Tuesday, June 12, 2007

Bersiaran di tanah penuh kesempatan


Tanggal 18 Jun 2007, jam 6.10 pagi, menunggang motorsikal sepeninggalan Allahyarham Munzir, abang tunggalku yang di hormati menuju ke Dayabumi untuk terus mengambil Putra LRT ke KL Sentral dan menaiki bas ke Terminal Pengangkutan Tambang Murah (LCCT) bagi membuat perjalanan sulungku untuk tahun ini ke luar negeri setelah sekian lama menyepi di arena 'Bagpacker' yang dulu pernah menjadi hobi pantang cuti hujung minggu.


Rekodnya perjalananku kali ini adalah yang pertamanya berkumpulan sehingga 24 orang untuk ke Bandung melalui Jakarta lalu singgah di Puncak dan pulang ke Kuala Lumpur juga melalui Jakarta (Jaya Karta atau Batavia). Di angkut oleh Air Asia Indonesia di Lapangan Terbang Sukarno-Hatta (dua jagoan pembentukan Indonesia) menanti Bas Periwisata (Pelancong) yang hampir 2 jam ditunggu tak kunjung tiba. Semua kami telah hampa, tapi apakan daya mood percutian harus dijaga agar tidak tercoret luka.


Wah, besarnya Jakarta, patutlah penghuninya hampir 10 juta dan menjadi nadi Tanah Jawa. Kami akhirnya diangkut oleh bas gantian lalu terus ke Bandung sebagai objektifnya. Melalui lebuh raya di kiri kanan kota sehingga ke kawasan desa akhirnya sampai ke destinasinya. Wah, nyaman hawanya di bandar tanah tinggi ini dengan penghuni wanitanya amat cantik sekali dan betul kata mereka, disini memang ramai cewek-cewek cantik yang tiada tandingannya di negara kepulauan ini. Jadual membeli-belah pertama terus diisi sebelum menginap di Hotel Sukajadi. Nasi Sunda menjadi hidangan pertama kami pilihan pemandu jalan kami yang di seru sebagai Pak Ari berketurunan Minang dari Padang.


Keesokan paginya, terus ke destinasi berikutnya, Gunung Berapi Tangkuban Perahu yang terkenal dengan lagendanya Sang Kuriang bercinta dengan ibunya. Perjalanan yang sungguh mendamaikan dengan persekitaran yang penuh dengan tanaman sayuran persis Tanah Tinggi Cameron. Di ketinggian hampir 3000 meter amat nyaman sekali dengan suasana hutan di kaki Gunung Berapi. Hajat di hati dan imaginasi ingin sekali menikmati suasana dan keindahan di pinggiran kawah gunung berapi, malangnya diganggu oleh peniaga-peniaga yang tidak ada adab sama sekali yang amat kesempitan untuk mencari rezeki sesuap nasi atau hanya mahu berjoli. Ah, nanti akan ku kunjung sekali lagi wahai Gunung Berapi Perahu Terlangkup binaan Sang Kuriang. Meneruskan perjalanan ke Puncak yang lagi tinggi dari destinasi tadi tanpa meninggalkan aktiviti membeli sekali lagi di Heritage Bandung dan Makan di Restauran Simpang Raya dengan dihidangkan Nasi Padang buat pertama kalinya. Seterusnya ke Pekan Baru dan Jalan Cibaduyut untuk aktiviti menukar Rupiah dengan barang=barang yang digemari.


Perjalanan terus ke Puncak sehingga lewat malam untuk terus melepaskan penat di kawasan paling sejuk di Jawa Barat. Tidur tanpa penyaman Udara tapi berselimut seboleh-bolehnya takut beku dan kecut segalanya. Ada rakan-rakan yang bahagaia menikmati malam di sini dan membuatkan mereka tersenyum di Malaysia nanti,hehe. Paginya selepas bersarapan, kami terus bertolak ke Taman Safari Ibu Tien (Isteri Sukarno) punya ilham dengan melalui ladang-ladang teh. Pertama kali rupanya aku ke tempat sebegini, selalunya tengok di dalam TV binatang-binatang ini.


Setelah selesai di safari, kami teruskan perjalanan ke Jakarta melalui jalan raya biasa dan singgah makan juga di restauran yang di punyai tauke yang sama dengan hidangan nasi padang yang sudah mula jemu dengan lauk pauk yang kurang menyelerakan. Setelah itu, terus ke kompleks membeli-belah Mangga 2 (WTC, ITC) yang mempunyai empat blok yang bersambung dan memang besar sekali dan memang tiada yang sebesar ini di Kuala Lumpur untuk aktiviti yang rata-rata digemari oleh kebanyakan kami, menghabiskan matawang Rupiah (1000 rp = 0.391 sen). Memang sesak pasarnya, bukan ribuan, jutaan manusia ku kira menjalankan pelbagai aktiviti di sini.


Lewat senja (Sore) kami bergegas ke Jakarta dan tiba untuk menjamu selera juga dengan hidangan dan restauran yang dipunyai oleh orang yang sama, ketidakpuasan hati sudah membuak-buak di dalam hati, tapi tidak baik memperlekehkan rezeki. Terus melepaskan penat lelah di Hotel Gren Alia jalan Cikini, aktiviti malam hanya dengan berjalan kaki melihat suasana malam orang-orang disini dan menonton TV tempatan yang berbelas saluran.


Esoknya, perjalanan hampir tamat dengan aktiviti khatam Mangga 2 sekali lagi dalam masa hampir satu jam untuk menghabiskan sisa-sisa Rupiah yang masih terselit di 'wallet' masing-masing sebelum sampai ke negara Malaysia yang ku cintai, negeri bertuah dari negeri yang baru dilawati ini, negara yang memerlukan usaha tinggi untuk terus hidup mencari sesuap Bakso, Mi Kocok atau lain-lain keperluan.


Setiap kesempatan yang diperasan, jangan sesekali dilepaskan, itulah nota kaki penghuni negara ribuan kepulauan ini. Segala Puji untuk Sang Pencipta kerana Rahmatnya.


No comments: