Friday, February 18, 2011

Aduh, kesian mereka...

Tersenyum, hairan dan kesian adalah lumrah bagi perasaan yang dialami setiap insan. Banyak peristiwa dan kejadian yang menggamit atau menyentap perasaan tersebut. Segala perasaan atau emosinya adalah nikmat yang telah diberikan kepada manusia oleh penciptanya. Perasaan itulah motivasi dan alat pengimbang naluri untuk terus meneruskan kehidupan di dunia yang fana ini.

Perasaan kesianku/kasihanku (express sympathy) adalah sebagai tauladan diri agar menjauhi apa yang menyebabkan kita berasa kesian. Situasi yang berlaku atau menimpa sesetengah orang menyebabkan kita diresapi dengan pelbagai perasaan yang bercampur baur. Kita selalu ketawa atau gelihati bila sesuatu peristiwa agak menghiburkan namun perlu berhati-hati jika ia akan menyebabkan hati seseorang terguris apabila kita ketawa kerana kita telah gagal atas hubungan sesama manusia.

Kesian kepada mereka yang terpaksa mengorbankan diri dengan hilangnya pertimbangan di atas kesempitan yang dialami untuk meneruskan kehidupan yang dibelenggu perangai kerajaan dan soldadunya. Kasihan kepada pemimpin yang apabila berkuasa mudah terlupa mereka akan mati jua dan terlalu banyak mengumpulkan harta dan tamak sehingga tidak sedarkan mereka tidak boleh menghabiskannya semua. Sedih juga kerana mereka tidak tahu harta tidak boleh ditebus untuk dosa namun mereka lupa harta boleh dijadikan pahala jika kena dengan caranya. Kesian keluarga si miskin keranan telah hilang tempat bergantung kerana orang yang diharapkan telah pergi selamanya. Sedih mengenagkan apakah nasib hari esok dan lusa namun jika punya iman mereka akan tunduk dengan qada' dan qadar tuhannya. Kesian kepada si isteri yang lupa atau pun sedang gila dengan harta dan kuasa suaminya sehingga terlupa mereka hanya hidup didunia yang diberikan usia yang terbatas. Dia lupa bahawa dunia ini sebenarnya bukan tempat untuk bebas atau merasa terlalu bebas. Kesian kepada si suami yang punya kuasa namun tamak membolot harta negara sehingga wang beribu juta tetapi amat miskin sekali dengan budi pekerti mulia dan sayangnya dia harapkan dapat hidup lama dengan hartanya.

Kesian kepada jutaan rakyat yang terpaksa keluar demi meluahkan perasaan benci kepada pemimpin yang tidak amanah malah menjarah khazanah negara dengan rakusnya. Kesian keluarga pemimpin itu kerana turut hanyut dibuai nafsu sehingga lupa mereka boleh susah dan melarat sekelip mata seperti anjing kesayangan yang dibuang di tepian jalanan. Kesian mereka yang bersemangat menunjukkan perasaan namun dibalas dengan kekasaran oleh 'anjing belaan' yang amat taat kepada tuannya namun ternyata 'kuda tunggangan' masih punyai perasaan kasihan dengan tidak mengapa-apakan mereka si penunjuk perasaan. Kesian kepada si pencacai pemimpin yang takut akan kehilangan bermacam-macam keistimewaan dan komisen yang diraih dari kesetiaan kepada si pemimpin yang berperangai syaitan yang lupa mereka adalah hamba tuhan. Kesian kepada mereka yang terpaksa mengikat perut demi mengubah dan menumbangkan sebuah kerajaan 'syaitan' dengan aman tanpa membidik satu peluru atau pembunuhan. Mereka adalah rakyat yang mahukan perubahan kerana mengharapkan suatu masa depan bagi keselesaan hidup untuk generasi yang akan menjadi warisan.

Mereka yang masih sombong dipuncak kuasa sebenarnya telah dibutakan pandangan oleh para pengikut dan juak-juak yang sentiasa kelaparan dengan nafsu menjadi tungangan. Kesian mereka itu kerana tidak tahu atau sengaja buat tak tahu secara logiknya apa sebenarnya yang berlaku kepada masyarakat umum yang berpenat lelah setiap hari mencari rezki namun ada saja parasit yang mencuri demi menimbunkan harta berkarung dan berpeti-peti. Kesian kepada marhain bawahan yang terpaksa menggunakan tulang empat kerat membanting tulang demi rezki sesuap nasi untuk menyara keluarga sendiri dan mengharapkan rakan-rakan golongan pertengahan yang 'makan gaji' turut menyokong dan menghulur simpati. Kesian kepada bekas pimpinan yang terpaksa lari dari kumpulan yang menunjukkan rasa tidak puas hati serta penuh sarat dengan perasaan benci. Kini dia sedar akan sebuah kehidupan yang perlukan batasan dalam setiap tindakan kerana tuhan yang Maha Berkuasa amat bencikan makhluknya yang suka melakukan kerosakan dan lupa mereka sebenarnya dipunyai tuhan. Kesian ku ucapkan kepada semua dan mereka akan sentiasa diliputi dan dipantau oleh tuhan yang sentiasa dekat memerhati. Tuhan telah mentakdirkan setiap yang berlaku sebagai sebuah kehidupan sementara yang dijanjikan keabadian selepas melepasi satu detik pembalasan.

No comments: