Saturday, September 20, 2008

Politik sememangnya berseni

Tatkala Malaysia terus melangkah maju dengan berbagai kemajuan dan pembaharuan dicipta, namun iklim politiknya agak membingungkan juga. Apa tidaknya semalam, hari ini dan esok telah membuktikannya. Sang Pemerintah yang berkuasa bermain silat dengan berbagai langkah dengan Sang Lawannya menyanggah penuh gerak gaya. Apapun bunga tari geri silatnya mereka berdua diperhati rakyat pelbagai bangsa dalam emosi yang penuh bermakna. Tidak kurang pula yang cuba berjudi dan mengagak siapa yang jatuh tersungkut tak terdaya dan ada pula yang mengharap sesuatu yang hanya mereka tahu. Masing-masing bersorak suka dan juga gundah gulana mengikut andaian hati dan jiwa mereka sebagai rakyat merdeka. Nah!disini ku berdiri dan cuba memahami permainan dan pertarungan yang agak berseni ini. Sang Pemerintah dengan pelbagai langkah sekali sekala menghunus senjata walaupun bukan senjata utama, Sang Lawan bijak menepis terkadang hampir cedera kerana lawannya ini dah lama berkuasa lebih separuh abad juga. Sang pemerintah cuba mencari buah dan gaya baru walaupun agak kaku kerana tidak disangka lawannya kali ini agak berbisa berbanding sepuluh tahun lalu. Mungkin tempat bertapa kali ini bukan diatas batu seperti orang dulu-dulu. Sang Lawan juga agak berhati-hati kerana tipu muslihat selalu menderu bagai bayang-bayang yang menghantu setiap gerak bunga dan tari harus laju namun perlu juga tepat dan jitu. Sang Pemerintah kini semakin gelabah membuka tari menggaya buah silatnya agar lebih ditakuti dengan pelbagai bunga psikologi yang selalunya menjadi. Hebatnya mereka bersilat berseni bukan sebarang langkah dan gerak geri mereka semuanya berseni demokrasi setelah lebih separuh abad negara ini dibangunkan sendiri dengan penuh warna-warni mereka yang berada dalam dunia seni politik Malaysiaku ini.

No comments: