaan, kami dibawa juga melihat kawasan peninggalan peperangan khandak, masjid Qiblataini serta masjid-masjid lain yang mempunyai kisah sejarahnya yang tersendiri. Akibat cuaca yang semakin panas, program ziarah pun berakhir pada kira-kira jam 10 pg.

Pada sebelah malam, seperti biasa dengan menyertai penduduk tempatan dan para tetamu lain berbuka puasa di dalam Masjid Nabawi dengan pek makanan yang disediakan. Suasana masjid yang sesak dan penuh memaksa pihak berkuasa membuka ruang solat di atas bumbung (rooftop).

Semakin menjelang malam, suasana solat terawikh menjadi lautan manusia dengan memenuhi ruang masjid dan dataran di luarnya. Kelihatan petugas dan pengawal semakin ramai dimana2 berikutan para pengunjung kawasan pelancongan ibadah tersebut. Keistimewaan Masjid Nabawi ini selain dari menyimpan sejarah dan keberkatan, ia adalah begitu luas dan para pengunjung memerlukan aktiviti berjalan kaki secara maksimum.





Pada sebelah lewat malam(pagi Sabtu) kami mencuba beratur untuk memasuki raudah dan akhirnya selepas penantian hampir 2 jam, kami berjaya masuk dan bersolat secara selesa didalam raudah dan memberi salam kepada junjungan besar saw dan para sahabatnya. Alhamdulillah segala pengalaman yang diraih menjadikan kita lebih sabar kerana ia adalah sebaik ujian.


1 comment:

kak chik nazlina said...

alhamdulillah... mashaaAllah tabarakallah