Sunday, May 8, 2011

Minda yang terpenjara

"Banyak membaca luas pengetahuan" dan firman Maha Pencipta "(Wahai Muhammad bacalah) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian mahkluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”. (Al-'Alaq :1-5)

Dewasa ini kita umat manusia telah dinaungi dengan 1001 jenis media perkhabaran yang tertulis diakhbar, melayang diudara (televisyen) dan didalam poket seluar (Telefon bimbit). Namun sejauh mana diri kita dipengaruhi dengan berita-berita ini yang hanya sekadar sensasi ataupun sememangnya realiti. Lihat sahaja iklan dikaca TV atau terpampang di papan iklan yang kebanyakan hanyalah fantasi atau pembohongan seni untuk meraih publisiti dan keuntungan sendiri.

Kita boleh membaca apa saja namun kita tidak boleh percaya membabi buta kerana kita diberi kuasa memilih, berfikir dan mempercayai mengikut pemahaman kita sendiri kerana manusia pada zaman ini telah bebas merdeka dalam kamus demokrasi. Setiap apa yang kita baca akan memberi pengaruh kepada pemikiran dan cara kita membuat keputusan. Dunia hari ini sememangnya sarat dengan limpahan media dan entiti 'perang saraf' dari golongan peniaga mahupun pihak berkuasa. Ahli politik juga sering menjadikan media sebagai bahan tunggangan utama bagi menabur baja atau racun terhadap sesiapa jua agar dapat mempengaruhi undi bila tiba masanya nanti. Akhir zaman memang penuh dengan prasangka, pembohongan licik dan berkala agar setiap minda manusia sentiasa terpasong dan terpengaruh dengan beberapa agenda penyebar berita penunggang media kerana ia adalah lebih tajam dari mata pedang seperti pesan Baginda S.A.W.

Membaca sebenarnya penting bagi kita kerana kita boleh membuat pilihan atas alasan pemahaman dari minda yang dianugerahkan. Mengikut dengan membuta tuli tanpa usul periksa dan percaya sebab orang lain percaya seperti berada dalam kawanan yang gempar seketika bagai ada singa yang mahu menerpa namun hanyalah anjing liar sesat yang kunjung tiba. Jangan hanya menjadi pak turut yang punya sifat kedekut dalam memikirkan apa sebenarnya yang betul dan apa yang mengarut. Memenjara minda dari membaca dan memasang telinga seluas2nya hanya untuk ketawa kenyang dengan nikmat dunia. Aku berlindung dengan Maha Penciptaku yang mengajar manusia melalui para Rasul dan Nabi NYA.

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia
yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah),
dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah)

dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat memberi petunjuk kepadanya; dan Allah membiarkan mereka meraba-raba (dengan bingung) dalam kesesatan mereka. "

No comments: