Sunday, November 12, 2023

Khabar Dari Gaza

 ðŸ›‘TERKINI | Pejabat media kerajaan di Gaza semasa sidang akhbar:


🔻Rejim Israel melancarkan perang ke atas Hospital al-Rantisi, Hospital al-Shifa, Hospital al-Nasr dan Hospital Kesihatan Mental di Gaza.


🔻Terputus bekalan elektrik dan air di hospital menandakan satu bencana yang sangat besar.


🔻Jumlah penduduk yang syahid mencecah lebih 11,100 dan yang cedera mencecah lebih 28 ribu.


🔻Rejim Israel tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan termasuk hak asasi manusia dan institusi perubatan.


🔻Kami menyeru negara yang merdeka dan masyarakat Arab serta Islam untuk mengambil sikap tegas bagi memberi tekanan kepada rejim Israel bagi menghentikan Holocaust di Gaza.


🔻Kami menyeru dunia dan masyarakat merdeka untuk memberi tekanan kepada pihak penjajah untuk menarik balik kepungan ke atas Gaza dan membuka lintasan Rafah bagi membawa masuk bahan bakar, bantuan dan bahan keperluan.


🔻Kami menyeru dunia Arab untuk menubuhkan dana bagi pembinaan semula Semenanjung Gaza sejurus selepas tamat perang.


🔻Rejim Israel menyasarkan sekolah, universiti dan masjid serta bertindak memusnahkan sebilangan besar daripadanya.


🔻Kami menyeru negara Arab dan Islam untuk mengusir duta Israel mereka.


🔻Kami menyeru dunia dan negara Arab serta Islam untuk campur tangan bagi menamatkan penjajahan dan menubuhkan negara Palestin.


Sumber: Shehab Agency

Thursday, June 1, 2023

Anak Kecil Main Api, Terbakar Hati Yang Sepi

 Insan semuanya bijak memberi alasan,

Semua pujangga mewah penulisan,

Setiap kita mudah kasih berkasihan,

Selalu menangkis lukanya perasaan.


Betapa kita masih meniti jalanan berliku,

Bagai melangit tingginya sebuah impian,

Keluhan anak saling berpandangan kehairanan,

Kemana arah ingin berjalan tanpa tujuan.


Generasi kita pewaris masa depan,

Menanggung beban ketamakan pimpinan,

Projek mega saling dibina bagai pelumbaan,

Pemiutang senyum laba menebal bak salju dipergunungan.


Anak muda melangkah gembira tertawa tanpa sedar,

Tanah air telah dipajak digadai setiap incinya,

Bila semua akan ditebus semula oleh sang Penguasa,

Meniti hari bersilih tahun nilainya sukar dibayar.

Dari Hari Ke Minggu

 Dari jendela Kemiskinan, 

Dari keringat penuh kesederhanaan,

Dari jerih payah perusahaan,

Dari langkah cita Dan impian.


Hari semalam telah berlalu pergi dengan sepi,

Hari ini datang dengan harapan memberi seribu erti,

Hari esok menanti dengan doa seorang insani,

Hari lusa diimpikan membawa satu bahagia.


Ke mana hilangnya manusia nestapa,

Ke mana perginya saudara ketawa,

Ke mana larinya sahabat bernostalgia,

Ke mana arahnya pertemuan pujangga.


Minggu ini ramainya penglipur lara,

Minggu lalu perginya para pembudaya,

Minggu depan mungkin penuh sang pencinta,

Minggu mendatang menanti sinar ceria.

Wednesday, May 10, 2023

Keluar Masuk Dari Sistem

Setiap kita tidak boleh lari dari sistem, ia yang memayungi setiap manusia yang mempunyai negara atau menjadi rakyat dalam sesebuah negara dan ianya dinamakan perlembagaan.


Begitu juga bagi seorang pekerja harus tunduk dalam satu sistem yang telah ditetapkan oleh majikan atau lebih dikenali sebagai pihak pemegang taruh dan ianya dikenali sebagai peraturan.


Bagi seorang pelajar pula mereka akan terikat dengan peraturan dan perlembagaan dimana pengurusan sekolah adalah proksi kepada pihak pemegang taruh sesebuah institusi tersebut.


Semua kita pasti tunduk dan mesti mengikut satu sistem dan perkataan bebas itu adalah hayalan manusia seolah mereka atau kita mahu hidup di dunia seperti didalam syurga untuk buat apa sahaja semahunya.


Sesiapa yang ingkar atau melawan kepada sesuatu sistem akan menjadi gila sebagai kesan paling dasyat dan menjadi papa kedana atau terpenjara adalah kesan paling ringan jika menentang sesebuah sistem.


Menjadi pemberontak (rebellion) bagi menewaskan sistem sepertimana pihak revolusi industri menentang feudalisme atau monarki sebagaimana terhapusnya golongan itu menjadi negara diperintah hamba rakyat bukan lagi keluarga bangsawan turun temurun.


Walaubagaimanapun pihak pemberontak tetap memerlukan satu sistem bagi mengawal selia manusia dengan mencipta perlembagaan dan peraturan baru melalui idealisme pemerintahan seperti fasisme, komunisme dan sosialisme.


Manusia memberontak kononnya mahu bebas dari terikat atau mengikat namun akhirnya bila berkuasa mereka tetap akan menjadi seperti raja atau maharaja baru yang akan menjaga puak serta keturunan masing-masing kerana ia naluri manusia yang mahu mengawal segala sesuatu.


Tuhan mencipta manusia kerana mahu menunjukkan kepada makhluknya bahawasanya Dia adalah Tuhan Yang Maha Sempurna dan bebas menzahirkan apa sahaja kecuali dirinya yang sebenar.


Sebahagian besar manusia akan tunduk dengan apa jua sistem dan menjadi pengikut sekadar menurut segala apa yang dilandaskan oleh peraturan yang mengawal bagi keselesaan hidup dengan sentiasa mewujudkan kesinambungan turun temurun sebagai tradisi.


Sejak manusia pertama turun bernafas di bumi sehingga hari ini berbagai sistem telah wujud dalam mengawal manusia atau kelompok mereka agar terus dapat bertahan menjadi sebuah tamadun hebat sehingga ke hari ini ianya bersilih ganti.


Makhluk yang sentiasa lupa dengan sikap tergesa-gesa ini akan sentiasa tewas dengan kehendak nafsu sentiasa menginginkan sesuatu yang bebas dari apa jua larangan dan peraturan.


Perintah dan peraturan juga adalah permulaan ajaran Tuhan apabila setiap

manusia yang beriman akan tunduk patuh serta akur dengan segala cara hidup yang telah digariskan olehNya melalui perantara manusia dan para malaikat .


Manusia jika tanpa peraturan akan menjadi haiwan liar dan haiwan ternak yang akan saling tindas menindas demi perut dan keinginan yang tiada batasan dengan saling menumpahkan darah.


Siapa pemilik kepada peraturan-peraturan mempunyai agenda tersendiri sama ada nyata atau tersembunyi, kemahuan manusia terhadap duniawi adalah suatu yang memerlukan perancangan dan pengawalan atas manusia yang telah dicucuk hidungnya.


sememangnya wujud sekelompok manusia yang tiada mahu hidup dibawah sistem atau dipengaruhi peraturan namun tetap mengamalkan satu kaedah kehidupan atas nama tradisi turun temurun yang mempunyai pantang larang dan nasihat petua.


Mereka akan bertahan untuk tidak memnggunakan atau dipengaruhi sistem lain selagi tidak dijajah sama ada secara langsung atau sebaliknya namun terpencil dengan arus kehidupan kebanyakan manusia yang bernegara dengan kelompok mereka yang tidak suka bersistem.


Hanya manusia yang mempunyai sayap khayalan sahaja mampu keluar atau terbang dari dunia bersistem yang telah diaturkan dengan ilmu dan peraturan bagi menjaga hak penguasa dan tempoh penguasaannya.


Jika kita tidak mahu dikawal oleh apa jua sistem dan peraturan yang mengikat manusia bernegara dengan perlembagaan maka kita akan hidup dengan terpencil atau dipencilkan serta dituduh primitif.


Memberontak bukanlah pilihan terbaik kerana setiap hasil pemberontakan akan menghasilkan sebuah sistem baharu kerana kejadian manusia itu mahu berteman dan mengawal apa sahaja yang menemani kehidupan mereka kerana kemahuan dan kehendak manusia itulah raja sebenar kita yang paming berkuasa kerana mampu melawan Yang Maha Esa dan Berkuasa.