Saturday, March 28, 2020

CABARAN 2020

TAHUN 2020 - Dunia ditimpa bencana dan malapetaka besar lebih teruk dari peperangan dunia kerana kini diancam wabak biologi secara sengaja atau tanpa disengajakan.

Malaysia sebuah negara yang jarang ditimpa bencana dan penduduknya juga jarang terdedah dengan pelbagai risiko atau mengambil endah atau sambil lewa tentang apa jua risiko.

Bagaimana cara fikir pemimpinnya begitulah hakikat keadaan sosio-ekonomi dan sosio-budaya masyarakatnya yang mudah gelabah dan suka mengambil jalan mudah apabila ditimpa masalah.

Masyarakat negara ini selalu suka berpolemik walau dalam apa jua tajuk, bidang atau tragedi kerana mereka suka menggembar-gemburkan masalah daripada menyelesaikan masalah kerana terlalu ingin menghukum mereka yang menjadi punca masalah.

Demokrasi yang terlalu 'lemak', 'manis' dan 'berkrim' yang dinikmati dan disukai ramai menyebabkan polemik politik menjadi seperti dunia kartun yang kadangkalanya melampau, buas dan 'tidak normal' menyebabkan masa, tenaga dan idea menjadi sia-sia namun menjadi hidangan segenap lapisan yang menjamunya.

Masalah yang kita hadapi kini memerlukan 'perubahan total' dalam semua peringkat lapisan masyarakat bermula daripada atas sehingga ke bawah kerana inilah tamparan hebat buat kita semua.

Negara ini bukanlah terlalu mundur dan terlalu miskin seperti negara-negara dunia ketiga yang lain namun kemunduran dan kekayaan itu bukan lagi dinilai dengan wang ringgit tetapi pada nilai intelektual, moral dan kemanusiaan yang tinggi.

Pola pemikiran perlu diubah daripada takuk lama kepada mentaliti kelas baharu bukan lagi seperti pasca selepas merdeka atau pasca milenia lagi daripada rakyat sehinggalah mereka yang tertinggi.

Penyakit utama adalah budaya malas membaca yang menjadikan semuanya minda ikutan, caca-merba dan semberono yang mudah percaya tukang karut, mulut penghasut atau omongan tali barut daripada memikirkan sendiri menggunakan akal yang sihat dan subur dengan ilmu.

Hubungan sesama manusia masih lagi dibatasi oleh semangat perkauman dan keturunan yang masih menebal bukan dengan semangat nasionalisma sebagai sebuah negara bangsa bukan negara kaum-kaum menyebabkan jiwa merdeka sebagai warganegara berdaulat yang bersekutu menambah mutu itu hanya menjadi slogan yang belum melahirkan sebuah negara bangsa yang tulen.

Sebagai negara pengguna, berdagang dan bergantung dengan sumber mentah semata-mata jalan untuk menjadi kuat, mewah dan gagah di rantau ini seperti angan-angan dan mimpi disiang hari jika masih tidak mengamalkan dasar ekonomi 'sara-diri' atau mampu bangun jika terjatuh atau diacah oleh pihak luar oleh kerana asas dalaman yang kukuh serta tidak terlalu bergantung dengan pihak luar atau pihak ketiga.

Apabila dilanda sesuatu bencana kerajaan dan rakyat sama peka boleh bersedia dalam keadaan waspada dapat menangkis apa jua dengan idea dan semangat yang kuat bukan menjadi caca-merba mementingkan perkara-perkara yang remeh serta boleh menjadi punca keadaan menjadi semakin sukar.

Sukar untuk negara ini ingin mencapai status kelompok negara maju jika sikap dan mentaliti rakyat masih ditakuk lama walaupun semakin hari peratusnya meningkat dalam mencapai piawai minda kelas pertama tetapi disebabkan segelintir masih menjadi punca bencana ditambah pula dengan kebanjiran warga bukan negara yang tidak bersama-sama mengikut arus yang sama menjadikan segalanya sia-sia.

Pemimpin kini perlukan iltizam yang lebih jitu bagi membawa negara ini dalam mengenderai hala tuju baharu mengubah dalam memerintah tanpa dijangkiti dengan barah-barah yang merosakkan serta membantutkan perjalanan menjadi sebuah negara yang maju disegani sebagaimana harimau yang gagah mengaum di persada dunia.

No comments: