Tuesday, February 15, 2022

RIDE MENCARI RAHSIA DISEBALIK RAHSIA (HARI KETIGA)

Perjalanan Hari ketiga, 30 Januari 2022 / 27 Jamadil Akhir 1443H

Kami bertujuh telah bersiap-siap bagi meneruskan perjalanan seawal 6.30 pagi kerana ketua ekspedisi (Izuwan) telah memberitahu akan bergerak ke destinasi seterusnya pada jam 7.30 pagi. Alhamdulillah dapat tidur yang nyenyak walaupun keadaan hotel penginapan yang agak tidak memuaskan namun seringkali diingatkan oleh tokwan untuk kami sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Malam tersebut agak lewat tidur kerana rakan sebilik ajak berbual pelbagai topik kerana maklumlah kami kenal dah lama namun agak jarang berjumpa. Tinta takdir Allah swt. amat mengharukan perasaan kerana suratan dan kebetulan yang dilalui mempunyai 1001 hikmah dan ujian yang termampu oleh kita. Masing-masing telah membingitkan awal pagi di perkarangan hotel dengan deruan bunyi enjin motorsikal kami yang rata-ratanya berkuasa besar dan bunyi yang berdegar-degar.

Sebelum memulakan perjalanan, seperti biasa kami akan mengaminkan bacaan doa oleh rakan yang dipilih untuk menjadi 'imam doa' bagi memohon keberkatan kerana ini bukanlah aktiviti yang 'lagho' kerana mengembara ini adalah sunnah para ambiya' terdahulu. Singgah sebentar di kedai sarapan pagi berhampiran yang jaraknya hanya satu kilometer dari hotel penginapan. Juadahnya yang pelbagai dengan menu istimewa dengan gulai ikan temenung dan beberapa ikan lain menggamit perhatian untuk merasainya selain roti canainya yang tidak mengecewakan.



Setelah perut terisi dan masing-masing puashati atas rezeki yang diberi Ilahi kami singgah sebentar di stesyen minyak Petronas bagi memenuhi tangki jentera masing-masing bagi melancarkan perjalanan. Destinasi pertama pada pagi tersebut ialah Menara Condong Teluk Intan (Teluk Anson). Jam telah menunjukkan pukul 9.30 pagi, suasana trafik agak sesak dimana-mana kerana hari minggu yang dipenuhi pelancong tempatan serta kebetulan pula pasar pagi berhampiran menara tersebut baru sahaja dikemas namun beberapa kumpulan bermotorsikal yang lain juga turut berada di perkarangannya. Ketua penunggang telah membuat pusingan sekali kami berjaya mendapat tempat untuk meletak motorsikal bagi mengambil gambar dengan berlatar belakang menara jam yang merupakan tangki air tersebut. Pada hari siang menara itu tudaklah seindah mana namun kecondongannya jelas kelihatan. Inilah tempat yang paling sekejap kami singgah hanya sekitar setengah jam kerana cuaca yang agak panas serta pengunjung yang ramai dan semakin sesak (crowded).


 


Setelah semuanya bersiap sedia, jeritan 'on the bike' sentiasa akan berkumandang menandakan akan terus bergerak kerana jika ada yang ketinggalan ianya akan menganggu masa perjalanan kerana hanya 'tekong' yang sentiasa melihat peta pandu arah (waze). Bergerak ke check point seterusnya dan merupakan destinasi penting sebenarnya dalam perjalanan tiga hari dua malam kami ini sebuah kompleks bersejarah yang menjadi tema dan klimaks bagi kesemua destinasi persinggahan kami. Panorama yang cukup indah sekali lagi merentasi lautan sawah padi yang biasanya hanya didapati di Kedah dan Sungai Besar serta Sekinchan di Selangor. Agak mengkagumkan apabila kawasan tersebut telah dilengkapi lebuh raya lebar (WPE) serta jambatan yang baru dibina merentasi Sungai Perak yang luas.


 
Destinasi ini adalah tempat wajib yang menjadikan ekspedisi bermotorsikal ini bertajuk "Ride Mencari Rahsia Disebalik Rahsia" kerana disinilah bermulanya orang-orang melayu dahulu hilang sabarnya dengan sikap penjajah yang berlagak tuan di bumi orang. Setibanya kami disini, disambut dengan ramah oleh saudara Yeop panggilan mesra bagi orang Perak yang berniaga pecal, laksa dan bihun sup digerai berhampiran Kompleks Sejarah Pasir Salak ini. Beliau yang merupakan anak jati disitu dengan bangga menceritakan sejarah bagaimana dan mengapa peristiwa itu terjadi. Seusai sampai di situ sebilangan kami terus ke rumah kayu lama yang berhampiran bagi melihat seni pertukangan orang melayu yang halus dan amat membanggakan.Kami juga berasa terharu kerana dilayan dengan begitu mesra seolah telah lama mengenali beliau dan akhirnya kami dapat simpulkan yang beliau bukanlah orang sebarangan. Inilah tinta takdir tuhan sekali lagi menemukan kami menjadikan persaudaraan melayu itu amat rapat walaupun datang dari pelbagai keturunannya.

Suasana pada ketika itu agak lengang dengan kesan air bah (banjir) masih kelihatan dan beberapa rumah replika masih belum siap diperbaiki di tapak asal sekitar kawasan kubu Dato' Maharaja Lela tersebut. Setelah hampir dua jam, kami mula bergerak memasuki kompleks bersejarah tersebut dengan perasaan kagum bercampur baur dengan bangga akan warisan sejarah yang menjadi salah satu titik kebangkitan orang melayu melawan penjajah yang menjarah segenap inci bumi bertuah ini.Di sini kami telah menghabiskan masa melewati tempoh yang dirancang selama dua jam lagi memasuki kompleks yang gah dibina oleh kerajaan dengan paparan terowong diorama yang mengasyikkan serta galeri beratus keris lama yang cukup mengujakan. Malangnya kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar koleksi dan persembahan tersebut. Suasana angin sepoi bahasa di tebing Sungai Perak menambahkan lagi kesayuan apabila difikirkan kembali babak-babak sejarah yang berlaku disitu.

Kami telah meletakkan motorsikal bersebelahan dengan kawasan perkuburan yang agak lama dan disitulah bersemadinya jasad pahlawan-pahlawan melayu yang berani suatu ketika dahulu. Berehat sejenak dengan menyapa peniaga kecil di gerai berhampiran bagi menghilangkan dahaga akibat terik panahan matahari yang lazimnya menjadi iklim di bumi bertuah ini. Kami terus bergerak seterusnya keluar dari trek laluan jalan persekutuan dan negeri dengan memasuki Lebuhraya Utara Selatan melalui Sungkai dan berhenti pula di kawasan rehat dan rawat Ulu Bernam yang sememangnya sesak dengan kenderaan dan orang ramai yang akan pulang ke ibu kota atau ke selatan tanah air. Disinilah rahsia tercipta dan terungkai rahsia disebalik rasa yang sukar untuk diterjemahkan namun hanya kami yang faham memasang kembali niat untuk bermalam di kawasan ini lagi suatu hari nanti di sebuah masjid lama di situ.




Setelah melebihi 1000 km kami meredahi jalan berliku, selekoh yang tajam serta bukit bukau yang curam dan menjunam maka di lebuhraya yang lurus dan lebar ini masing-masing mula menguji jentera masing-masing tambahan pula cuaca panas membahang melayukan mata dan menghayalkan fikiran dapat dielakkan dengan fokus kepada menunggang dengan kelajuan. Kami keluar dari lebuhraya berkenaan melalui Tanjung Malim dan singgah untuk melepaskan lelah di Medan Selera Pekan Batang Kali. Di sini kami bertemu kembali dengan sepasang bikers yang setia menunggu kami di Taman Tasik Taiping tempohari. Mereka berdua adalah 'bikers kental' yang giat menunggang kemana sahaja pada setiap hujung minggu atau acap kali diundang oleh rakan-rakan yang menganjurkan kerana isterinya juga boleh menunggang sendirian motorsikal berkuasa besar.

Kami menunaikan tanggungjawab sebagai seorang hamba yang kenal dan sentiasa ingat akan Sang Maha Pencipta di Masjid Jamek Sungai Masin dan sentiasa kebetulannya apabila singgah di setiap masjid azan asar akan berkumandang. Suratan atau kebetulan hanya Dia Yang Maha Tahu kerana waktu asar adalah sebaik-baik waktu solat di siang hari sehingga ada banyak hadis mengenainya. Usai bersolat saya meminta diri dahulu untuk berpisah dengan rakan-rakan lain kerana jarak perjalanan ke rumah kediaman di Batu Caves hanyalah sejauh 26 km sahaja lagi. Semua mereka juga terus bergerak melalui jalan Batang Kali - Genting Sempah dan seterusnya ke destinasi kediaman masing-masing di Temerloh, Jengka dan juga Jerantut.


 

Perjalanan yang indah telah ditempuh melengkapkan kisah perjalanan hidup yang telah dan akan dinikmati lagi selagi masih bernyawa dan diberi rezeki di dunia fana ini. Semua yang buruk itu adalah pilihan kita sendiri dan yang baik semuanya dari tinta takdir Allah swt yang telah disediakan dalam kotak serta ruang kehidupan yang masih tersisa. Wallahua'lam Bishawab.

4 comments:

Ikhlas Dari Hati.... said...

Syiok membaca.. Destinasi akan dtg ke manakah?

Pendi said...

terima kasih… selatan tanah air dan pula lagenda di utara.

kak chik nazlina said...

sambung lagi 👍

Unknown said...

Sambung lg tuan... New episode...👍👍👍