Wednesday, March 4, 2020

DEMOKRASIA MALAYSIA

Kurang tiga bulan Kerajaan Pakatan Harapan berusia dua tahun yang berjaya menumbangkan regim Barisan Nasional yang memerintah selama lebih 60 tahun itu tumbang. Ini berikutan perselisihan faham diantara beberapa pimpinan parti gabungan yang menyebabkan sebuah parti serpihan daripada Barisan Nasional keluar dari ganbungan berkenaan.

Berbagai andaian dibuat oleh ramai penganalisis tetapi umum mengetahui ia adalah berpunca dari sikap para penyokong kedua-dua parti tersebut saling menekan tentang jawatan Perdana Menteri. Kedua-dua belah pihak saling berkonfrantasi walaupun masing-masing berada didalam satu gabungan yang sama. Ia diburukkan lagi oleh beberapa orang ahli sebuah parti lagi yang tidak puashati dengan pucuk pimpinan mereka keluar parti. Peristiwa ini menyebabkan Perdana Menteri dua kali, Tun Mahathir meletakkan jawatannya kerana mempercayai bahawa beliau telah tidak menguasai majoriti ahli parlimen.

Jika dilihat rentetan episod yang berlaku selama hampir lapan hari ini dapat disimpulkan ianya bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba tetapi ia adalah rancangan yang teratur. Bermula pada hari pertama dapat kita lihat para politikus resah, gelisah dan goyah tentang apa yang berlaku dan masih terpinga-pinga jika mereka bukan dari kumpulan perancang utama. Melihat kepada keadaan ini, seramai 222 ahli parlimen termasuk yang berjawatan Perdana Menteri dan barisan kabinetnya tergamam dan menunggu apa yang berlaku sahaja. Ini kerana pada hari pertama itu ada banyak tempat persidangan yang dijalankan oleh pelbagai kumpulan yang berlangsung sehingga larut malam.

Apabila Perdana Menteri meletak jawatan maka hancur luluh juga para barisan kabinetnya malah kerajaan yang dibentuk kerana mereka sudah tidak lagi memegang majoriti. Sistem demokrasi di Malaysia yang dibentukoleh perlembagaan meletakkan YDPA sebagai kuasa tertinggi sebagaimana kuasa-kuasa presiden di beberapa negara republik walaupun ada perbezaan tetapi tidaklah begitu ketara. Baginda mempunyai kuasa melantik seorang perdana menteri dan membubarkan parlimen jika sesebuah kerajaan tidak dapat dibentuk. Apabila bekas perdana menteri yang meletak jawatan pergi menghadap YDPA maka bagindapun bersetuju namun beliau telah dilantik sebagai perdana menteri sementara atau lebih dikenali sebagai Perdana Menteri Interim.

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda YDPA selaku Ketua Negara telah memainkan peranannya dengan memanggil kesemua ahli-ahli parlimen bagi menyatakan sokongan siapa yang akan dilantik menjadi perdana menteri. Proses ini berjalan selama dua hari dan sejak hari kedua sehingga hari kelapan para wartawan media massa telah berkampung di luar pagar istana negara. Apabila kesemuanya telah mengadap kebawah duli Tuanku, hasil daripada 'pungutan suara' ini masih tidak membantu oleh kerana kedua-dua nama yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri tidak dapat mendapat mandat yang mencukupi iaitu sebanyak 112 kerusi (lebih dari separuh) yang diperlukan.

Episod seterusnya pada kemelut ini ialah sekali lagi YDPA telah memanggil sekali lagi ketua-ketua parti politik datang mengadap bagi menyatakan sekali lagi sokongan kepada sesiapa yang mereka suka untuk bergelar sebagai seorang perdana menteri. Bagi mendapatkan sokongan majoriti ahli dewan, mereka yang mempunyai perancangan perlu meraih dan melobi sebanyak mana sokongan bagi membentuk kerajaan. Dalam situasi ini maka bermulah episod 'berjual-beli' dikalangan para ahli politik yang mempunyai satu kerusi parlimen. Semuanya masing-masing membilang angka setiap masa bagi mendapatkan jumlah yang mencukupi dengan surat akuan sumpah (SD) daripada setiap ahli-ahli parlimen.

Perancangan licik ini mesti dirangka dengan langkah a,b,c dan d atau sebanyak mana yang boleh kerana hala tuju yang ditetapkan dalam membentuk kerajaan baharu perlu atau wajib dicapai. Jika perancangan tersebut gagal maka peranan watak-watak utama itu akan lemah longlai dan karier politik mereka akan musnah. Ia bukan lagi seperti menarik rambut didalam tepung tetapi ia sebenarnya meniup gula-gula dalam tepung. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke paras lengan, jika tidak mahu kacau-bilau jagan semua asyik berangan. Setiap minit berita dipantau oleh para media kerana semasa ini fikiran rakyat tertumpu atau terpaku melihat permainan politik yang dilakonkan oleh wakil rakyat mereka.

PRU ke 14 baru-baru ini adalah manifestasi suara rakyat yang telah matang menyebabka pecahan undi itu ketara menyebabkan kedua-dua pihak tidak boleh berasa selesa. Ini kerana pecahan Kerusi Dewan Rakyat telah menyebabkan wujudnya blok-blok sokongan yang pada kiraannya tiada parti yang menjadi kuat. Kesemuanya atau sebilangannya perlu bergabung bagi mendapatkan kuasa membentuk kerajaan persekutuan. Peristiwa ini juga menyebabkan negeri-negeri turut terpalit akibat kerjaan sedia ada akan kehilangan kerusi majoriti dan ikut bertukar sebagaimana kerajaan persekutuan. Krisis kepercayaan ini telah menular menjadi satu fenomena baharu dalam dunia demokrasi negara apabila setiap ahli politik yang mempunyai kerusi dewan rakyat atau dewan undangan negeri akan beralih arah tanpa dijangka jika prinsip amanah dan bertanggungjawab itu menjadi perkara nombor dua.

Setelah episod ini berakhir dengan pelantikan seorang perdana menteri baharu yang merupakan antara dalang yang menjatuhkan kerajaan sebelumnya dengan alasan kedua-dua calon perdana menteri sebelum ini tidak mendapat kepercayaan (bilangan) sepatutnya. Kumpulan gerakan keluar dari gabungan lama ini bergabung dengan gabungan baharu dengan dikenali sebagai Perikatan Nasional yang berjaya menjadi kerajaan persekutuan yang baharu. Namun begitu, setelah lebih lima hari tertubuhnya kerajaan ini namun krisis demokrasi ini masih lagi seperti mahu berhenti. Ini kerana lambatnya proses melantik ahli kabinet baharu kerana jurang kesefahaman dan kekitaan dikalangan ketua-ketua atau panglima-panglima perang yang masih buntu mencari jalan muktamad. Ini diburukkan lagi dengan bilangan 114 yang agak tipis sahaja untuk berdiri sebagai sebuah kerajaan dan akan berdepan dengan usul tidak percaya kepada perdana menteri sedia ada apabila penggal baharu parlimen akan dibuka pada penghujung bulan puasa ini. Desas-desus juga telah menerbitkan irama bahawa satu pembubaran parlimen akan menjadi nyata kerana ada pihak-pihak yang berasa selesa untuk mendapat kemenangan yang berganda dalam proses pilihanraya. Inilah demokrasia (demokrasi Malaysia) yang mempunyai pelbagai ragam cerita serta berita diatas sengketa propaganda namun yang paling dibangga rakyat jelata seperti tiada apa-apa kerana permainan ini bukan milik mereka tetapi mereka yang mengejar kuasa.

No comments: