Tuesday, February 14, 2012

Orang Melayu mengikut F. Swettenham (“The Real Malay”)

Dalam Stories and Sketches by Sir F. Swettenham; selected and introduced by William Roff, Oxford University Press) adalah sebagaimana berikut ini:

Untuk memahami orang Melayu dengan mendalam, Swettenham berpendapat, seseorang itu perlu tinggal di kalangan mereka, menghormati agama dan kepercayaan mereka, meminati kecenderungan mereka, perlu bersifat toleransi dan jangan memandang serong terhadap prejudis mereka, bersimpati dan membantu mereka ketika mereka dalam kesusahan dan kalau boleh bukan sahaja berkongsi keseronokan mereka tetapi juga risiko yang mereka hadapi. Hanya dengan cara ini sahaja seseorang itu boleh memperolehi kepercayaan dan keyakinan orang Melayu. Melalui keyakinan ini sahaja seseorang itu akhirnya boleh memahami hati budi orang Melayu, terutama bersifat batiniah itu.

Orang Melayu yang sebenarnya, adalah pendek, berbadan tegap dan gempal. Rambutnya lurus hitam, kulit sawo matang, hidung dan bibirnya tebal dan matanya cerah dan nampak cerdik. Tingkahlakunya lemah lembut dan mudah untuk didampingi. Orang Melayu bersifat curiga terhadap orang luar tetapi tidak menunjukkan sikap tersebut secara terbuka. Orang Melayu berani dan boleh dipercayai menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Walau bagaimanapun dia bersifat boros dan suka meminjam wang tetapi lambat membayarnya balik. Dia petah dan bijak bercakap, pandai berkias (dan mungkin juga menyindir), sering memetik peribahasa dan kata-kata hikmah, pandai melawak dan berjenaka dan sukakan kepada jenaka yang baik. Orang Melayu suka ambil tahu hal orang lain, terutama jirannya. Oleh itu orang Melayu dikatakan kuat gosip atau suka menjaga tepi kain orang lain. Orang Melayu beragama Islam dan pada pendapat Swettenham ini menyebabkan mereka bersifat fatalistik, iaitu percaya kepada qada’ dan qadar (nasib dan rezeki ditentukan Allah). Tetapi pada masa yang sama mereka juga percaya kepada perkara-perkara karut dan tahyul yang bertentangan dengan Islam. Dia tidak minum arak dan jarang sekali menghisap candu tetapi dia amat minat berjudi, sama ada menyabung ayam ataupun permainan-permainan yang ada elemen pertaruhan.

Secara semulajadi orang Melayu adalah ahli sukan. Mereka suka dan berminat menangkap dan menjinakkan gajah. Mereka juga merupakan seorang nelayan atau penangkap ikan yang cekap. Dari satu segi orang Melayu konservatif, bangga dan megah terhadap negerinya dan masyarakatnya. Mereka menyanjung adat dan tradisi lama masyarakat Melayu. Mereka takut kepada Raja, hormat dan tunduk kepada kuasa. Orang Melayu memandang rendah kepada sebarang pembaharuan dan seboleh-bolehnya akan menolak sebarang pengenalan kepada perubahan secara mendadak. Sebaliknya, jika mereka diberi masa untuk memeriksa dan menelitinya dan perubahan tersebut tidak dipaksa ke atas mereka, mereka boleh diyakinkan tentang keuntungan dan faedah yang boleh dicapai melalui pembaharuan-pembaharuan tersebut. Orang Melayu cepat mempelajari ilmu yang diajar kepadanya. Bagi Swettenham, sekiranya orang Melayu ingin dan juga bercita-cita tinggi dia boleh menjadi seorang mekanik yang baik. Walau bagaimanapun orang Melayu malas. Dia tidak mempunyai sebarang perancangan yang teratur di dalam hidupnya. Dia tidak tahu tentang ketepatan masa termasuk juga waktu makannya. Padanya waktu itu tidak penting. Rumah orang Melayu tidak tersusun dan kotor tetapi dia mandi dua kali sehari. Dia juga suka berhias dan memakai pakaian yang kemas. Orang Melayu tidak toleran kepada sebarang penghinaan. Baginya malu yang diterima hanya boleh dibersihkan dengan darah. Dia akan masam muka dan memendam rasa apabila kewibawaannya dan maruahnya tersentuh atau terguris sehingga dia dirasuk oleh perasaan hendak membalas dendam. Jika dia tidak dapat membalas pada orang berkenaan atau berkaitan dia akan mengancam orang pertama yang ditemuinya, tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda. Inilah yang dikatakan amuk. Semangat kesukuan kuat di kalangan orang Melayu. Dia taat dan setia kepada Raja, Penghulu dan pemimpin. Pemberian kurnia oleh Raja kepada rakyat dan pemberian hadiah dari rakyat kepada Raja adalah satu amalan yang biasa.Walaupun orang Melayu beragama Islam dan sanggup dipaku hidup-hidup dari menolak agamanya, orang Melayu bukannya menganggap agama orang lain rendah. Dia juga bukan seorang hipokrit. Kehidupannya akan menghadapi kitaran hidup berikut:

Pada masa kecil dia dijaga dengan baik, dia tidur bila dia suka dan makan apabila dia merasa lapar (elemen masa tidak penting). Dia jarang dipukul atau dirotan, oleh itu dia jarang menangis. Pada umur 15 atau 16 tahun dia rajin belajar dan dihantar mengaji Qoran walaupun mengaji dalam bahasa yang dia tidak faham. Pada umur di antara 16 hingga 25 tahun dia harus dielakkan kerana pada peringkat umur ini dia suka bersuka-sukaan, berfoya-foya, boros, pemurah, suka berjudi, banyak terikat dengan hutang, sering terlibat dalam melarikan isteri jirannya dan suka menonjol-nonjolkan dirinya. Selepas itu jika dia tidak meneruskan dengan perangai buruknya, dia akan cuba, dengan bantuan orang-orang yang lebih tua darinya, berusaha memantapkan kedudukan sosialnya. Jadi, apabila dia mencecah umur 40 tahun dia akan menjadi seorang manusia yang bijak (dan berpengalaman). Anak perempuan pula dibiarkan hidup bebas sehingga umur 5 tahun dan kemudian diberi pakaian yang sempurna. Sejak itu dia dididik dan diasuh dalam membantu kerja-kerja rumah dan dapur. Dia juga diajar turun ke sawah. Tujuannya untuk menyediakan menjadi seorang isteri dan ibu yang baik. Pada peringkat umur 15/16 tahun dia sukakan pakaian yang cantik dan juga sudah tahu memakai barang-barang kemas. Gadis yang belum kahwin diasuh dan diajar bagi mengelakkan dari mengadakan hubungan dengan lelaki yang tidak ada tali persaudaraan dengannya. Selepas berkahwin orang perempuan Melayu mendapat kebebasan yang seluas-luasnya. Orang Melayu amat mementingkan bangsa dan keturunan. Lelaki Melayu boleh kahwin empat dan boleh menceraikan isteri/ isteri-isteri dan menggantikan mereka dengan isteri yang baru. Sekiranya dia mampu dia akan menggunakan kesempatan ini tetapi lelaki Melayu jarang-jarang mempunyai empat orang isteri pada satu masa.

No comments: