Monday, February 14, 2022

RIDE MENCARI RAHSIA DISEBALIK RAHSIA (HARI KEDUA)

 PERJALANAN HARI KEDUA, 29 JANUARI 2022/26 JAMADIL AKHIR 1443H

Pada waktu sebelum subuh, keadaan di rumah penginapan telah hingar-bingar kerana masing-masing tidur lena dan puas akibat kepenatan menunggang motorsikal seharian. Semua rakan-rakan bersemangat untuk membuat perjalanan di hari kedua dengan persiapan awal dan bersarapan lebihan menu semalam yang sungguh enak nasi putih dengan ikan kering, ayam goreng berempah, gulai daging batang pisang serta kerabu pucuk paku yang menyelerakan.

Seawal jam 7.30 pagi semua telah bersedia bagi meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya yang dirancang iaitu ke sempadan Betong, Pengkalan Hulu dengan melalui laluan lengang serta berkabus tebal yang membasahi pelindung muka topi keledar masing-masing. Keadaan jalan yang lengang dan cuaca yang agak sejuk melalui kawasan Felda Nenering yang bersempadan dengan Negara Thailand. Pemandangan yang menakjubkan apabila jelas kelihatan Gunung Kenderong dan Gunung Kerunai atau lebih dikenali puncak kembar banjaran titiwangsa yang tesergam indah memukau pandangan. Ada rakan penunggang yang tidak pernah melintasi sempadan ini dan kali terakhir aku sampai disini pada tahun 2018 apabila mengikut ekspedisi mendaki bukit silipat di Yala untuk melihat panorama awan karpet.

Apabila tiba di Kompleks Imigresen Pengkalan Hulu, suasana sunyi sepi dengan kesan runtuhan dan banjir kepala air serta ditambah pula dengan pintu sempadan yang masih ditutup. Ini menyebabkan impian semua ingin bergambar di tulisan 'Kingdom of Thailand' berhampiran pintu kawalan sempadan tidak dapat di realisasi. Kami berhenti hampir 40 minit di situ sebelum singgah bersarapan di Kedai Makan Ayer Panas serta bertegur sapa dengan penduduk setempat dan telah menghabiskan masa selama hampir sejam disitu.


Perjalanan disambung dengan destinasi seterusnya adalah Taman Tasik Taiping namun perjalanan kali ini lebih mencabar kerana menggunakan laluan yang merentasi kampung terpencil dan tidak melintasi kawasan bandar. Bermula dari lokasi sarapan tadi dengan menelusuri jalan Baling-Kulim tanpa melalui kawasan bandar dan melintasi Pekan Selama seterusnya sampai di Taiping melalui jalan lama Kemunting. Dugaan pertama terjadi kepada sebuah jentera KTM TRK501 apabila absorber belakangnya mengalami kebocoran dan menganggu pemanduan dan kami terpaksa berhenti beberapa kali bagi melihat kesan dan keadaan yang dialami oleh penunggang tersebut. Sehinggalah tiba di Pekan Kemunting mencari bengkel yang boleh membaiki kerosakan tersebut kerana alat gantinya memang tiada memandangkan model motorsikal tersebut masih baharu di pasaran.


Di sini kami telah ditunggu oleh sepasang suami isteri dari Kuantan, Pahang yang merupakan rakan-rakan bikers (brotherhood) seterusnya menikmati pemandangan di kawasan tasik. Apabila semuanya sudah berasa agak lapar dan terus singgah ke kedai juga kenalan bikers lain di Jalan Changkat Jering. Semuanya berasa hilang penat seketika apabila menjamu juadah masakan dari tuan punya Kedai Makan Cik Ani tersebut dengan layanan yang tidak mengecewakan.


Kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya dan terakhir untuk hari ini (last point) ke Telok Batik Lumut dengan melalui jalan persekutuan dan jalan negeri dari Changkat Jering, Terong, Parit, Manjung, Lumut dan akhirnya sampai di Hotel Virgo di situ. Perjalanan agak lancar namun trafik (kenderaan) lain sudah mulai banyak kerana cuti hujung minggu bersambung dengan perayaan tahun baru cina ditambaha lagi dengan beberapa sekatan jalan raya yang perlu kami tempuhi. Kami berhenti sebentar pada hampir waktu asar bagi menunaikan kewajipan sebagai hamba yang tidak pernah lupa kepada sang Maha Pencipta di Masjid Al-Mahmudiah, Trong.
 
Kami semua bergerak secara hampir dalam barisan yang rapat kecuali di beberapa selekoh yang menjarakkan semua penunggang kerana masing-masing dengan kelajuan yang berbeza. Pengalaman yang dapat apabila mengikuti konvoi ini ialah kita mampu atau tidak mengawal perasaan sendiri kerana apabila dalam satu pasukan ada ketua yang perlu kita turuti dengan mengambil kira penunggang lain serta orang awam sebagai pengguna jalan raya yang lain. Melalui satu kawasan sawah padi yang luas dan terbentang indah adalah panorama indah dengan rasa kerdilnya diri sebagai hamba walaupun hati kita berasa ego dan membangga diri.
 
Seperti perjalanan hari pertama semalam, kami tiba dan daftar masuk (check-in) pada waktu hampir senja walaupun agak kecewa dengan hospitaliti di hotel tersebut namun semua pihak akan memberi alasan yang sama iaitu pandemik. Pada sebelah malamnya sebahagian dari kami keluar mencari alas perut di kedai makan berdekatan dan suasana pekan teluk batik yang berhampiran markas angkatan laut (navy) agak sesak dengan pelancong tempatan.

Semua kisah perjalanan yang dilalui tanpa kita sedari adalah ujian bagi kita dalam menahan kesabaran iaitu api kemarahan yang bernyala di dalam dada.
 

Bersambung...

1 comment:

kak chik nazlina said...

tahniah... teruskan menulis. akan jadi pembaca setia. x dpt nak ride dpt baca pengalaman pun jadi la
Good job ������